MASJID AL-UMM BERORIENTASIKAN ILMU
(Fikrah Bangi: 117),
BBB, 08 Jamadil-Awwal 1440H. = 14 Januari
2019M. (Isnin):
Satu kelainan, bahkan keistimewaan bagi Masjid
Al-Umm, bahawa ianya dibangunkan berorientasikan ilmu. Ianya menjadi fokus dan
disedari sejak sebelum pembinaan masjid itu. Ciri berorientasikan ilmu ini
adalah tercetus dari Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi yang sambutannya
diadakan dari 30 Julai – 1 September 2007. Dalam sambutan tercetus buat
permulaan tentang `Bangi Bandar Ilmu` dan Pelancaran Bangi Bandar Ilmu ini
dilakukan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri
Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor di KUIS pada 22 Jun 2008
(Tarikh ini menjadi Hari Ilmu Bangi).
Hasrat mau mendirikan Masjid Al-Umm yang mula
dibincangkan dalam mesyuarat di Surau Al-Umm yang dijemput ADUN Bangi pada 4
Februari 2010 antaranya, bahawa mendirikan Masjid Al-Umm adalah menjadi
pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu.
Ada beberapa tahap mendirikan Masjid Al-Umm
berorientasikan ilmu.
1) Bangi dikelilingi oleh – pada masa itu, 18 pusat
pengajian tinggi, di samping berpuluh pusat latihan dan agensi penyelidikan,
maka Masjid Al-Umm mau menjadikan dirinya sebagai `Jami`ah` sesuai dengan keberadaannya di tengah berbagai pusat
pengajian tinggi dan masyarakat intelektual.
2) Pelan pembinaan Masjid Al-Umm adalah bersifat
universiti. Ia direkabentuk sedemikian rupa dalam mana masjid ini mempunyai
bilik-bilik seminar, bilik-bilik kuliah, perpustakaan, Ruang Solat Muslimat
bilik IT dan Bilik Mesyuarat yang boleh digunakan juga sebagai bilik seminar
dan kuliah. Kesemuanya terletak pada tingkat atas (Satu). Manakala pada aras
utama, maka ianya menjadi ruang solat yang boleh digunakan sebagai ruang
kuliah, seminar, forum dan sebagainya. Pada bahagian serambi (sayap) kiri dan kanan
boleh dijadikan kelas pengajaran dan juga bagi kumpulan-kumpulan pengajaran
yang bersifat halaqah. Manakala pada `Ruang Legar` pada bahagian hadapan dapat
dijadikan perhimpunan majlis ilmu, kursus dan bimbingan, terutama bagi
anak-anak sekolah. Pada ruang ini juga boleh digunakan bagi berbagai sambutan.
Pada aras bawah tanah dikenali dengan Dewan Konvensyen boleh diadakan,
konvensyen dan seminar dalam jumlah yang besar. Dewan ini juga bersifat
serbaguna, boleh dijadikan tempat jamuan perkahwinan dan berbagai-bagai
perhimpunan. Pada aras bawah tanah ini juga terdapat sebuah bilik yang boleh
digunakan sebagai bilik seminar dalam jumlah yang kecil (100 orang), di samping
digunakan sebagai bilik `aqad Nikah.
3) Kini semua ruang ini digunakan bagi fungsi-fungsi
yang disebutkan oleh Masjid atau disewa oleh pihak-pihak tertentu sama ada
untuk seminar, pengajaran dan berbagai-bagai tujuan. Dua bilik masih dalam
persediaan, iaitu Perpustakaan. Ketua yang mengurus perpustakaan sudah
dikenalpasti dan bilik IT sedang dalam perancangan penggunaan.
Memanglah tidak dapat dinafikan, bahawa masjid
didirikan adalah bertujuan sebagai tempat ibadat, khususnya bagi solat waktu,
Juma`at dan ibadat-ibadat yang lain. Tetapi masjid juga sebagai tempat ilmu
diimarahkan dengan berbagai-bagai pengajian, mulai dari mengiringi solat subuh dan selepas Maghrib hingga Isya`dengan ceramah
dan tazkirah, kelas-kelas yang dikendalikan oleh guru-guru yang mengajar Al-Qur`an
dan berbagai keilmuan yang lain seperti bahasa `Arab, Cina dan sebagainya. Manakala pada Sabtu diadakan
seminar bulanan. Ianya mirip seminar di universiti dalam mana dibentangkan
kertaskerja, ulasan dan perbincangan.
Konsep Masjid yang memfokuskan kepada ibadat,
keilmuan dan kemasyarakatan ini, insya Allah akan di perturun dan diperluaskan
kepada sejumlah 23 surau yang berada di bawah Masjid Al-Umm.
Adalah dihasratkan Masjid dan Surau-Surau
bersama dapat meningkatkan kualiti beribadat selari dengan peningkatan ilmu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment