ISU PEMECATAN IMAM DI PERLIS, PERSOALAN
TERSEMBUNYI MAKIN JELAS
(Fikrah Bangi, 109),
BBB, 29 Rabi`ul-Akhir 1440H. = 06 Januari
2019M. (AHAD):
Isu mengenai pemecatan 25 imam di masjid-masjid di Perlis mengejutkan,
terutama di kalangan orang Islam. Dikatakan pemecatan semata-mata kerana mereka
telah tamat tempoh – melebihi 60 tahun. Tamat tempoh. (Sinar, 4 Januari 2019:
6). Penamatan bagi diganti oleh imam-imam muda, termasuk penukaran 10 imam lagi
dijangka lebih meningkatkan prestasi
masjid di Perlis.
Tapi keraguan timbul, apabila berita
berikutnya berhubung dengan maklumat 2,000 anak ahli kariah Masjid Umar
al-Khattab Kg. Guar, Syed Alwi menunjuk
perasaan secara aman membantah penukaran Imam masjid mereka dan menuduh pihak Mufti Perlis berbohong dan pengecut. (BH,
6.1.2019: 16).
Sebenarnya sebelum mendapat berita terbaru
pagi ini, padaSabtu malam tadi Penulis di Masjid Al-Umm mendengar dan berbincang
dengan Ustaz Ghazali Nawawi, mantan
profesor di Universiti Islam Antarabangsa yang baru pulang dari Perlis (4
Januari 2019) berdakwah di sana bersama dengan jama`ah Tabligh lebih dari
seminggu. Beliau memaklumkan tentang kekacauan di masjid-masjid yang
dikunjungi. Katanya setengah masjid, imam tak datang. Jama`ah yang datang tak
sampai sebaris. Ada yang solat tak baca bismillah secara terang dan solat
berakhir begitu saja tanpa wirid dan do`a, manakala waktu subuh ada yang
berqunut dan ada yang tidak. Solat diibaratkan sebagai kering dan kehilangan
roh ! Kata Ustaz Ghazali, ``Pengimarahan jama`ah di masjid-masjid kita di
Selangor, khususnya di Bangi jauh lebih baik dan teratur berbanding dengan Perlis
dan beberapa negeri yang lain.
Penulis bertanya Ustaz Ghazali berhubung
dengan pemecatan 25 imam itu. Beliau menyatakan bukan kerana umur semata-mata, tetapi oleh kerana mereka
(imam-imam) tidak menurut arahan pihak berkuasa agar menurut ibadat solat
kePerlisan ! `` Bermaksud, mereka
mengamalkan kaedah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah seperti di Selangor dan
negeri-negeri lain menurut Mazhab Shafie. Mereka berwirid dan berdo`a
selepas setiap solat. Mereka membaca qunut. Mereka membaca `Bismillah` secara
terang (tidak senyap) dalam solat. Mereka juga bertahlil dan baca Yasin, misalnya
pada malam Juma`at. Menurut Ustaz Ghazali perkara-perkara di atas tiada larangan
dalam Qur`an dan Hadith, jika pun tidak wajib, mereka mendapat pahala, contoh berwirid,
berdo`a dan membaca Yasin.
Pagi ini berita-berita yang dibawa di dalam
akhbar-akhbar Mingguan Malaysia, Berita Harian (Ahad) dan Sinar makin jelas
kedudukannya. Misalnya.
Imam-imam yang tamat tempoh kontreknya hanya
10 orang, bukannya 25 orang. Ini bermakna 15 orang daripada mereka ditamatkan
perkhidmatan, secara kasarnya `dipecat`.
Ini bererti isu umur bukan dominan.
Ada dikatakan permasalahan adalah disebabkan
elaun yang sebenarnya bukan isu.
Penunjuk perasaan secara aman bukan hanya
dilakukan oleh ahli jama`ah Masjid Umar
ibn al-Khattab (2,000 orang) secara aman, tetapi dilakukan oleh `10 buah masjid
yang selama ini tidak dihighlighted kan. Ini mencerminkan rasa tidak puashati
dikalangan jamaah begitu tinggi. Mereka mau beramal ibadat, khususnya solat seperti di negeri-negeri lain di Malaysia. Ini
perlu diambil perhatian oleh Mufti, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Perlis dan
Kerajaan Negeri Perlis sendiri.
Sebenarnya Mufti, Jabatan Agama Islam Negeri
Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis yang berpihak kepada `Amalan Ibadat
Keperlisan` (akan dihurai kelak), dengan institusi keagaman yang ada padanya,
gagal menyekat arus dan pengaruh pengajian Islam yang dipelajari, termasuk pelajar-pelajar dari Perlis di luar
Perlis seperti di universiti-universiti, khususnya berjenama Islam,
kolej-kolej, sekolah agama, tahfiz-tahfiz
dan pengajian-pengajian di masjid-masjid dan surau-surau di negara ini –
juga luar negara. Sebenarnya perkembangan ini baik bagi negeri Perlis bagi
menyatukan pengajian dan kaedah beribadat di Malaysia secara sepadu dan tidak
bercelaru.
Tetapi kita mau melihat sejauhmana Perlis mau
mempertahankan amalan `Islam Keperlisan` dan lebih baik pihak Negeri Perlis memberi
huraian dan penerangan secara akar umbi
dan detail kepada rakyat, khususnya muslimin dan muslimat di Malaysia. Lebih
elok diadakan dialog, seminar dan persidangan yang melibatkan pakar-pakar dalam
bidang-bidang berkenaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment