January 8, 2019

BAHAYA DIBIARKAN KELAHIRAN ALIRAN DALAM AGAMA SECARA BEBAS


BAHAYA DIBIARKAN KELAHIRAN ALIRAN DALAM AGAMA SECARA BEBAS
(Fikrah Bangi: 110),
BBB, 02 Jamadil Awwal 1440H. =  08 Januari 2019M. (Selasa):
Dalam keilmuan Islam ada ruang untuk mentafsir, mentakwil dan menghurai sesuatu persoalan  misalnya di dalam ilmu fiqh yang melahirkan pendapat yang mungkin berbeza antara satu dengan lain, lantaran sedemikian melahirkan pendukung bagi sesuatu pendapat dan aliran yang kemudian dikenali dengan mazhab. Setakat ini kelahiran mazhab ini diterima dan dihadkan kepada empat mazhab terkenal iaitu Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali. Pengolahan selanjutnya dikawal berdasarkan mazhab-mazhab berkenaan. Mekanisme pengawalan misalnya ialah oleh pihak berkuasa negara, negeri, mufti, institusi pengajian dan ulama`-ulama`. Pengolahan dan penyimpangan dari mazhab yang diterima boleh mempelbagai dan mencelarukan hukuman, aliran dan pegangan. Di negara kita, bahkan di Nusantara mazhab yang dianuti oleh umat Islam dirantau ini sejak kedatangan Islam ke alam Melayu adalah mazhab Shafie. Al-Hamdulillah dengan kesatuan pegangan pada mazhab Shafie dari segi fiqh, Ash`ari dari segi akidah dan Al-Ghazali dari segi tasawuf yang semuanya selari dengan Shafie menjadikan pegangan umat dengan Islam adalah harmoni.
Selepas merdeka, ada pihak yang cuba mengubah pendapat dan pegangan yang telah harmoni di kalangan umat Islam di Malaysia. Pengaruh dari pandangan Hasan Bandung dari Indonesia telah cuba diresap  masuk  ke dalam fikiran umat Islam di Malaysia pada 1960an menyebabkan lahirnya golongan yang disifatkan sebagai golongan `Kaum Tua` yang dianggap tradisional dan konservatif dan golongan `Kaum Muda` yang dianggap radikal dan progresif. Mereka dari golonganb Kaum Muda ini mempersoalkan amalan seperti:
Lafaz usalli .. bagi takbiratul ihram, membaca basmalah secara kuat bagi surah, baca qunut bagi solat subuh, seterusnya membaca wirid dan do`a mengiringi solat. Bagi Kaum Muda,  semua ini tidak perlu dengan hujah tertentu. Seterusnya dipersoalkan tentang talqin bagi simati, tahlil dan ratib. Mereka mewajarkan makan biawak sebagai `dhab` di negara `Arab dan persoalan berhubung anjing dari segi najis.``
Menurut Uztaz Ghazali Nawawi Mantan Profesor di UIAM, antara tokoh di tanahair yang terkenal yang mendukung Kaum Muda ini  ialah Ustaz Abu Bakar Ash`ari. Menurut Ustaz Ghazali, pendapat tentang Kaum Muda ini pernah  di bawa ke Kelantan dan Terengganu sebagai dua negeri yang kuat dengan Islam, tetapi pendapat `Kaum Muda` ini tidak diterima di kedua-dua negeri tersebut. Sebaliknya pengajaran Abu Bakar Ash`ari yang ada hubungan dengan Hasan Bandung dari Jawa ini mendapat sambutan di Perlis dan bertapak di negeri itu.
Penulis bersama satu pasukan pengkaji dari Jabatan Persuratan Melayu, UKM pernah pergi membuat Kajian Budaya, termasuk agama di Perlis pada awal 1980an. Penulis sendiri membuat kajian tentang amalan  - terutama solat di negeri itu dengan menghadiri kuliah-kuliah dan pengajaran seperti oleh Haji Nor di madarasah yang dia mengajar dan mendapati kelainan amalan dari amalan biasa umat Islam di negeri-negeri lain. (Kajian budaya juga dibuat di Johor).
Adalah didapati ada elemen-elemen Wahabi di dalam amalan di Perlis ini. Tapi pihak berkuasa Perlis tidak menyebut `Wahabi`, tetapi sebagai amalan yang telah dipakai selama ini.
Isu pemecatan 25 imam di Perlis, kerana mereka tidak mau mengikut amalan seperti kaum muda di atas yang mau dipaksakan kepada imam-imam, tetapi keengganan mereka menyebabkan mereka dipecat dan membawa kepada tunjuk perasaan oleh jama`ah Masjid Umar al-Khattab dan sepuluh buah masjid yang lain.
Apa yang mau ditunjukkan, betapa bahayanya jika diterima aliran-aliran yang bercanggah dengan pegangan yang telah mantap. Apa yang berlaku di Perlis adalah menggugat pegangan mantap umat Islam di Malaysia dan Indonesia sejak berzaman. Pimpinan di Masjid Umar al-Khattab dan sepuluh buah masjid yang lain mau beramal menurut pegangan yang diamalkan oleh umat Islam di tempat lain dari Perlis. Pendapat dan pegangan mereka adalah wajar dan adalah wajar tuntutan mereka, jika imam yang baru dihantar hendaklah mengikut amalan yang sama dengan pegangan umat Islam di negeri-negeri yang lain dari Perlis.
Dalam hal ini JAKIM seharusnya tidak berlepas tangan, bukan saja isu Perlis, tetapi isu-isu yang baharu seperti Shi`ah,sekularisme, pluralisme, Islam progresif ?  dan berbagai faham moden yang lain yang menggugat kemantapan akidah umat.
Sekian.

No comments:

Post a Comment