July 27, 2019

DASAR PENDIDIKAN NEGARA MEMBENTUK BANGSA MALAYSIA


DASAR PENDIDIKAN NEGARA PEMBENTUK BANGSA MALAYSIA
(Fikrah Bangi: 298),
BBB: 24 Zulkaedah 1440H. = 217 Julai 2019M. (Sabtu).
Dasar pendidikan negara yang berasaskan Penyata Razak (1957) berjaya membentuk Dasar Pendidikan Kebangsaan yang membentuk bangsa Malaysia. Pada permulaan bahasa Inggeris masih digunakan sebagai bahasa pengantar terutama pada peringkat menengah dan tinggi , tetapi melalui sidang parlimen dan desakan pejuang-pejuang nasionalis, pihak kerajaan (Perikatan kemudian BN) berjanji selepas sepuluh tahun merdeka bahawa bahasa Melayu akan menjadi bahasa klebangsaan dan rasmi negara. Walau bagaimana setelah hampir sedekad janji menjadikan bahasa Melayu bahasa rasmi tidak ditunai sehingga berlaku tunjuk-tunjuk perasaan dari kalangan aktivis pada masa itu. Mereka termasuk persatuan-persatuan Penulis Tanah Air, Pimimpin Dewan Bahasa dan Pustaka dan pengikut-pengikut diketuai Syed Nasir bin Ismail – termasuk Usman Awang, pelajar-pelajar Kolej Islam Malaya dan sebagainya. Hingga tahun 1967 pelajar sekolah Menengah Melayu yang lulus Sijil Menengah (MC) tidak dapat menyambung pengajian. Mereka pelajar-pelajar dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Dato` Abdul Razak dan Sekolah Alam Shah. Bila dihantar mereka menyambung pengajian di Universiti Malaya (dibuka di Kuala Lumpur dari Universiti Singapura 1959), kebanyakan mereka tidak lulus, tetapi pelajar-pelajar yang lulus dari sekolah menengah Melayu pada peringkat  permulaan itu bila dihantar keluar negara lulus dengan baik. Ini menimbulkan kecurigaan dan ada menganggap sabotaj terhadap pelajar-pelajar yang lulus pengajian Melayu pada masa itu. Ini menyebabkan meningkatnya rasa tidak puashati dan berlaku tunjuk-tunjuk perasaan. Mereka menuntut supaya sebuah universiti yang menggunakan bahasa kebangsaan ditubuhkan. Pejuang-pejuang Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti Aminuddin Baki, Syed Nasir, persatuan-persatuan Penulis Tanahair, Kesatuan Guru Semenanjung, GPMS  dan pelajar-pelajar pada masa itu mendesak kerajaan yang dipimpin Tunku Abdul Rahman Putera sebagai Perdana Menteri dan Khir Johari sebagai Menteri Pelajaran yang dituduh melengah-lengahkan pembinaan Universiti berbahasa Melayu dan meminta  segera menubuhkan sebuah universiti bagi menampung pelajar-pelajar menengah kebangsaan yang makin ramai lulus dan tidak berpeluang menyambung pengajian di universiti.
Atas desakan rakyat, maka pada tahun 1969diumumkan penubuhan sebuah universiti yang dinamakan Universiti Kebangsaan Malaysia. Universiti ini memulakan pengajian ialah di bangunan Maktab Perguruan di Lembah Pantai mulai 18 Mei 1970, tidak jauh dari Universita Malaya. Sebenarnya selepas tertubhnya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya,  Universiti Sains Malaysia, (1971) dan Universiti Pertanian Malaysia (1973), turut sama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dan tidak bermasalah. Ini tidak bererti bahasa Inggeris diabaikan, kerana bahasa itu wajib dipelajari dan wajib lulus dan tetap digunakan dalam penyampaian setengah mata pelajaran. Universiti-universiti berkenaan dan universiti-universiti yang lain daripadanya yang lahir selepas itu misalnya Universiti Teknologi Malaysia, Institut Pengajian Mara (kemudian UiTM), Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak tidak bermasalah dari segi penggunaan bahasa, khususnya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sebenarnya penggunaan bahasa Melayu sejak dari sekolah rendah hingga ke peringkat tertinggi menjadi faktor terpenting di dalam menyatukan rakyat Malaysia. Dengan dasar bahasa dan kurikulum yang sama rakyat dari peringkat rendah mengenal huruf dan tahu membaca dan tahu berkomunikasi di dalam bahasa tersebut. Bahasa ini menjadi bahasa standard dan rasmi di kalangan rakyat. Tidak ada yang tidak tahu bercakap dan menggunakan bahasa tersebut, Ini tidak menghalang dari penggunaan bahasa etnik masing-masing, bahkan penggunaan bahasa Inggeris yang memang menjadi mata pelajaran yang dipelajari di sekolah, bahkan sampai kepada pengajian tinggi.
Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi telah diterima, tetapi kecintaan terhadap bahasa itu belum dapat dikatakan sepenuhnya berlaku, di sampmg kejayaan yang ditunjuk, termasuk beberapa universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, UPM dan USM bertukar ganti menjadi antara universiti terbaik di Asia dan dunia, masih ada yang tidak meyakini bahasa tersebut misalnya usaha untuk menggunakan PPSMI kembali setelah gagal digunakan pada tahun  1983-1993. Usaha ini ditentang oleh para akademik, kesatuan guru-guru dan NGO-NGO.
Apa yang sepatut diperjuangkan ialah meningkatkan prestasi penggunaan bahasa tersebut dan pengajian-pengajian tinggi sehingga ianya menjadi identiti dan jati diri bagi negara dan bangsa Malaysia.
Sekian.

No comments:

Post a Comment