Al-Ghazali (450-505H./1058-1111M.) berasal
dari Tus, Wilayah Khurasan dianggap sebagai penyelamat jiwa agama dari
kecelaruan pemikiran falsafah yang berkembang pada masanya sebagai lanjutan
dari apa yang telah berlaku dalam kalangan umat Islam, misalnya dari pertikaian
politik Ali-Mu`awiyah melahirkan Khawarij yang mengakibatkan berlaku perpecahan
pendapat yang melahirkan Qadariyyah, Jabariyyah, Mu`tazilah, murjiah dan Ahlu
al-Sunnah. Pengaruh luar termasuk pertembungan dengan pengaruh pemikiran Yunani
dari tokoh-tokoh pemikir Socrates,
Plato. Aristotle dan Plotinus mengalir di dalam pemikiran Islam mempengaruhi
bidang falsafah, ilmu kalam dan tasawuf falsafah di dalam Islam yang
mencelarukan.
Al-Ghazali mendapat pendidikan awal di
kampungnya dengan seorang guru bernama Shaykh Ahmad al- Razkani. Berpindah ke
Jurjan, Naisabur berguru dengan al-Shaykh Ismail bin Sa`adah al-Ismail
(m.487H.), Kemudian belajar dengan guru Abu al-Ma`ali Dhiya`al-Din al-Juwaini
Imam al-Haramayn. Beliau juga belajar ilmu
mantiq dan ilmu falsafah dan fiqh al-Shafie. Selepas kematian gurunya
Al-Juwaini beliau berkhidmat di bawah kerajaan Nizam al-Mulk pada zaman Nizam
al-Mulki (Turki). Beliau dilantik sebagai pensyarah di Pengajian Tinggi Nizam
al-Mulk (484H.). Pada peringkat permulaan beliau menulis di dalam bidang fiqh
dan Usul Fiqh (bidang falsafah murni Islam). Dalam tahun (488H.) beliau
meninggalkan jawatan pensyarah dan berpindah ke Syria. Minat penulisannya
berpindah kepada ilmu tasawuf. Antara (488-490H.) beliau menghasilkan antaranya
kitab Ihya` `Ulum al-Din . Pada tahun (493H.) Al-Ghazali kembali ke kampung
halamannya di Tus, tetapi pada tahun (498H./1105M.) beliau dijemput kembali
mengajar di Pengajian Tinggi Nizam al-Mulk di Baghdad. Pada kali ini beliau
menghasilkan bukunya yang berjudul al-Munqidh Min al-Dalal. Pada pengakhiran hayatnya beliau kembali ke kampungnya mengasaskan madrasah
pengajian dan terus menghasilkan karya-karya yang berjumlah lebih kurang 100
buah. Beliau meninggal pada 505/1111M.
(Sidek Baba, Riwayat Hidup Imam Al-Ghazali,
Seminatr Al-Imam Al-Ghazali Dan Sumbangannya, Anjuran Akademi Islam ,
Universiti Malaya Dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada
12-14 Safar 1409H.= 23-25 September 1988M., hlm. 1 -7.)
Era Al-Ghazali adalah berada pada penghujung
zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah (132-656H.=749-1258M.), Zamannya sebagaimana
disebut berlaku kekacauan politik dalam negara, pergolakan di Andalusia dan peperangan-peperangan salib. Dengan kekacauan
politik pada zamannya Al-Ghazali turut berdepan dengan gerakan Batiniyyah
(Syi`ah Ismailiyyah), para Mutakallimun. Pemikiran falsafah dan Tasawuf.
Dalam bidang falsafah lahir golongan
Al-Dahriyyun yang berpendapat dunia adalah kekal seperti sediakala. Beliau juga
berdepan dengan golongan percayakan Tuhan selaku Penggerak Utama dan menyeluruh
, tetapi tidak perlu tahu secara detail. Di atas kekacauan pendapat bersifat falsafah dia
bangkit dengan karangan-karangannya menentang penyelewengan-pnyelewengan yang
terjadi bagi membetulkan persepsi terhadap Islam lantaran itu beliau dianggap
sebagai salah seorang Mujaddid Islam.
(Ahmad Zaki Haji Ibrahim, Al-Imam Al-Ghazali
dengan Rujukan Kepada Zaman Dan Alam Sekitarnya, , Seminar Al-Imam Al-Ghazali
Dan Sumbangannya, hlm. 10-64).
Sebagai pendukung Mazhab Shafie Al-Imam
Al-Ghazali mengukuhkan mazhab Shafie dan mempunyai pendiriannya sendiri,
menurut Mahmud Zuhdi Abdul Majid berhubung dengan pandangan fiqhiyyah
Al-Ghazali. Beliau berpendapat:
``Imam Al-Ghazali seorang faqih yang mempunyai
pandangan yang mendalam. Beliau adalah seorang mujtahid yang patuh kepada
prinsip ijtihad yang dianutinya. Beliau bukan seorang ulama` taqlid dan juga
bukan `ulama` bid`ah. Pemikirannya tidak mengenali erti jumud dan beku. Di
bidang metodologi hukum (Ilmu Usul Fiqh) beliau muncul sebagai seorang ahli
falsafah yang ketara, sementara di bidang ijtihad dan pentafsiran hukum (furu`
fiqhiyyah) beliau seorang penyelidik yang halusi dan kritis (muhaqqiq) yang
sentiasa berpegang kepada dalil dan alasan, dan bukan kepada personaliti.
Beliau telah membenarkan dirinya sama ada untuk bersetuju atau tidak dengan imam
mazhabnya - Shafie dengan syarat bahawa semua sikap yang diambil itu perlulah
berasaskan kepada alasan dan dalil yang
jelas. Sesungguhnya kesan dan sumbangan beliau dalam ilmu hukum tidak kurang
besarnya dari sumbangan beliau sendiri dalam ilmu kalam dan falsafah. Benarlah,
kalau bukan kerana kemasyhurannya yang sangat menonjol di bidang ilmu Kalam dan
Falsafah tentu sekali beliau akan tertonjol di bidang fiqh sebagai seorang
faqih yang amat terbilang.``
(Mahmud Zuhdi Haji Abdul Majid, Sumbangan
Al-Ghazali Terhadap Pengajian Ilmu Hukum, Seminar Al-Imam Al-Ghazali Dan
Sumbangannya, hlm.118-169.)
Dari segi pemimpin yang menegakkan Ahl
al-Sunnah wa al-Jama`ah di samping berpegang dengan mazhab Shafie, beliau juga
adalah pembela aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Sebenarnya dari segi akidah,
walaupun beliau tidak menyenangi pendekatan Ilmu al-Kalam, lantaran ilmu al-Kalam
lebih menekankan perbahasan. Sumber
akidah bagi beliau adalah Al-Qur`an yang tidak menjadi keutamaan di dalam
perbahasan Ilmu al-Kalam. Sebenarnya beliau membela akidah dengan menentang
pandangan yang bersifat falsafah yang mempunyai hubungan rapat dengan persoalan
akidah. Ini terbukti dari penghasilan karangan –karangan besar beliau di dalam
bidang falsafah terutama:
1) Al-Munqiz min al-Dalal
2) Tahafut al-Falasifah
3) Maqasid al-Falasafah
4) Mi`yar al-`Ilm fi Fann al-Mantiq
5) Mishkat al-Anwar
6) Ihya` `Ulum al-Din
7) Minhaj al-Abidin
Karangan-karangan di atas adalah sebahagian
dari 100 buah karangan beliau. Karangan-karangan di atas lebih kepada bidang
falsafah dan tasawuf. Di dalam karamgan-karangannya ini beliau menentang
falsafah yang menyeleweng bagi
memurnikan falsafah Islam yang benar, demikian juga beliau tidak menyenangi
Ilmu al-Kalam bagi memurnikan akidah Islam yang sebenar. Demikian juga dengan
ilmu tasawuf yang membawa beliau merumuskan pendekatan tasawuf yang merupakan kombinasi dari pendekatan akidah
murni, syariat, muamalat, aspek muhlikat dan munjiyat bersifat akhlak
sebagaimana di dalam kitabnya Ihya` `Ulum al-Din dan Minhaj al-`Abidin.
Al-Ghazali dikira sebagai salah seorang Mujaddid zaman yang memperkukuhkan
Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment