January 10, 2019

STRATEGI BAGI MEMPROMOSI DAN MENGIMARAHKAN MASJID AL-UMM


STRATEGI BAGI MEMPROMOSI DAN MENGIMARAHKAN MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi: 113),
BBB, 04 Jamadil-Awwal 1440H. = 10 Januari 2019M. (Khamis):
Telah disebutkan, bahawa Masjid Al-Umm mempunyai kekurangan-kekurangan yang  menyebabkan kemungkinan kurang tarikan bagi mereka dari luar untuk berkunjung ke Masjid Al-Umm untuk menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan atau mungkin bagi melihat-lihat sebagai satu destinasi yang perlu dikunjung apabila melawat Bangi dan bagi muslim sekurang-kurang masuk dan bersolat di dalamnya, lebih dari itu mengikuti kegiatan semasa yang ada.
Dari segi pendekatan sebagaimana tajuk di atas bagi memperkenalkan Masjid Al-Umm sekurang-kurangnya ada sepuluh  cara mempromosikan Masjid Al-Umm yang perlu dikunjungi oleh mereka yang datang ke Bangi :
1)      Memperkenalkan Masjid Al-Umm dari segi Warisan
2)      Masjid Al-Umm Masjid Rakyat
3)      Memperkenalkan Masjid Al-Umm dari segi fizikal berorientasikan  ilmu
4)      Bangunan yang bersifat functional
5)      Ciri estetika pada Masjid Al-Umm
6)      Ibadat Fokus Utama.
7)      Pendekatan Pengajaran
8)      Kegiatan kemasyarakatan
9)      Meningkat kualiti bersama surau-surau
10)   Peberbitan
11)   Visi dan misi pada masa depan.
Tiedak dapat dinafikan bahawa fokus utama mendirikan masjid adalah menjadi tempat ibadat bagi masyarakat setempat, terutama dari segi solat waktu dan solat Juma`at dan ini memang berlaku secara berterusan sejak masjid mula digunakan pada 16.12.2017 bagi menunaikan  solat waktu dan mulai dari 12.10.2018 mula digunakan bagi solat Juma`at dan seterusnya. Setakat ini tiada permasalahan dan semua berjalan lancar. Begitu juga dengan ibadat puasa yang dijalankan di masjid ini seperti bertarawih, iftar, bersahur, tadarrus, bertahajud, qiyamullail, khatam Al-Qur`an, Ceramah Ramadhan, solat `Idil Fitri dan Id al-Adhha dan sebagainya.
Membicarakan tentang promosi, sebenarnya ada kaitan dengan menarik hadirin ke masjid, khususnya bagi ibadat dan pengajian, tetapi juga mempopularkan Masjid Al-Umm sebagai destinasi penting dan terkenal untuk dikunjungi oleh pengunjung-pengunjung. Ada aspek pelancungan bagi menarik orang datang ke Bangi dan Masjid Al-Umm menjadi destinasi penting. Dalam hal ini perlulah dizahirkan tentang Masjid Al-Umm sebagai satu daripada daya tarikan bagi mereka yang datang mengunjungi Bangi. Terkenalnya sesuatu tempat atau objektif tertentu kerana ada keistimewaan tertentu. Misalnya:
Keistimewaan Masjidil Haram kerana ada Ka`bah yang menjadi Kiblat bersolat dan ibadat-ibadat yang lain seperti haji dan `umrah atau semata-mata bagi ziarah.
Terkenalnya Masjid Nabawi, kerana ia menjadi Masjid Nabi dan padanya ada maqam Nabi dan sahabatnya Abu Bakar dan `Umar ibn al-Khattab.
Terkenalnya Masjid Umawi di Damshiq kerana seni binanya, terutama tiang-tiang yang dilengkungi dengan bentuk arch yang menjadi contoh seni bina Islam. Masjid Umawi di Damshiq juga menjadi pusat pengajian pada zaman pemerintahan Umawi.
Terkenalnya Masjid Salahuddin di Shah Alam kerana mempunyai bentuk kubah yang unik dan merupakan masjid yang mempunyai kubah berwarna biru terbesar di Asia Tenggara.
Bagi Masjid Al-Umm  perlu ditonjol keistimewaan dan keunikan masjid ini sehingga ianya terkenal bukan saja di Bangi, di Selangor, di Malaysia, bahkan satu-satunya masjid sedemikian di dunia ini.
Sekian.

No comments:

Post a Comment