January 29, 2019

ARAS SATU DAN BAWAH TANAH: ESTETIKA DAN FUNGSIONAL


ARAS SATU DAN BAWAH TANAH  - ESTETIKA & FUNGSIONAL
(Fikrah Bangi: 132),
BBB, 23 Jamadil-Awwal 1440H. = 29 Januari 2019M. (Selasa).
Sebagaimana pada aras utama Masjid Al-Umm mempunyai elemen berpasangan, bersebelahan dan bertentangan, demikianlah juga dengan susunatur bilik-bilik. Ruang utama pada aras satu yang terletak di tengah-tengah ialah `Ruang Solat Muslimat`. Ia berada pada bahagian atas bagi bahagian belakang  yang di bawahnya  ruang utama. Ruang solat muslimat mampu memuatkan 500 muslimat. Walaupun ruang ini khas bagi muslimat, tetapi pada masa tertentu, misalnya pada hari Juma`at ruang ini diguna bagi para muslimin bagi menunaikan solat Juma`at. Demikian juga bagi keramaian yang tidak melibatkan muslimat. Ruang ini di sekat dengan dinding kaca dari kanan ke kiri  dinding konkrit. Pada lapisan dalam bagi dinding kaca ini ada langsir yang  boleh menutup pandangan ke dalam. Pada bahagian hadapan adalah pagar dari besi alluminium yang tahan karat bagi menghadang dari jatuh. Pada dinding terdapat khat ayat Al-Qur`an yang berkait dengan muslimat. Bentuk khatnya tidaklah  begitu menarik.
Pada bahagian kanan  dan kiri di atas bagi serambi (koridor atau sayap) kanan dan kiri, pada bahagian kanan ke depan ialah ruang  bagi bilik mesyuarat  yang agak canggih dengan perabut yang bermutu dan kerusi yang mengelilingi meja bundar yang dapat memuatkan 50 kerusi eksekutif, tetapi jumlah ini dapat ditambah kerusi hingga kepada seratus orang. Dalam bilik mesyuarat ini bukan saja mempunyai pembesar suara bagi setiap ahli mesyuarat, tetapi lengkap dengan alat untuk pandangan dengar dan skrin. Bilik mesyuarat ini juga dapat digunakan sebagai bilik seminar.
Pada bahagian kiri seluas bilik mesyuarat ini yang saiznya bersamaan, dijadikan bilik seminar. Ruang ini adalah bagi dua bilik seminar yang dapat disekat antara satu sama lain yang jumlah setiap ruang seminar ialah 50 orang, tetapi  jika jumlah yang berseminar melebihi dari 50, maka dinding pemisah dapat dibuka menjadi satu bilik seminar yang dapat memuatkan seramai  seratus peserta. Dalam bilik ini lengkap dengan peralatan pandang dengan dan skrin pemancar. Pendek kata ianya lengkap bagi bilik seminar secara akademik. Bilik-bilik ini juga dapat ditukarkan kepada bilik mesyuarat dan kelas-kelas pengajaran.
Di belakang bagi ruang solat muslimat ada jalan laluan ke bilik mesyuarat dan juga bilik-bilik seminar, maka di belakang bagi ruang solat muslimat, di atas ruang legar adalah terdapat sebelah menyebelah dua bilik (empat 4 bilik kuliah). Bilik-bilik ini digunakan:
Dua bilik sebelah kanan ialah untuk dewan kuliah yang digunakan untuk pengajaran seperti kelas bahasa `Arab, Manderin dan kelas-kelas ilmu yang lain yang memang sedang digunakan. Pada bahagian tengah  yang memisahkan dua bilik di sebelah kanan dan dua bilik di sebelah kiri ialah ruang kosong di atas bagi pertengahan ruang legar yang di tengah-tengahnya ialah kipas besar untuk ruang legar. Juga dapat dilihat ke bawah melalui tingkap bagi bilik kuliah tepi.
Dua bilik kuliah sebelah kiri yang sama bentuknya di sebelah kanan ialah bilik yang dikhaskan kepada perpustakaan dan  IT. Ketua Pustakawan telah dilantik dan dalam proses untuk  menyempurkannya sebagai perpustakaan. Manakala alat-alat IT masih di dalam perundingan,
Manakala sebuah bilik kuliah lagi adalah diperuntukkan bagi kelas tahfiz. Projek bagi kelas tahfiz ini setakat ini belum lagi bermula. Bagi ruang-ruang yang dibicarakan di atas tidaklah mempunyai elemen dekorasi yang banyak, tetapi semuanya mempunyai peralatan bagi keperluan bilik-bilik berkenaan.
Bagi bilik bawah tanah, ianya sama dengan ruang aras utama yang ketinggiannya agak terhad.  Ruang tengah adalah  ruang untuk konvensyen, perhimpunan, pertemuan dan jamuan perkahwinan. Ruang konvensyen ini dari segi kecanggihannya disifatkan sebagai `lima bintang`. Pada sebelah kanan terdapat bilik `aqad nikah yang dapat memuatkan peserta hingga 50 orang. Bilik ini juga dapat ditukar kepada bilik kuliah dan seminar dalam jumlah kecil. Bedepan dengannya ada bilik persiapam dan sejumlah toilet. Manakala sebelah kiri terdapat bilik hidangan dalam mana dalam bilik ini disediakan hidangan bagi jamuan-jamuan. Walaupun  bilik ini untuk persediaan hidangan, tetapi tidak dibenarkan memasak.
Semua ruang dan bilik di tingkat satu dan juga di aras bawah tanah dapat disifatkan canggih   dan fungsional. Hampir keseluruhan ruang adalah berorientasikan ilmu dan dapat diguna bagi majlis-majlis ilmu dan lain-lain
Sekian

No comments:

Post a Comment