November 8, 2017

CABARAN BANGI


BBB,  18 Safar 1439H. = 07 November 2017M. (Selasa):



Kita telah berbicara tentang pencapaian dan kemajuan yang dicapai oleh BBB sejak empat dekad usianya. Umur 40 tahun bagi satu lokasi penempatan  dan kependudukan, khususnya seperti BBB relatifnya adalah baharu. Pencapaian dan kejayaan pada dasarnya adalah terhad dan masih banyak ruang dan peluang dapat dilaksana bagi masa mendatang.
Melihat kepada UKM, kembar bagi BBB, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, dalam masa lebih kurang tempohnya dengan BBB, kini UKM muncul sebagai salah sebuah universiti terbaik bukan saja di Malaysia, tetapi juga adalah pada peringkat Asia dan dunia.  Bagaimana kejayaan ini dapat dicapai ?
Sudah tentulah ianya ada kepimpinan dan kumpulan yang dinamik yang mengatur strategi dan perancangan dan bekerja kuat dari peringkat kepimpinan, kakitangan akademik, pentadbir dan mahasiswa hingga UKM dapat mencapai prestasi dan mutu tinggi.
Keadaan yang sama juga bagi kemajuan BBB. Banyak perkara yang belum dicapai dan diharapkan, ada usaha mencapainya seperti :
1)      Merealisasikan BBB sebagai Bandar Ilmu.
2)      Bandar bersih dan sejahtera
3)      Bandar yang tidak sesak dengan kenderaan
4)      Cabaran  pada generasi mendatang
5)      Peningkatan status BBB
Sebagaimana UKM  dapat mencapai status sebagai salah sebuah universiti terbaik di negara ini dan dunia adalah dengan wujudnya kepimpinan dan plan tindakan yang berkesan, maka demikianlah dengan BBB memerlukan kepimpinan yang ada visi dan misi bagi menjayakan aspek-aspek di atas dan juga yang lain. Bangi boleh berterusan  sebagai BBB yang ada dengan tiada kepimpinan  yang ada visi dan misim maka Bangi akan berterusan sebagaimana begini.



Sesungguhnya BBB sebuah bandar  yang penduduknya terdiri dari kalangan intelektual dan peka terhadap kepentingan kemasyarakatan. Selama ini ada kepimpinan masjid dan surau yang mengimarahkannya dengan kegiatan ibadat , keilmuan dan kemasyarakatan. Di BBB ada persatuan yang dinamik yang banyak mengadakan kegiatan – termasuklah mengadakan sambutan 40 tahun BBB. Dan di sana ada agensi-agensi kerajaan dari Pejabat Daerah, MPKj dan berbagai-bagai jabatan dan agensi-agensi yang lain. Paling utama di Bangi sebagaimana di tempat-tempat yang lain mempunyai ADUN dan Ahli Parlimen yang sepatutnya  menganjurkan berbagai-bagai kegiatan yang boleh memajukan masyarakat ataupun bagi pihak rakyat setempat melalui persatuan, NGO dan berbagai-bagai saluran mendesak mereka melaksanakan perancangan yang dikehendaki rakyat, bahkan mereka harus bertindak sebelum  tuntutan dari rakyat yang peka dan mendahului mereka melaksanakan kehendak masyarakat dan rakyat.
Tugas merealisasikan `Bangi Bandar Ilmu` bergantung pada banyak pihak.
Bergantung pada kalangan ilmuan  yang dapat menyebarluaskan ilmu  seperti menerbitkan buku, menyampaikan kertas-kertaskerja ilmiah di dalam konvensyen. Dalam hal ini difikirkan wajar ada di Bangi Pusat Konvensyen untuk kegiatan ilmiah, berwacana, mengadakan kegiatan budaya an sebagainya.
Pihak  Persatuan Penduduk BBB wajar menganjurkan kegiatan ilmiah dengan menghimpun tenaga akademik dari berbagai universiti di sekitar Bangi dan mewacanakan topik-topik yang sesuai
Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu juga boleh dengan cara mengadakan Hari Ilmu Bangi (setiap 22 Jun setiap tahun), mengadakan pameran buku dan sebagainya.
Melalui kumpulan ilmuan Bangi mereka harus menjadi jurucakap Bangi dengan bidang kepakaran mereka. Perlu ada `Pemikiran Bangi`  yang mengeluarkan pendapat mengenai berbagai ilmu dan peristiwa yang wajar diberi pandangan yang dihormati.  Bangi perlu menonjolkan ilmuan setempat kepada peringkat nasional dan antarabangsa.
Tugas memastikan Bangi Bersih dan sejahtera bergantung pada banyak pihak. Pada Persatuan penduduk yang peka tentang kebersihan. Kepada wakil Rakyat yang sepatutnya lebih kehadapan di dalam mengambil pendekatan  memastikan kebersihan, misalnya bertindak melalui MPKj untuk memastikan Bangi bukan saja bersih tetapi Bandar Taman yang menghijau. Memastikan tasik dan sungai dipelihara, bahkan mengangkatnya menjadi daya tarikan setempat.
Pihak ADUN setempat juga  perlu peka dengan keadaan lalulintas setempat yang sesak pada waktu-waktu puncak. Misalnya dengan mengadakan `flyover` pada bulatan-bulatan yang sesuai agar lalulintas dapat berjalan dengan lancar. Demikian juga jalanraya-jalanraya yang perlu dinaikkan taraf bagi kelancaran dan keselamatan perlu dilakukan.
Bagi mengatasi cabaran mendatang, sebagaimana kebersihan perlu diambil perhatian juga  oleh keluarga di kawasan rumah masing, keadaan yang sama bagi membolehkan  generasi turunan tidak tersepit di tengah pembangunan dan ketinggalan. Ibu bapa semestinya prehatin terhadap keluarga masing-masing  dengan membekalkan anak-anak dengan pendidikan keagamaan dan pelajaran akademik bagi bekalan hidup mereka. Pihak Kerajaan dan gerakan NGO juga perlu mengeluarkan pendapat, kritikan dan cadangan bagi  bimbingan generasi mendatang. Pihak pemerintah perlu memikirkan tentang pendidikan, latihan dan peluang bagi generasi mendatang.
Berhubung dengan peningkatan status Bangi, memikirkan bahawa Bangi adalah menjadi pusat pentadbiran, terkedepan dari segi keilmuan, terkedepan dengan persatuan penduduk, koperasi  dan kegiatan-kegiatan yang lain, adalah wajar ciri dan identiti sedemikian dinikmati bersama. Ciri dan identiti Bangi perlu diperluaskan dengan konsep yang kita panggilkan sebagai `Greater Bangi` dengan meluaskan kawasan Bangi ke Pekan Bangi, Seri Putra, Bukit Mahkota,bahkan termasuk seluruh Sungai Merab dan Sungai Ramal, Abu Bakar Bagida termasuk Sungai Tangkas dan kawasan UKM. Dengan `Greater Bangi` tidak mengubah nama tempat, tetapi  ianya dibahagikan kepada seksyen-seksyen. Dan Bangi seluruhnya ini sewajarnya menjadi kawasan parlimen dengan beberapa kawasan DUN.
Sesungguhnya usia 40 tahun BBB relatifnya masih muda, banyak perkara yang dapat difikir dan dicadang bagi kemajuan BBB pada masa hadapan. Pemimpin perlu dinamik dan kreatif. Bangi seharusnya menjadi `Bandar Mithali` dalam berbagai segi.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment