BBB, 21 Safar 1439H. = 10 November 2017M.
(Juma`at):
Al-Uns berasal dari kata dasar `anisa` yang
beerti jinak, mesra, kasih.
Manakala istilah `Haibah` berasal dari
`haba` yang bermaksaud, gagah, perkasa,
menakut dan menggerunkan. Baik al-uns maupun al-haibat kedua-dua istilah digunakan bagi
menggamnbarkan suasana jiwa yang dialami oleh pejalan-pejalan kerohanian di
dalam menuju Allah. Di dalam kualiti
perjalanan rohani `uns` termasuk di bawah `hal`, tetapi haibat tidak
dibicarakan dan tidak diletakkan di bawah mana-mana kategori, walaupun ia adalah bersifat `hal`.
Perlu diingat bahawa istilah mesra, haibat dan kagum juga adalah
pengalaman yang berlaku kepada kalangan ahli seni dan sasterawan. Dari
kemesraan (uns) dan haibat juga menjadi sumber ilham yang dapat ditimba bagi
penghayatan dan diturunkan kepada mana-mana media seni.
Walaupun uns dan haibat adalah gambaran
suasana yang dialami dan dilalui jiwa sufi, tetapi pada mereka kedua-duanya
membawa perbezaan tanggapan. Misalnya dikatakan:
Bila melihat keagungan Tuhan secara haibat
membawa gerun, takut dan sedih.
Sedangkan bila melihat ciptaan Tuhan dengan rasa indah (jamal)
merasa mesra dan cinta.
Kalangan shaykh-shaykh sufi berbeza
pendapat, manakah yang lebih tinggi darjat antara uns dan haibat.
Berkata setengah shaykh, ``Haibat adalah darjah ma`rifat.`` Mereka
berpendapat, ``Bertambah haibat bertambah kegerunan.`` Namun implikasi kegerunan membawa
kepada keengganan dan menjauhi.
Konsep ini dikatakan cenderung kepada
kefanaan – menghilang.
Kalangan shaykh yang lain pula cenderung
kepada uns, lantaran uns membawa kepada kedekatan, kemesraan dan kasih sayang. Uns
melibatkan mesra dan cinta dan ingin kepada penyatuan, meskipun ianya tidak
mungkin bersatu. Ianya lebih bersifat wajdan dan intuisi rohani.
`Ali bin `Uthman al-Jalabi berkata,
``Kedua golongan adalah benar. Kerana jiwa
haibat digunakan terhadap jiwa rendah dan cenderung bagi melenyapkan
sifat-sifat manusia. Manakala uns digunakan
terhadap hati dan cenderung kepada ma`rifat.``
Sesungguhnya Tuhan melenyapkan nafsu
orang-orang yang cinta dan menampakkan keagunganNya dan menganugerahkannya
kehidupan yang abadi dan menampakkan keindahan-keindahanNya.
Para pengikut aliran fana` menganggap
haibat sebagai lebih utama, manakala para pengikut aliran baqa` lebih menyukai
uns.
Menurut Abu Nasr al-Sarraj di dalam
Al-Luma`, Uns kepada Allah adalah bergantung kepadaNya dan tenang kepadaNya dan
memohon pertolongan daripadaNya dan dia
tidak melampaui batas lebih daripada ini.
Sesungguhnya al-uns dengan Allah ialah bagi hamba yang
telah sempurna kebersihan, jernih dzikirnya dan berpaling diri dari segala yang
melalaikan diri dari Allah, dengan ini
dia menerima kemesraan dari Allah.
Al-Uns mesra hati pada yang dicinta,
manakala
Al-haibah gerun diri lantaran ditakuti dan
terjauh diri.
Lantaran itu lebih ramai memilih uns dari
haibah.
Dekat dan jauh suasana intuisi rohani dan
bukan jasmani.
Sekian.
No comments:
Post a Comment