MELAYU-ISLAM PERLU BERJIWA BESAR
(Fikrah Bangi: 272),
BBB:
27 Syawal 1440H. = 01 Julai 2019M. (Isnin).
Atas dasar ilmu, sejarah dan budaya yang
disumbangkan oleh Islam terhadap bahasa dan bangsa Melayu-Indonesia, maka Melayu
(termasuk Indonesia) hendaklah menerus dan mengunggulkan bahasa dan rumpun
Melayu di Nusantara.
Sejarah membuktikan, sebelum Islam tiba ke
alam Melayu, maka Melayu adalah satu daerah kecil di Sumatera dan bahasanya
adalah merupakan bahasa daerah yang dipertuturkan oleh kelompok kecil masyarakat. Ianya
terlindung di bawah kerajaan Sriwijaya yang gah memerintah sejak abad ke 7
hingga 12M. Apabila Islam datang mulai abad ke 8, maka Islam tidak memilih
bahasa Sriwijaya atau Jawa, oleh kerana bahasa itu sarat dengan
istilah-istilah Sanskrit dan Hindu-Buddha yang boleh mengelirukan jika dipilih menjadi
medium penyibaran Islam. Sebaliknya Islam memilih bahasa Melayu yang masih
murni dan bersih dari istilah-istilah
Sanskrit, Hindu-Buddha dan Jawa. Pemilihan bahasa Melayu adalah pemilihan yang
tepat. Ianya muncul bersama munculnya kerajaan-kerajaan Melayu-Islam seperti
Samudera Pasai, Terengganu yang mula menggunakan tulisan jawi dan dipuncaki
oleh Kerajaan Melaka. Melalui perdagangan dan keilmuan Islam berkembang ke
seluruh pelusuk Nusantara termasuk Filipina. Bahasa Melayu menjadi
lingua-franka yang digunakan dalam perhubungan, perniagaan dan perekembangan
keilmuan Islam – termasuklah diAcheh.
Apabila
Barat datang menurut jejak jalan yang direntas oleh peniaga dan
pendakwah Islam. Barat seperti Portugis, Belanda dan kemudian British datang
bukan saja untuk berniaga, tetapi untuk menjajah secara kekerasan dan mau
menyibarkan Christian. Pada tahap ini perlumbaan berlaku bagi menyebarkan Islam
dan menyekat kedatangan Kristian., Mereka berjaya menjajah sebahagian dari alam
Melayu, tetapi tidak berjaya memperkembangkan Kristian, kecuali sebahagian Filipina
yang dikuasai secara kekerasan, terutama bahagian Utara.
Peranan Islam begitu besar memperkembangkan
Islam di Nusantara. Islam menyatukan kawasan di Nusantara kepada bangsa
Melayu-Islam (Indonesia), menyatukan dari segi akidah dan menjadikan bahasa
Melayu-Indonesia dari satu rumpun sebagai bangsa Melayu-Indonesia yang memilih
asal bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi yang menyatukan penduduk di kawasan
Nusantara. Kini kawasan Nusantara adalah merupakan kawasan yang paling ramai
dengan penganut Islam di dunia dan bahasa Melayu-Indonesia adalah menjadi
bahasa di Nusantara dan bahasa terbesar umat Islam.
Dari kebesaran bangsa di Nusantara dan
bahasa Melayu yang disumbang oleh Islam, maka kita janganlah memperkeciklkan
diri, bahkan perlu sedar dan bermegah dengan teramainya umat Islam dan terbesarnya bahasa Melayu-Indonesia dari
satu rumpun dan bahasa itu. Kebesaran Islam hendaklah terus membesarkan rumpun
dan bahasa Melayu dan kita hendaklah berjiwa besar. Islam hendaklah dilihat
secara menyeluruh, bukannya terpesona
dan memetik satu dua kuntum bunga dari ranting yang dianggap menarik dan
menjaja tentang keistimewaan, tanpa penerimaan menyeluruh.
Antara gagasan besar yang patut menjadi
perjuangan umat, bahawa, kita perlu menjadi pusat pengajian Islam, tamadun dan
perdabannya. Kita di Malaysia dan juga di Indonesia mempunyai banyak pusat-pusat
pengajian tinggi Islam. Kita mempunyai pengajian tinggi yang setara dan mungkin
lebih baik dari Al-Azhar dan sebagainya. Kita hendaklah merancang secara
teratur bersama Indonesia pengajian-pengajian bermutu bagi menarik
pelajar-pelajar dari seluruh dunia bagi mempelajari Islam di sini bersama
dengan pengajian-pengajian yang lain.
Islam telah mengangkat bahasa Melayu menjadi
bahasa Islam dan lingua frangka dan
menjadi bahasa Islam terbesar di dunia, maka bahasa ini hendaklah dipertahankan
keunggulkannya menjadi bahasa Islam dan bahasa Nusantara di negara kita.
Usaha hendaklah dilakukan supaya bahasa
Melayu Indonesia yang serumpun menjadi bahasa Islam bagi keilmuan Islam dan
bahasa ilmu bagi berbagai-bagai bidang keilmuan yang lain. Tidak ada bahasa
yang lebih sesuai dikembangkan di tempat asalnya selain dari bahasa setempat.
Bahasa kedua sebagai bahasa ilmu juga diberi perhatian seperti bahasa Arab dan
bahasa Inggeris.
Kerja ke arah menjadikan Melayu-Nusantara
sebagai pusat pengajian Islam dan tamadunnya bersama-sama keilmuan yang lain
yang menggunakan bahasa setempat
hendaklah dilakukan secara teratur dan penuh dengan visi. Tidak ada bahasa luar
yang mampu mengambil bahasa setempat Melayu-Indonesia yang berbudaya dan
berakar umbi di negara ini.
Bangsa besar mestilah berjiwa besar dan
sarat dengan visi yang menjadi daya gerak bagi melaksanakannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment