January 9, 2019

MEMBINA IMEJ DAN IDENTITI MASJID AL-UMM - CABARAN


 MEMBINA IMEJ DAN IDENTITI MASJID AL-UMM - CABARAN
(Fikrah Bangi: 112):
BBB, 03 Jamadil-Awwal 1440H. = 09 Januari 2019M. (Rabu):
Kertaskerja terakhir dalam siri Seminar Masjid Al-Umm (2018) telah dibicarakan sebagai pengenalan dan tertangguh oleh kerana ada isu-isu  yang penting yang perlu didahulukan. Kertaskerja di atas adalah merupakan fasa kedua bagi pembangunan Masjid Al-Umm. Fasa pertama ialah Fasa Pembinaan Fizikal Masjid Al-Umm yang bermula dari peringkat persediaan hingga tamatnya pembinaan selepas menerima CCC pada 4.10.2018 yang memakan masa selama 10 tahun 2008-2018.
Fasa Kedua ialah Fasa Pembangunan Masjid Al-Umm yang non-fizikal. Peringkat ini adalah lama dan berterusan. Ianya termasuk bagaimana mengisikan kegiatan berterusan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm dalam jangka pendek dan jangka panjang. Kertaskerja:
``Membina Imej Dan Identiti Masjid Al-Umm,``
Ialah pendekatan dan strategi agar Masjid Al-Umm dikenali, termasuk kedudukan, lokasi dan ciri-ciri yang ada pada masjid itu yang mebeda dan mengistimewakannya daripada masjid-masjid yang lain. Dan yang lebih penting dikenali dan menjadi tarikan, terutama para jamaah untut bersama hadir ke Masjid Al-Umm, kerana misalnya , aktiviti-aktiviti ibadat yang diatur dan diprogramkan di masjid, pengajaran-pengajaran dan kegiatan ilmiah yang bermutu dan interaksi masjid dengan masyarakat yang menarik minat masyarakat terhadap masjid dan memperkenalkan masjid kepada masyarakat.
Sebelum daripada membicarakan pendekatan bagi membina imej dan identiti Masjid Al-Umm, pembentang menyebut tentang kelemahan dan kekurangan yang ada pada Masjid Al-Umm berbanding dengan  Masjid Al-Hasanah masjid pertama di Bandar Baru Bangi yang lebih sempurna, bahkan menarik minat masayakat, khususnya para jama`ah ke masjid itu. Antara kekurangan yang ketara pada Masjid Al-Umm.
a)      Keluasan tapak bagi masjid Al-Umm begitu terhad dan sempit. Tapaknya hanya seluas 2 ekar. Sebuah tapak bagi masjid secara selesa ialah 10 ekar yang melayakkan ruang seluas berkenaan dapat dijadikan Pusat Islam yang ada padanya pusat pendidikan (sekolah) dan pentadbiran. Keluasan sederhana yang dapat dikatakan selesa ialah 5 ekar seperti tapak Masjid Al-Hasanah. Dengan keluasan seperti ini dapat disediakan parkir bagi jamaah, khususnya pada hari Juma`at. Antara ruangnya dapat didirikan bangunan pendidikan. Masjid Al-Umm amat terhad kawasan. Sebab itu masjid ini dibina secara tiga tingkat. Termasuk di dalamnya ruang-ruang untuk kegiatan keilmuan dan dewan konvensyen dan serbaguna. Masjid Al-Umm  mempunyai ruang parkir terhad, Cuma dapat memuatkan hanya 51 ruang parkir  sahaja di dalam kawasan masjid. Kenderaan yang datang menggunakan ruang luar seperti ruang parkir Medan Usahawan yang sebahagian menjadi ruang kereta-kereta buruk yang sengaja dibawa dan dibiarkan oleh pemilik-pemiliknya dan mengotorkan tempat. Faktor kekurangan tempat parkir yang antara mereka terpaksa menggunakan ruang-ruang di bahu jalan menyebabkan kurang minat para jama`ah dan pengunjung untuk datang ke Masjid Al-Umm.
b)      Lokasi Masjid Al-Umm tidak berada pada kawasan strategik yang menjadi  tumpuan kehadiran orang ramai. Masjid Al-Umm  adalah berada di kawasan `old town` yang tersorok ke dalam, iaitu dalam kawasan perumahan lama, di Seksyen Satu dan Dua. Pengunjung-adalah dari penduduk setempat, tidak seperti Masjid Al-Hasanah berada pada lokasi strategik, di tengah pusat bandar dan mudah disinggah dan didatangi pengunjung dari berbagai tempat.
c)       Di kelilng Masjid Al-Umm sendiri terdapat 5 buah surau. Para jama`ah lebih selesa ke surau-surau kawasan masing=masing, kerana lebih dekat.  Keliling  Masjid Al-Umm juga terdapat 5 surau yang dibenarkan mendirikan solat Juma`at, Dengan demikian Masjid Al-Umm seolah-olah menghadapi saingan mendapat jamaah solat waktu dan Juma`at.
Dengan kedudukan di atas Masjid Al-Umm perlu mempunyai pendekatan dan strategi bagi memajukan Masjid Al-Umm, khususnya bagi menarik para jama`ah dan pengunjung-pengunjung luar bagi datang ke Masjid Al-Umm.
Demikian sebahagian dari cabaran yang perlu dihadapi dan di atasi oleh Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment