January 19, 2019

PROJEK KERETA NASIONAL KETIGA MENERUSKAN LEGASI PERIBADI ?


PROJEK KERETA NASIONAL KETIGA MENERUSKAN LEGASI PERIBADI  ?
(Fikrah Bangi:  122):
BBB:  13 Jamadil-Awwal 1440H. = 19 Januari 2019M. (Sabtu):
Beberapa pemimpin negara dilihat merangka perancangan yang kesan pembangunan bagi negara dan kejayaan dikaitkan dengan pemimpin semasa, bahkan menjadi legasi bagi pemimpin berkenaan. Tun Razak dilihat dan ketara kejayaannya di dalam `Pembangunan Luar Bandar`. Antaranya dengan Felda, jenama yang berkait rapat dengan Tun Razak.
Dr. Mahathir dalam era pertama menjadi Perdana Menteri (1987-2003) membina legasi dan terkenal sebagai pembangun bangunan seperti KLCC dan Putrajaya. Salah satu projek yang dikaitkan dengannya ialah mencetus idea mengeluarkan kereta nasional yang berjenama Proton (1980). Pada era Najib beliau berusaha membina imejnya mewujudkan rangkaian pengangkutan awam, seperti KLR dari Sungai Buluh ke Kajang dari utara ke Selatan dan dari Barat ke Timur  - ke Pahang, Terengganu dan Kelantan, di samping Highway Borneo. Perancangannya terbantut dengan kekalahan BN dalam Pilihanraya ke 14 (9 Mei 2018).
Kereta Nasional yang dibangunkan pada era Dr. Mahathir, mengalami kemerosotan bahkan kerugian pada era Najib Tun Razak yang membawa kepada penjualan equiti Proton hampir separuh kepada Geely Holding Group Co. (Geely). Najib boleh dianggap menyebabkan Syarikat Kereta Nasional mengalami kemerosotan dan terpaksa hampir separuh dari sahamnya dijual kepada Geely.
Dr. Mahathir yang mempunyai sentimen yang tinggi terhadap jenama kereta Nasional Pertama – Proton, tentulah tidak berpuashati menyebabkan timbul hasratnya untuk membangun kembali kereta Nasional dengan jenama baru. Ini dicetus pada bulan Jun 2018, sebulan selepas beliau kembali berkuasa – sebagai Perdana Menteri, biarpun Proton masih dimiliki oleh Malaysia kerana lebih dari 50% saham masih dimiliki Malaysia dan sebenarnya sudah wujud jenama kereta Nasional Kedua iaitu oleh Persatuan Automobil Kedua Sdn. Bhd. dikenali dengan Pro-Dua (1992). Jenama kereta Nasional Kedua dengan berbagai rekabentuk secara kreatif  yang menarik sebenarnya amat laris  di pasaran dan jenama ini ketara kelihatan di jalan-jalan raya.
Persoalannya, apakah rancngan bagi membangunkan Projek Kereta Nasional Ketiga ini ekonomik sifatnya dan mampu bersaing dengan kereta Nasional Pertama dan Kedua ? Bahkan bersaing dengan berbagai jenama kereta dari luar yang bebas masuk ke pasaran Malaysia ?
Apakah projek perlu dilaksanakan kerana ia keluar dari cetusan seorang Perdana Menteri, tanpa mengira ianya mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa ? Sudahkah dibuat perhitungan untung ruginya ? Kita berpendapat kalau hendak mengekalkan legasi, sudah cukup dengan nama Proton yang masih milik Malaysia dan kerjasama dengan syarikat luar sebenarnya menguntungkan Malaysia, kerana mempunyai pasaran yang luas baik tempatan dan juga antarabangsa. Sebenarnya maruah Malaysia tidak tercemar dengan kerjasama yang memberi keuntungan kepada dua pihak – Malaysia dan Geely.
Apakah tidak wajar diberi perhatian sama terhadap Pro-2 yang merupakan kereta Nasional kedua Malaysia yang dalam keadaan sekarang amat mendapat sambutan pengguna. Kajilah dari segi untung rugi sebelum dibangunkan kereta ketiga berjenama Malaysia. Kita bimbang selepas era kedua Dr, Mahathir berakhir nanti, maka kereta Nasional Ketiga turut malap dan legasi yang mau dimegahkan sebagai kereta Nasional Ketiga nanti turut malap.
Sebenarnya kini  kita merasa begitu rimas dan muak dengan berbagai-bagai jenis kereta di jalanraya dan di mana-mana saja. Kereta menjadi penguasa ruang, pengganggu ketenteraman dan menjadi pembunuh kedua rakyat kita. Kempen mengurangkan kereta patut dijadikan agenda penting. Galakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Utamakan ketenteraman dan kesejahteraan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment