July 31, 2019

MENENTANG PENJAJAHAN PADA PERINGKAT PERMULAAN


MENENTANG PENJAJAHAN PERINGKAT PERMULAAN
(Fikrah Bangi: 302),
BBB: 28 Zulkaedah 1440H. = 31 Julai 2019M. (Rabu).
Sebelum dari penerimaan kemerdekaan Tanah Melayu (Malaya) pada 31 Ogos 1957, sudah ada kebangkitan menentang penjajahan dilakukan oleh kalangan yang tidak puashati terhadap penjajahan British di Tanah Melayu. Penentangan ini berlaku sejak awal dari penjajahan.. Misalnya apabila Terengganu mulai dijajah, khususnya selepas kemangkatan Sultan Zainal Abidi III (1918 dan juga kematian Ulama yang menjadi Shaykh Islam di Terengganu, iaitu Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad yang lebih terkenal dengan gelaran Tuan Paloh – Beliau  merakamkan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu,  Itqan al-Muluk bi Ta`dil al-Suluk, bahawa haram menyerahkan sebarang tanah kepada pihak penjajah.
Walau bagaimana pengganti Sultan Zainal Abidin seorang yang lemah, menyebabkan Terengganu mulai dinaungi (dijajah oleh British). Apabila British mulai mengenakan cukai terhadap tanah,  khususnya terhadap tanah-tanah Petani di Hulu Terengganu, maka berlakulah pemberontakan yang dinamakan `Pemberontakan Tani` terhadap British, antaranya dari pengaruh pimpinan ulama` Tuan Haji Abdul Rahman Limbong pada tahun 1920an. Pihak British terpaksa membawa tentera upahan bagi memadamkan pemberontakan tani tersebut dan Haji Abdul Rahman Limbung diasingkan ke Makkah.
Situasi yang sama juga berlaku di Kelantan dalam mana kehadiran penjajah British tidak disenangi rakyat. Cukai yang dikenakan dianggap  pemerasan dilakukan penjajah British terhadap rakyat menyebabkan juga berlaku penentangan yang antaranya diketuai Tok Janggut di Pasir Putih,  Kelantan. . Pemberontakan ini dipadamkan secara kejam oleh British, antaranya dengan menggantung mayat Tok Janggut di persimpangan jalan bagi menggerunkan mana-mana pihak yang cuba bangkit menentang penjajah British.
Penentangan tidak saja berlaku di kalangan rakyat, tetapi juga dari kalangan pemerintah. Berikutan dari kemasukan British ke Perak  berlaku penentangan dari Raja Abdullah yang memerintah Perak. Beliau dengan pembesar antaranya Dato` Sagor telah mengatur strategi membunuh Residen British  G.W. Birch. Raja Abdullah  diasing di Pulau Sechyles  di Lautan Hindi yang dikuasai British.
Pejuang-pejuang berkenaan dan yang lain seharusnya dikenangi dalam sejarah negara. Mereka merupakan pejuang-pejuang yang mempunyai kesedaran peringkat awal di dalam menentang penjajahan.
Penentangan yang lebih teratur adalah dari pengaruh perjuangan yang dilakukan oleh Jamaluddin al-Afghani mulai akhir abad ke 19 ke awal abad 20 dan mempengaruhi pejuang-pejuang di Mesir seperti Muhammad Abduh pada awal abad ke 20 dan juga Muhammad Rashid Redha, pengikut Muhammad Abduh. Muhammad `Abduh lebih bersifat politik secara redikal,.  Manakala Muhammad Rashid mengambil pendekatan penyedaran melalui pendidikan. Pengaruh mereka sampai ke Semenanjung melalui pelajar yang belajar di Mesir sepeti Shaykh Tahir Jalaluddin. Beliau adalah antara pelajar Melayu yang awal belajar di Mesir dan menggerakkan gerakan Islah di Tanah Melayu. Sebagaimana perjuangan  di Mesir, juga menentang British, mereka mengeluarkan majalah `Al-Manar` sebagai media dakwah dan perjuangan, maka di Tanah Melayu pejuang-pejuang Islah seperti Syeikh Tahir Jalaluddin bersama pendukung=pendukuing mengeluarkan Majalah Al-Imam  sebagai medium Islah dan Dakwah. Majalah ini amat mempengaruhi kesedaran politik dan dakwah.
Hasil dari pengaruh dari Muhammad Rashid Redha yang mengambil pendidikan  sebagai kesedaran dakwah dan pendidikan. Di Tanah Melayu sejak tahun-tahun 1920an dan seterusnya lahir sistem persekolahan yang dikenali sebagai `Sekolah Arab`. Sekolah-sekolah sedemikian lahir di Pulau Pinang dengan dikenali Madrasah Al-Mashhur, di Terengganu lahir  Madrasah Sultan Zainal Abidin, di Kedah Madrasah Mahmudiah, di Kelantan Madrasah Ma`had Muhammadi, di Johor Madrasah Al-`Attas, Maktab Sultan Abu Bakar di Pahang, Madrasah `A;lawiyah di Perlis dan beberapa sekolah yang lain di negeri Yang lain. Sekolah-sekolah sedemikian selain dari menyampaikan pengajaran Islam banyak melahirkan pejuang—pejuang politik pada peringkat permulaan.
Mereka adalah kalangan yang mula sedar dari segi perjuangan politik yang membawa kepada gerakan kemerdekaan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment