January 23, 2019

MENGAPA TIDAK DITUBUHKAN BANK ZAKAT ?


MENGAPA TIDAK DITUBUHKAN BANK ZAKAT ?
(Fikrah Bangi:  126),
BBB, 17 Jamadil-Awwal 1440J. = 23 Januari 2019M. (Rabu):
Pada pagi ini Penulis mempunyai dua program yang kedua-duanya Penulis ingin menghadirkan diri.
Pertama:  Taklimat Keselamatan antara Ketua Balai Polis Bandar Baru Bangi dengan nazir-nazir dan pengerusi surau-surau di Bandar Baru Bangi.
Kedua: Taklimat Nazir-Nazir Masjid Bagi Perlantikan Prenolong Amil Seluruh Hulu Langat Bagi Sesi 2019-2021 anjuran Lembaga Zakat Selangor (MAIS).
Penulis berhasrat mau menghadirkan diri ke dua-dua taklimat, tetapi oleh kerana berlaku pertembungan masa, terpaksa mewakilkan salah seorang Pegaweai Masjid menggantikan Penulis.
Penulis menghadiri Taklimat  berhubung dengan zakat.
Taklimat yang bermula dari jam 9.30 pagi itu dirasmikan  oleh Ustaz Haji Mohd.  Nadzri bin Sobirin Timbalan Pentadbir PAID merangkap Ketua Pengerusan Masjid di PAID dan dihadiri oleh beberapa Pegawai dari Lembaga Zakat  Selangor seperti Ustaz Shuaib bin Hashim, Ustaz Shukor Badri, Ustaz Firdaus dan beberapa pegawai Zakat yang lain. Penulis tidak berhasrat untuk melaporkan apa yang ditaklimat. Tetapi tertarik kepada sesi akhir yang dibentangkan oleh Ustaz Khairul Azhar Akmal Pegawai dari Ibu Pejabat  Zakat Negeri Selangor. Antara maklumat yang disampaikan bahawa Negeri Selangor memungut hasil Zakat bagi tahun 2018 ialah sebanyak RM85 juta. Manakala pungutan Zakat Fitrah bagi tahun yang sama ialah berjumlah RM25 juta, tetapi agihan Zakat Fitrah yang dibuat kepada asnaf pada tahun 2018 ialah RM30 juta. Kekurangan  RM5 juta ditampung dari sumber zakat  yang lain dari Fitrah.
Sepanjang sesi taklimat dari jam 9.30 hingga 12.45 tengahari itu Penulis bersifat mendengar sahaja termasuk mengikuti berbagai soalan dan jawapan yang diberi.
Tetapi sebaik Majlis Taklimat berakhir dan dalam pergerakan ke arah dewan makan tengahari Penulis bertanya Ustaz  Khairul Azhar.
Dengan jumlah wang zakat yang didapati di Negeri Selangor lebih dari RM100 juta itu, tidakkah wajar difikirkan cara yang dapat lebih memberi manfaat kepada umat Islam di Selangor, iaitu dengan menanam modal sebahagian daripada dapatan bagi memperkembangkannya dan dapat diagihkan  secara mantap setiap tahun menurut jumlah zakat fitrah yang dipungut setiap tahun ? Model Tabung Haji dapat dicontohi bagi memperkembangkan wang zakat yang kelak bukan saja digunakan bagi pengagihan secara tahunan bagi fakir miskin dan asnaf yang lain, tetapi dapat digunakan bagi membangun ekonomi bagi umat Islam, termasuk di dalam bidang pelajaran, pinjaman modal dan pembangunan berbagai projek.
Penulis menyebutkan wang zakat  wajar dihimpun dan dijadikan aset dan modal bukan saja dari Selangor, bahkan dapat dihimpunkan dari semua negeri di Malaysia menjadikan satu jumlah yang besar yang boleh mencecah kepada jumlah berbilion ringgit yang dapat dimanfaatkan bagi Umat . Ustaz Khairul Azhar bersetuju dengan pendapat Penulis dan menurutnya, idea yang seumpama ini pernah diajukan, tetapi pihak atasan tidak  memberi respond positif. Penulis juga mengajukan pendapat agar diwujudkan Bank Zakat Malaysia dalam mana pihak zakat dan berbagai sektor menggunakan bank berkenaan bagi memaju dan memperkembangkan wang zakat bagi kepentingan umat. Ustaz Khairul Azhar juga bersetuju dengan cadangan Penulis. Dalam perjalanan ke Dewan Makan itu, Penulis mengajukan supaya diadakah Konvensyen Zakat seluruh Malaysia bagi memikirkan kaedah terbaik untuk memperkembangkan wang zakat. Beliau juga bersetuju dan meminta Penulis mengemukakan kepada pihak atasan melalui badan yang releven dengan menyangka Penulis masih sebagai Wakil Rakyat. Penulis mengatakan Penulis bukan lagi Wakil Rakyat, tetapi Penulis berharap idea bagi memaju dan memperkembangkan zakat dapat diadakan melalui konvensyen yang diadakan. Beliau menyatakan perkara berkenaan akan cuba dibawa ke atas.
Sekian

No comments:

Post a Comment