NAZIR BUKAN SETAKAT MENJAGA MASJID, TAPI
SURAU-SURAU DI BAWAHNYA
(Fikrah Bangi: 131),
BBB, 22 Jamadil-Awwal 1440H. = 28 Januari
2019M. (Isnin).
Meskipun pada usia yang sudah lanjut, amanah
yang diberi sebagai Nazir Pertama Masjid
Al-Umm Penulis terima dengan tujuan berkhidmat kerana Allah dengan melaksanakan
program-program yang sepatutnya bagi mengimarahkan masjid. Penerimaan amanah
Nazir bukan setakat berkhidmat kepada Masjid Al-Umm semata-mata, tetapi di
bawah sesuatu masjid sebagaimana digariskan di dalam Anekmen Masjid-Surau di
bawah JAIS-MAIS perlu menjaga sama sejumlah surau yang terletak di bawah
sesuatu masjid. Di Bandar Baru Bangi kini terdapat dua buah masjid, iaitu
Masjid Al-Hasanah (Tahun 2000) dan Masjid Al-Umm (Tahun 2018). Terdapat 40 buah
surau di Bandar Baru Bangi. Maka jumlah surau-surau dibahagi dua berdasarkan
sempadan jalan. Maka di bawah Masjid Al-Umm diletakkan 23 surau, manakala di
bawah Masjid Al-Hasanah 17 surau. Surau-surau di bawah Al-Umm agak banyak
meliputi hampir 2/3 kawasan Bandar Baru
Bangi.
Sebagai melaksanakan tugas selaku Nazir mulai 1
Januari 2019, maka dari segi pendekatan pentadbiran, ialah mentadbirkan Masjid
Al-Umm, maka mesyuarat pertama telah diadakan pada 11 Januari 2019 (5 Jamadil
Awwal 1440) dengan nama Mesyuarat Tadbir Urus dan Pengimarahan Masjid Al-Umm
(secara bulanan), iaitu menggariskan tugas dan pelaksanaan bagi pegawai dan
ahli jawatankuasa Masjid Al-Umm, termasuk penubuhan 10 biro dan ahli
jawatankuasa setiap biro bagi melicinkan tugas secara berkesan.
Mesyuarat kedua dan berasingan ialah mesyuarat
antara jawatankuasa Tadbir Urus dan Pengimarahan di atas dengan semua pengerusi
surau yang berjumlah 23 buah surau di bawah Masjid Al;-Umm itu. Mesyuarat pertama diadakan pada 26 Januari 2019 (20
Jamadil-Awwal 1440) bertempat di Bilik Mesyuarat Masjid Al-Umm.
Bagi menggariskan objektif, misi dan visi yang
dapat dijadikan panduan di dalam tadbiran masjid dan surau-surau, ahli
Jawatankuasa Mesyuarat Tadbir Urus dan Pengerusi-pengerusi surau bersetuju
dengan motto, iaitu ``Tingkat Ilmu, Ibadat dan Mesra Masyarakat``. Motto ini dapat
menjadi panduan bukan saja bagi Masjid Al-Umm, tetapi juga surau-surau di
bawahnya. Boleh juga menjadi panduan bagi masjid dan surau yang lain.
Motto di atas adalah selari dengan misi dan
visi Masjid Al-Umm yang dicetus sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu yang
bangunan Masjid Al-Umm sendiri dibina dan dibangunkan berorientasikan ilmu, baik
dari segi architecturenya dan juga pengimarahannya.
Lebih jauh, bahawa Masjid Al-Umm, amat menekankan
keilmuan yang bersifat agama dan keilmuan bagi keperluan hidup semasa –
termasuk pengajian secara tradisi dan akademik. Ilmu adalah penting bagi penyempurnaan
ibadat. Kalau tidak berterusan belajar, maka ibadat mungkin tidak sempurna baik
dari segi bacaan, amalan dan kerohanian, juga bagi kehidupan semasa. Maka
ilmu-ilmu yang ditawarkan di masjid adalah bagi memenuhi tujuan tersebut.
Melalui ilmu juga dapat meningkatkan syakhsiah dan peribadi ahli jamaah yang
terus belajar dan dengan bekalan
keilmuan yang dipelajari, maka akan mewujudkan hubungan kemasyarakatan yang
harmoni.
Dengan visi dan misi pengajian dan ibadat yang
meningkat dan berkualiti dan hubungan masyarakat secara harmoni yang sedang
dibina di Masjid Al-Umm ini, juga sama dibawa kepada semua surau yang di bawah
Masjid Al-Umm. Kaedah dan pendekatan dibincang secara detail dalam mesyuarat
sebagaimana digariskan di dalam agenda mesyuarat (sengaja tidak dibentangkan di
sini). Interaksi, komunikasi bahkan turun padang antara Jawatankuasa masjid dan
surau berlaku. Diharap ketetapan yang
diambil dan perlaksanaan yang dilakukan akan memberi impak yang baik di dalam
meningkatkan kualiti masjid, surau-surau dan jamaah masyarakat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment