November 26, 2017

KONFLIK DI JABATAN SHARI`AH, FAKULTI ISLAM TERPERANGKAP DARI AWAL


BBB, 06 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 25 November 2017M. (Sabtu):
Pembentang kertaskerja ketiga pada pagi 23 November 2017 itu ialah Ustaz Mohd. Ridzuan Awang Pensyarah di Jabatan Shari`ah, Fakulti  Islam, UKM bertajuk:
``Pengalaman Bersama Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din di Fakulti Pengajian Islam, UKM.``


Mengikuti kertaskerjanya didapati pembentang cuba membentangkan tentang usaha Dato` Dr. Haron Din  yang pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Islam, UKM (1977-1985) dan profesor selepas itu, beliau  berusaha bagi meningfkatkan Jabatan Shari`ah dan Fakulti Islam dengan berbagai penambahbaikan, walau bagaimana tidak  terlepas dari berbagai konflik yang ada kala cadangan-cadangan mencapai kejayaan dan setengah tidak berjaya. Sebab itu Penulis mengambil judul;
Konflik di Jabatan Shari`ah, UKM dan sebenarnya konlik ini melibatkan Fakulti Islam itu sendiri, walaupun tidak dibicarakan oleh Pembentang.
Sebelum  dari pembukaan UKM (18 Mei 1970) sebenarnya ada dua tuntutan. Pertama golongan yang mau universit yang diperjuangkan  berjenama `Universiti  Islam` sebagai merealisasikan  hasrat pejuang-pejuang universiti Islam, terutama  dari tenaga pengajar dan lepasan Kolej Islam Malaya yang ditubuh sejak (1955) yang kelulusannya diiktiraf sama dengan Sarjanamuda Universiti Al-Azhar. Kampus bagi universiti ini sudah wujud di Seksyen 16, Petaling Jaya.
Pejuang-pejuang  kedua ialah dari golongan nasionalis yang maukan sebuah Universiti Kebangsaan sebagai lanjutan bagi pelajar-pelajar, trerutama aliran Melayu yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Universiti. Dalam konflik ini golongan nasionalis berjaya dengan kompromi bahawa Universiti Islam yang diharapkan adalah diserapkan sebagai fakulti yang menjadi sebahagian dari UKM dan kampus di Petaling Jaya menjadi kampus Fakulti Islam (sebelum berpindah ke Bangi 1977), di samping sebahagiannya ditumpangi oleh Fakulti Sains.    
Kedudukan Fakulti Islam sebagai satu fakulti dari berbagai fakulti memberi implikasi bahawa:
a)      Konsep keilmuan Islam adalah terhad kepada pengajian, shari`ah, usuluddin, bahasa `Arab dan Dakwah dan Kepimpinan. Keilmuan lain tidak di bawah Islam dan terpisah dari Islam.
b)      Fakulti Islam tidak berkembang dan tidak dapat diusahakan pendekatan Islam kepada ilmu-ilmu yang lain.
c)       Pengajian di bawah Fakulti Islam adalah mengulangi keilmuan tradisi Islam yang sedia ada dan perkembangannya adalah terhad.
Dari segi kejayaan,
Perlu diingat menurut Kalindar UKM 1973-74, Fakulti Islam UKM hanya mempunyai Jabataan Shari`ah dan Usuluddin dengan tambahan Unit bahasa `Arab.
Ini bermakna semasa pentadbiran Dato` Dr. Haron Din selaku Timbalan Dekan (1977-1985) berlaku pertambahan jabatan seperti Jabatan Bahasa `Arab, Al-Quir`an dan Al-Sunnah, Dakwah dan Kepimpinan. Ini satu kejayaan dari segi perkembangan fakulti dan jabatan.
Menurut Ustaz Mohd. Ridzuan Awang, Dato` Dr. Haron Din bertanggungjawab sama menyediakan kurikulum Jabatan Shari`ah  Fakulti Islam.
Antara tahun 1984-85 Dato` Dr Haron Din bersama pihak jabatan Shari`ah telah merangkakan kursus untuk LLB Shari`ah dan Civil, namun menurut Ustaz Mohd Ridzuan yang menjadi Ketua Jabatan Shari`ah (1985-86) pihak Dekan dan atasan tidak bersetuju. Kurikulum berkenaan juga gagal dilaksanakan di Fakulti Undang-Undang di UKM yang baru ditubuhkan.
Begitu juga usaha untuk mewujudkan Fakulti Shari`ah di UKM juga gagal. Ada semacam konflik antara fakulti dengan pentadbiran universiti sehingga beku buat sementara  perkembangan dan kenaikan pangkat.
Berbanding dengan konsep universiti berjenama Islam seperti  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  UIAM (dibuka 1983) yang mengambil pendekatan semua keilmuan mengambil pendekatan Islam dilihat lebih pragmatif dan kehadapan. Antara tenaga  yang menubuhkan universiti ini dipelopori oleh tenaga-tenaga dari UKM seperti Profesor Kamal Hasan (Pernah menjadi Rektor UIAM), Prof Syed `Arabi Aidid (juga pernah jadi Rektor), Prof. Aris Othman, dan ramai lagi. Mereka  berpindah ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).  Universiti yang mengambil pendekatan Islam  secara menyeluruh ini lebih mendapat sambutan. Ini termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang tertubuh awal 2000 juga dipelopori oleh tenaga dari UKM seperti  Tan Sri Profesor Shukor Hussein – Pelopor dan Naib Canselor pertama USIM dan tenaga-tenaga yang lain.
Walau berlaku konflik dalaman, namun pihak Fakulti dan jabatan berusaha meningkatkan prestasi. Menurut Ustaz Mohd. Ridzuan, kegagalan mewujudkan  LLB Shari`ah dan Civil yang asalnya disusun oleh Jabatan Shari`ah UKM itu digunakan di Fakulti Undang-Undang UIAM.
Seterusnya  Jabatan Shari`ah berusaha mewujudkan kursus Diploma Pentadbiran Kehakiman  dan diluluskan. Kursus ini berjalan hingga kini dan mendapat pengiktirafan  JPA.
Pada tahun 1985 pihak jabatan berjaya menubuhkan Persatuan Falak Shar`i dengan menjemput tokoh falak pada masa itu, iaitu Haji Mohd. Khair Taib. Beliau  menjadi karyawan Tamu diJabatan Shari`ah.
Begitu juga pada tahun 1990 ditubuhkan Klinik Hukum dan Guaman Shar`i   dan berterusan  hingga kini.
Dari segi kegiatan luar memurut Ustaz Mohd. Ridzuan, bahawa pihak Fakulti Islam dihadiah dua buah kereta  mercedes, sebuah dari kerajaan Kuwait dan sebuah lagi dari kerajaan `Arab Saudi. Dato` Dr. Haron Din sering keluar berdakwah ke serata tempat dan negeri  menggunakan sebuah dari kereta tersebut.
Menurut Ustaz Ridzuan, berdasarkan kecemerlangan akademik Dato` Dr. Haron Din dan kegiatan luar dari segi pengajaran dan dakwah dan menjadi penasihat bagi berbagai institusi kewangan serta kegiatan perubatan Islamnya maka katanya wajar Dato` Dr. Haron Din diberi gelaran Profesor Emiratus.
Sebagaimana yang dibincangkan bahawa dengan kedudukan Fakulti Islam sebagai satu fakulti, maka ianya terikat dari segi perkembangan, bahkan terperangkap dan tidak berkembang seperti UIAM dan USIM  yang kedua-duanya adalah mengambil jenama Islam dan dapat memperluaskan konsep Islam ke semua fakulti dan kesemua bidang kursus dan pengajaran, sedangkan Fakulti Islam, UKM tersekat dari segi perkembangan. Ianya terhad kepada keilmuan yang dianggap dari segi tradisi sebagai bidang keislaman, sedangkan bidang-bidang yang lain sepatutnya  dapat sama diberi pendekatan keislaman.
Walau bagaimana meskipun  Fakulti Islam dan jabatan-jabatan terhad dari segi perkembangan, namun peluang terbuka ke arah mencapai kecemerlangan jabatan dan fakulti, jika  ada kesungguhan membina  identiti dan kecemerlangan di dalam bidang-bidang berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment