Bertasawuf adalah perjalanan kualiti diri
meningkat kepada peringkat `Ihsan`. Peringkat di mana Malaikat Jibril bertanya Rasulullah s.a.w.
tentang Iman, Islam dan Ihsan, sebagaimana diriwayat oleh Abu Hurairah r.a.,
bahawa tentang Ihsan ini, Baginda Rasulullah s.a.w menjawab bermaksud:
``Ihsan ialah engkau menyembah Allah
seolah-olah engkau melihatNya, dan jika engkau tidak melihatNya, maka
sesungguhnya Allah melihat engkau.``
(Terjemahan Sahih Al-Bukhari, Jil 1, Yayasan
Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur, 1406/1986: 56-58).
Atau juga mencapai maksud Hadith yang
diriwayatkan oleh Anas daripada Nabi s.a.w. bersabda (Bermaksud): ``Tiga macam
perkara, barangsiapa yang di dalam dirinya terdapat tiga macam perkara itu, dia
dapat merasakan kemanisan iman (1) Bahawa dia menjadikan Allah dan RasulNya
lebih dicntai olehnya daripada selain keduanya. (2) Dan bahawa dia mencintai
seseorang, tiada lain cintanya itu, melainkan semata-mata kerana Allah (3) Dan
bahawa dia benci akan kembali kepada kekufuran seperti dia benci akan
dicampakkan ke dalam neraka. (Ibid., hlm. 26-27).
Perjalanan menuju ke tahap `Ihsan` dan
perjalanan menuju ke tahap mencintai Allah dan Rasul adalah merupakan tahap
cinta tertinggi. Dia merupakan tahap perjalanan kualiti seorang hamba dari
peringkat paling awal iaitu menyempurnakan keislaman dan keimanan membawa
kepada peningkatan keihsanan.
Antara perjalanan kualiti yang dilalui ialah
melalui tahap-tahap maqam dan hal-hal. Apakah maqam dan hal itu ? Apakah
perbezaan antara keduanya ? Menurut Abdul Qadir bin Isa di dalam bukunya
Haqa`iq `an al-Tasawwuf, ia adalah ` jalan menyampaikan kepada Allah` (`Abdul Qadir
Isa, Haqa`iq `an al-Tasawwuf, Diwan Press, Norwich, England, 1970: 269).
Menurut Dr. Zaki Mubarak di dalam bukunya
al-Tasawwuf al-Islamiyy fi al-Adab wa al-Akhlak,
``Maqam di kalangan sufi bermakna tempat
(maqam) hamba di sisi Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan apa yang dapat didirikan
dari segi ibadat, mujahadah, latihan dan memutuskan diri dari yang lain kepada
Allah dengan tabaruk dengan nama-namanya. Antaranya bukti ayat Al-Qur`an
bermaksud:
``Demikianlah bagi siapa yang takut mencapai
maqamKu dan dia takut dengan balasan-balasan (wa`id) (Ibrahim: 14).
Maqam-maqam ialah seperti maqam taubah, ,
maqam sabar, maqam shukur, maqam al-raja`, maqam khauf (takut), maqam reda,,
maqam zuhud,, maqam al-faqr dan maqam wara`.
Adapun `Hal ialah situasi yang turun ke atas
hati dan tidak bersifat kekal. Perbezaan antara maqam dan hal, bahawa maqam
diusahakan dengan cara mjahadah, ibadat dan latihan (riyadat), sedangkan hal
dia datang dari limpahan kurnia Allah. Ini diungkapkan oleh Al-Jurjani
berkenaan `hal` ini ketika ia berkata:
``Hal di sisi ahl al-haqq makna yang datang ke
atas hati dengan tidak dibuat-buat dan bukan usaha menariknya, misalnya dengan
cara memukul diri, bersedih atau memagang situasi (qabd), bersantai atau
bertenang. Dia menghilang dengan lahirnya sifat-sifat nafs berikutnya atau
tidak. Tetapi apabila berterusan dapatan maka ianya menjadi `maqam`. Ringkasnya
`Hal` adalah kurniaan` dan maqam ialah diusahakan, hal datang tanpa diundang
bersuasana dan maqam terhasil dengan usaha bersungguh.``
Hal ialah hal muraqabah, hal dekat (qurb), hal
cinta, hal shauq,, hal jinak (uns), hal tama`ninah dan hal yaqin.
(Zaki Mubarak, Al-Tasawwuf al-Islamiyy fi
al-Adab wa al-Akhlaq,, Al-Maktabat al-`Asriyyah, Beirut, tt: 117-118.
Huraian terhadap sebahagian maqam contoh maqam
terawal iaitu taubat, dimaksud ialah
taubat nasuha ialah kesal dengan hati, istighfar dengan lisan, anggota badan
tinggal dari melakukannya dan jauh dihati azam tidak akan kembali melakukan
dosa. Manakala sabar ialah maqam yang mulia. Sabar adalah mengandungi unsur
keberanian di dalam menghadapi kesusahan. Sabar sama ada pada ibadat, menuntut
ilmu, pekerjaan, muamalah sesama manusia, sabar dari penyakit, sabar dari segi
kasih, marah, nikmat dan bala. Kesan dari kesabaran membentuk jiwa yang cekal
dan akhlak yang tinggi. Manakala maqam shukur ialah berkait dengan nikmat yang
dikira lebih rendah dari kedudukan sabar, namun ianya lahir dari jiwa mulia
yang mengenang kurnia dan menghargainya. Raja` merupakan harapan yang disertai
baik sangka terhadap kurniaNya, tetapi tidak keciwa dan berputus esa jika tiada
ada kurnia segera yang barangkali mempunyai hikmat tersembunyi yang Allah lebih
tahu. Raja` mengkuhkan peribadi mu`min. Mendekati raja` ialah takut (khauf)
kiranya tidak mendapat kurnia Allah dan takut dari kemarahanNya, sebab itu
hamba seharusnya waspada dan tenang, tidak mendukacitakan tidak tercapai maksud
dan selalu menyalahkan pada kekurangan
diri. Dengan demikian membangkitkan kesedaran bagi membaiki kelemahan diri.
Manakala reda dikatakan sebagai pintu Allah
yang maha besar dan merupakan syurga mukmin di dunia. Dengannya hati mu`min
tenang dengan reda dengan segala hukum dan ketentuan Allah. Dan dikatakan
antara maqam yang penting ialah zuhud dan dia menjadi asas bagi keadaan reda.
Dimaksud zuhud ialah pada perkara halal yang wujud, adapun perkara haram dan
shubhah maka meninggalkannya adalah wajib, manakala taqwa ialah tidak berhajat
kepada yang lain daripada Allah oleh kaya jiwanya biarpun miskin harta,
hidupnya memada dan tenang jiwa.. Ini diikuti dengan sifat wara` yang tidak
gelojoh dan tama` dan tidak mementing diri dan melebihutamakan orang banyak.
Berhubung dengan `Hal` dari segi muraqabah
ialah seorang yang bermuraqabah (mendekati) kepada Allah dan memohon dariNya
memeliharanya, kerana tidak ada yang sempurna dari segi perlindung selain daripada
Allah. Permohonan kepada Allah semoga diri benar-benar taat dan benar-benar berubudiyyah.
Manakala hal bagi `Mahabbah` , maka jalannya ialah mesra dengan nikmat Ilahi
dan tumpuan kepadaNya sepenuh jiwa. Dhu al-Nun al-Misri pernah ditanya,
``Apakah mahabbah yang bersih yang tidak ada kekeruhan padanya, maka dijawab,
``Cintakan Allah yang murni yang tidak ada kekeruhan padanya ialah engkau
menggugurkan mahabbah daripada hati dan anggota kepada yang dikasihi semata sehingga
kosong dirimu darinya dan adalah engkau dengan Allah dan bagi Allah, itulah
mahabbah bagi Allah !.
Adapun `Shauq` mempunyai kaitan dengan
mahabbat, ialah rasa mesra mendalam dalam `menatapi` yang dikasihi. Ia adalah gambaran lisan al-hal
yang lebih fasih dari gambaran kalam yang tidak mencukupi istilah bagi
gambaran.
Adapun hal `Uns` berjinak mesra ialah
bergantung kepada Allah, tenang denganNya dan berlindung denganNya dari uns
membawa kepada tama`ninah diri dalam segala hal. Dari tama`ninah membawa kepada
`Mushahadah` dan puncaknya membawa kepada `Yaqin` iaitu mentahqiqkan kebenaran
yang ghaib tanpa syak dan ragu yang tidak perlu kepada kata atau huraian,
kerana segalanya nyata berdepan ! (Zaki
Mubarak,Dr., Al-Tasawwuf al-Islamiyy fi al-Adab wa al-Akhlaq, 117-139).
Demikian perbezaan antara maqam dan hal dalam
perjalanan kualiti ketasawufan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment