RASUAH: CEGAH DENGAN NILAI MURNI
(Fikrah Bangi: 134),
BBB, 25 Jamadil-Awwal 1440H. = 31 Januari 2019
(Khamis).
Semua orang bersetuju dengan inisiatif
kerajaan melancarkan Plan Anti Rasuah Nasional 2019-2023. Semua orang mau kalau
dapat rasuah dihapuskan. Mekanisme perlaksanaan Plan Anti Rasuah yang
digagaskan adalah berdasarkan 22
strategi daripada enam sektor utama mengandungi 115 inisiatif anti rasuah
membabitkan sektor politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran
sektor awam perundangan, kehakiman dan tadbir urus koporat.
Dari segi plan ianya adalah hebat melibatkan
sektor yang terlibat dengan pencegahan dan fokus kepada badan-badan yang
terdedah kepada peluang rasuah. Namun adakah pencegahan dan tindakan
undang-undang yang sebenarnya semua perkara ini telah wujud dapat mencegah
rasuah secara benar-benar efektif. Adakah ianya melibatkan keyakinan dalaman,
kesedaran tentang hakikat nilai dan menyedari bahawa rasuah adalah keji, salah
dan terkutuk baik dari segi nilai tertinggi, keagamaan, keihsanan dan
kemanusiaan ? Jika tidak semua yang dirangka itu adalah bersifat luaran dan
rapuh. Ianya adalah sekadar salah, tangkap, dihukum dan dikurung dan tiba masa
dilepaskan atau dihapuskan dengan
hukuman.
Rasuah adalah nilai keji yang harus dibasmi
dari akar umbi bermula dari akidah keyakinan wujud Yang Berkuasa, Berpegang pada
nilai abadi, jelas mengenai nilai baik dan buruk, yakin terhadap balasan baik
dan buruk, kehidupan bukan setakat di
dunia ini, tetapi ada balasan dan penentuan ! Didikan menanamkan nilai-nilai
murni seperti ini adalah memakan masa berterusan. Mulai dari didikan keluarga –
ibu bapa di rumah tangga, persekolahan, amalan dan ketaatan bertereusan melalui
masjid – surau dan orientasi kehidupan masyarakat yang bernilai murni. Sebagai
contoh produk dari didikan murni ini, mengapa dalam politik seperti PAS dapat dikatakan tiada mereka yang terlibat
dengan rasuah ? Mereka adalah melalui didikan dan kesedaran yang disebut di
atas.
Malaysia mempunyai mekanisme bagi Didikan
Nilai Murni. Ada Jabatan Kemajuan Islam Peringkat Persekutuan, ada jabatan Islam
pada peringkat negeri, ada Jabatan Mufti, ada Yadim, ada Ikim, ada
persekolahan, ada pengajian tinggi yang berjenama Islam dan berbagai agensi
bernama Islam sebenarnya lebih daripada cukup jika dilaksanakan secara efektif
bagi menanamkan nilai murni bukan saja mencegah rasuah, tetapi dari
amalan-amalan buruk yang lain. Banyak peruntukan yang dibelanjakan bagi semua
ini. Sejauhmanakah kesannya. Jika diatur secara efektif nescaya dapat memberi
kesan lebih positif.
Bagi membina dan mencegah rasuah dengan nilai-nilai
murni, oleh kerana rakyat negera berbilang bangsa, maka inti nilai murni dari
agama dan pengajaran agama-agama lain patut sama dijadikan panduan selagi dia
tidak bertentangan.
Didikan secara
langsung patut dilakukan terhadap semua sektor. Missalnya satu kesan
yang baik yang dilakukan selama ini ialah
melalui kardah usrah. Semua jabatan, termasuk Jabatan Perdana Menteri patut mengadakan usrah bulanan yang dihadiri oleh
menteri dan pegawai-pegawai. Usrah ini dikendalikan oleh seperti Mufti dan
pegawai-pegawai agama tertinggi yang lain. Begitulah dengan jabatan-jabatan
yang lain. Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dalam ABIM , mereka yang terlibat
dengan politik Pas seperti Datuk Seri Mujahid Yosof Rawa tentu ingat dan
mengetahui kesan usrah kepada kelompok-lelompok yang menyertainya. Mekanisme
ini perlu dilakukan di dalam badan-badan yang lebih dekat dengan kemungkinan
peluang rasuah berlaku.
Pendidikan nilai murni harus dilakukan dalam semua
sektor, bahkan wajar ada pegawai-pegawai agama dalam agensi dan badan-badan
kerajaan dan swasta. Misalnya di dalam tentera ada guru agama, mengapa tidak
diadakan di dalam Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Percukaian Negara dan
sebagainya.
Kita menyokong rancangan Plan Anti Rasuah,
tetapi pendekatan mungkin dapat dipelbagaikan. Pendekatan Agama banyak memberi kesan. Jabatan
Agama dari peringkat Persekutuan hingga negeri, sektor Pendidikan,
pengajian-pengajian di bnerbagai peringkat perlu dilihat kesannya, jika tidak
perlu dibaiki dan disusun kembali. Banyak kewangan dibelanjakan untuk semua
ini. Ia perlu dibaiki dan disusun kembali, ianya seharusnya bukan saja untuk
membasmi rasuah, tetapi bagi menjadikan negera Malaysia mempunyai identiti
bernilai murni. Malaysia seharusnya berada di dalam 10 negara bersih rasuah,
bukannya berada pada tangga 61 di dunia.
Sekian.