July 28, 2019

JATI DIRI DAN IDENTITI: BAGAIMANA DENGAN KITA ?


JATI DIRI  DAN  IDENTITI: BAGAIMANA DENGAN KITA ?
(Fikrah Bangi:  299),
BBB:  25 Zulkaedah 1440H. = 28 Julai 2019M. (Ahad).
Jati diri dapat dijelaskan sebagai kejayaan, pencapaian atau penyerlahan watak,  peribadi dan imej sesuatu  institusi secara dominan bagi individu, masyarakat atau sesuatu institusi beekenaan.  Ia adalah kecemerlangan yang dicapai dan dimegahi oleh masyarakat dan menjadi jati diri dan identiti bagi individu dan masyarakat atau institusi berkenaan. Jati diri  dan identiti ini menjadi pengenalan bagi individu,  masyarakat dan institusi berkenaan yang bukan saja dimegahkan, tetapi sebagai contoh tauladan yang seharus diikuti oleh semua pihak, khususnya bagi masayarakat yang mewarisinya. Ianya penting bagi diri, kelompok dan masyarakat yang berciri positif dan mau bergerak maju. Dalam hal ini jati diri dan identiti bukan saja diwarisi, tetapi bagi yang  bergerak maju berusaha mencapainya.
Mengambil contoh yang  besar misalnya dalam bidang politik pemerintahan, dunia mengkagumi Abraham Lincoln yang berjaya menyatukan Amerika dan membebaskan perhambaan yang berlaku dalam masyarakat. Demikian Nelson Mandela yang membebaskan Afrika Selatan dari cengkaman penjajah dan membebaskan rakyat dari dasar apartheid. Contoh jati diri dan identiti yang dikenali dalam bidang persuratan misalnya Willium Shakspere terkenal dengan seni dramanya yang bermutu yang menjadi salah satu agent yang mempopularkan bahasa Inggeris pada peringkat permulaan kepada dunia. Demikian juga dengan Muhammad Iqbal sasterawan dan negarawan yang memperjuangkan bagi mewujudkan sebuah negara Pakistan yang direalisasikan oleh Presiden pertama iaitu Muhammad Ali Jinnah. Puisi-puisi dan tulisan-tulisan prosanya menjadi saksi  inspirasinya tentang semangat perjuangan, kemampuan bahasa dan hasrat yang diingini bersama umat Islam Pakistan.
Dari segi keilmuan banyak yang dapat dicontohi. Dalam bidang keilmuan Islam adalah dikagumi tentang kegigihan Bukhari menghimpun dan menyusun buku Hadith Bukhari terkenal sehingga menjadi sumber keilmuan terpenting selepas Al-Qur`an. Contoh ekstrim, walaupun tidak disukai, Karl Marx mengarang Das Capital yang menjadi panduan induk bagi ideologi komunis yang menjadi salah satu ideologi panduan bagi pendukung dasar komunis yang diikuti oleh Rusia, China dan beberapa negara lain.
Melihat kepada institusi pengajian tinggi dunia mengiktiraf Universiti Al-Azhar sebagai universiti tertua  di dunia yang merupakan pusat keilmuan Islam dan menyebarkan ilmu keislaman keseluruh dunia dan terus berfungsi hingga kini. Bagi pengajian dari negara yang bukan Islam Universiti Oxford dan Cambridge diiktiraf sebagai universiti-universiti tertua dan bermutu di dunia. Peranannya berterusan hingga kini.
Dilihat dari kesan-kesan tamadun, dunia mengkagumi tamadun dan peradaban Iraq tua - Babylon yang menghasilkan tulisan dan perundangan terawal di dunia. Demikian juga peradaban dan seni bina yang dihasilkan oleh kerajaan Andalus semasa menguasai semenanjung iberia dan memerintah selama 8 abad sebelum ianya dikalahkan, namun pencapaian keilmuanm dan seni bina diakui dan menjadi pengantara bagi kemajuan dunia Barat.
Seterusnya dilihat dengan jati diri dan identiti bangsa, maka contoh bangsa yang bijaksana dan rajin ialah negara German dan Jepun. Kedua-dua negara ini adalah hebat. Menghasilkan berbagai rekacipta yang dikagumi dan diguna dan dimanfaat oleh dunia. Kedua-dua negera ini bercita-cita besar dan pernah bekerjasama bagi menguasai dunia pada peperangan dunia kedua, mereka berjaya, tetapi dikalahkan. Meskipun mereka kedua kalah, tetapi di atas  keruntuhan dan debu-debu kekalahan mereka bangkit dan segera maju. Mereka dikagumi dan bijaksana berjaya menghasilkan berbagai-bagai kemajuan teknologi yang dimanfaat penduduk dunia.
Demikian  antara jati diri dan identiti yang dapat dicontohi. Bagaimana dengan negara dan rakyat Malaysia ? Akan dibincangkan nanti.
Sekian.

No comments:

Post a Comment