PENGAJARAN KEPADA PELOMPAT PARTI
(Fikrah Bangi: 123),
BBB, 14 Jamadil-Awwal 1440H. = 20 Januari
2019M. (Ahad).
Ketika Datuk Seri Zahid dilantik memimpin Umno
menggantikan Datuk Sei Najib pada 30 Jun 2018 adalah dijangka Umno kembali
stabil selepas kekalahan parti itu pada pilihanraya ke 14 (9 Mei, 2018), malangnya
beliau juga terseret dengan sejumlah kes mahkamah. Berikutnya beliau
menghadapi desakan supaya mengundurkan diri dan menyerahkan kepimpinan. Antara
desakan datangnya dari kumpulan
enam yang mendesak supaya Zahid
meletakkan jawatan. Mereka memberi tempoh sepuluh hari untuk Zahid berbuat
demikian (BH, 15.12.2018). Ugutan mereka ini dikuti dengan perletakan jawatan
mereka dari Umno yang boleh disifatkan sebagai `marahkan nyamuk bakar
kelambu.`, dalam jangkaan mereka akan diterima baik oleh PH, sebagai
mengukuhkan parti pemerintah itu.
Malangnya dalam PH sendiri, timbul rasa tidak
puashati terutama dari DAP dan PKR menerima `Sampah Dari Luar` yang mencemarkan
prinsip dan perjuangan parti. Akibatnya pihak PH mensyaratkan bahawa mereka
yang melompat parti dan berhasrat mau masuk PH, perlu ada masa dalam bebas sebelum diterima dalam PH dan
mereka yang berkualiti sahaja bakal diterima. Antara mereka yang melompat dan
terperangkap ialah kumpulan enam. Mereka boleh disifatkan pelarian atau `orang
hanyut politik` yang mencari perlindungan.
Dalam suasana ketidaktentuan itu, kita dapati
pimpinan Umno yang dipangku oleh Datuk Muhammad Hasan sejak Zahid berundur 18 Disember 2018 dan tempat Muhammad Hasan
diganti Timbalannya Ismail Sabri dapat mengembalikan keyakinan ahli Umno dan
mulai bergerak cergas sebagaimana terbukti dalam usaha mengekalkan
Parlimen Cameron Highland dan akan
menghadapi beberapa pilihanraya kecil yang lain. Bukan setakat itu, pulihnya
Umno dan BN, kerana dilihat banyak kelemahan dalam PH. Misalnya pertelagahan di
dalam parti komponan seperti Dalam PKR, janji-janji yang banyak tak dapat
ditunaikan, bahkan banyak polisi-polisi yang dibawa tidak menyenangkan. Ini
semua memberi peluang bagi Umno dan BN memulihkan kekuatannya.
Dalam pada itu kumpulan enam yang melompat
parti, oleh kerana berada di dalam ketidaktentuan dikatakan berhasrat untuk
kembali kepada Umno (the Star, 17 January 2019: 1 &2), dalam jangkaan
mereka tentulah dialu-alukan oleh kepimpinan Umno sebagai `Sireh Pulang Ke
Gagang` dengan jangkaan mereka sebagai
aset penting bagi Umno dan tentulah dengan mudah akan diterima kembali.
Tetapi nampaknya jangkaan mereka meleset,
Pengerusi Jamaah Penasihat Parti Umno, Tengku Ghazaleigh Hamzah dengan tegas
mengatakan, ``Tiada ruang bagi ahli parlimen BN yang keluar parti untuk U-turn.
Mereka tidak akan diterima semula.``
Sebaliknya Kumpulan Enam` yang mengetahui
mereka tidak akan diterima kembali, membuat kenyataan, bahawa anggapan mereka
akan kembali kepada Umno itu sebagai spekulasi. Sebaliknya mereka masih kekal
bebas. Dapatlah difahamkan, bahawa kenyataan yang sedemikian sebagai
mempertahankan diri dan menjaga meruah semata-mata. Tetapi jika demikian,
`Hendak ke mana mereka ?`
Tindakan Umno menolak permohonan kembali bekas
ahlinya yang melompat parti adalah wajar. Demikian tindakan pihak PH yang tidak
menerima mereka. Ini adalah sebagai pengajaran bagi mana-mana ahli parti
politik yang tidak berprinsip untuk melompat parti. Mereka yang berbuat
demikian seharusnya menerima risiko yang lebih parah. Mereka sepatutnya ditolak
oleh mana-mana parti dan tidak mempunyai masa depan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment