ESTETIKA TERTINGGI
(Fikrah Bangi: 120),
BBB, 11
Jamadil-Awwal 1440H. = 17 Januari 2019M. (Khamis):
Antara estetika rohani tertinggi dalam Islam,
ialah seni yang berhubung dengan ayat-ayat Al-Qur`an dan tulisan dari huruf-huruf
Al-Qur`an. Di dalam masjid Al-Qur`an dibaca dengan indah dan betul (bertajwid)
di dalam solat. Pengajian Al-Qur`an diajar dan dipelajari di masjid.
Di Masjid Al-Umm ada guru tarannum yang
mengajar Al-Qur`an secara berlagu dan didatangi ramai pengaji-pengaji mengikuti
pembacaan Al-Qur`an secara tarannum. Sememang ada kaedah-kaedah tarannum dan
qira`at dapat dipelajari. Al-Qur`an menjadi pengajian yang banyak yang
dianjurkan di Masjid Al-Umm. Ada pangajaran dan pengajian bersifat komunikatif antara
pengajar dan pengaji yang diajar antara Maghrib dengan `Isya`. Ada pengajaran
bagi memperbaiki sebutan. Memahami makna dan kandungan ayat dan mengenal
sifat-sifat huruf dan kaedah-kaedah sebutan dan memahami kaedah rasam `Uthmani dan rasam biasa.
Pengajian ini dikenali dengan Tahsin Qira`at al-Qur`an. Selain itu ada
kelas-kelas membaca Al-Qur`an yang ditawarkan kepada berbagai peringkat
pengaji.
Satu aspek seni tertinggi Islam ialah menulis
ayat-ayat Al-Qur`an secara khat yang baik. Ia adalah bidang kaligrafi tertinggi
di dalam Islam. Penulisan ayat Al-Qur`an secara khat yang baik adalah
mempertemukan antara estetika tertinggi ayat Al-Qur`an secara tulisan
ketinggian estetika ayat Al-Qur`an berpadu dengan seni khat menjadikannnya satu
bidang seni yang tinggi mutunya. Melalui tangan para khattat mereka boleh
menulis ayat-ayat Al-Qur`an di dalam bentuk khat seperti nasakh, thuluth,
raq`ah, raihan dan berbagai-bagai lagi yang semuanya indah dengan ciri-ciri khat yang khusus menurut
bentuk-bentuk yang dieperkatana.
Khat berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an di dalam
berbagai bentuk di atas menjadi hiasan di dinding-dinding masjis. Ayat-ayat
yang ditulis ialah yang ada hubungan rapat dengan masjid, solat dan sebagainya
seperti ayat Kursi, empat Qul, surah
al-Mu`minun dan sebagainya. Bagi Masjid Al-Umm memang dari awal dibincang dalam
mana salah satu hiasan dalaman (dinding atas), ialah ayat-ayat berhubung dengan
solat. Namun dari segi khat ini pihak kontrektor tidak patuh pada kehendak Jawatankuasa
agar menulis secara khat yang menarik dan terang, tetapi apa yang dirakam
kecil, tenggelam dalam warca cat. Ayat Kursi terakam dengan baik pada bahagian
atas mimbar (Ayat Kursi).
Dari segi khat ini apa yang menarik, nama bagi
masjid ini `Al-Umm` yang ditulis dengan huruf Al-Qur`an adalah unik dan
menarik. Pada atas bahagian Al-Umm diletak bentuk kubah di atas alif dan lam alif. Manakala mim pada akhir
tulisan sedikit jauh dan terasing dari
lam alif. Jika diteliti secara halus dan estetik nama Al-Umm dengan
sedikit disambung pada bahagian bawah, ianya sebagai `ha`, menjadi Allah. Tetapi secara asing ia juga dilihat
sebagai huruf `mim` yang memberi maksud sebagai `Muhammad`. Ertinya secara seni
pada kalimah Al-Umm itu terkandung
secara halus perkataan Allah dan Muhammad.
Secara nyata bahawa seni khat adalah menjadi
sebahagian daripada elemen estetika masjid. Seni khat yang menggunakan
ayat-ayat Al-Qur`an meningkatkan elemen estetika masjid yang bersifat kudus dan
mulia. Seni khat menjadi sebahagian dari elemen estetika rohaniah yang dihias
di masjid, kerana di masjid ini paling sesuai dirakamkan di masjid, kerana
ianya mencerminkan kehalusan rasa dan ketinggian estetika,
Sekian.
No comments:
Post a Comment