January 8, 2016

Pengukuh Akidah Islam - Ash`ari Dan Al-Baqillani


BBB, 26 Rabiul Awwal 1437 = 07 Januari 2016 (Khamis):


Sebenarnya akidah Islam sedia wujud bersama dengan  agama Islam. Rukun Iman dan Rukun Islam menjadi asas yang utama. Pengolahan terhadapnya terdapat di dalam Al-Qur`an dan Al-Hadith. Dengan perkembangan negara Islam, berlaku pergolakan politik dan pertembungan dengan unsur-unsur luar, namun tidak menggugat kewajaan akidah Islam sebagaimana yang dibimbang oleh Al-Ghazali. Ancaman yang banyak dari dalam akibat dari pergolakan politik dalaman yang melahirkan, Qadariyyah, Jabariayah, Murjiah dan Mutazilah, namun tidak menggugat kemurnian akidah Keislaman lantaran pada masa yang sama lahir mereka yang mempertahankan kemurnian Islam dan mengolah pendekatan-pendekatan yang bukan saja sesuai, bahkan memperkukuhkan dan mempekasakan akidah Islam yang berfalsafah `Tauhid`. Dua tokoh penting ialah Ash`ari dan Maturidi.
Ash`ari (260-324H/873-935M), bangkit di tengah kekecohan dan gugatan dari faham Mu`tazilah. Ironinya Ash`ari pada mulanya sebagai pelajar menurut faham Mu`tazilah, tetapi menentangnya dengan mengarang karangan-karangan  berjumlah 90 buah dalam berbagai lapangan, khususnya dalam bidang akidah. Tiga buah kitabnya yang terkenal dalam bidang akidah ialah:
1.       Maqalat al-Ash`ariyyin:  yang membicarakan tentang ilmu al-Kalam dan menegakkan Ahl al-Sunnah.
2.       Al-Ibanah `an Usul al-Diyanah: Membicarakan tentang Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah
3.       Alluma`: Bertujuan membantah pendapat Ahl al-Kalam yang tidak disetujui tentang pendapat mereka.
Dengan karangan beliau di atas beliau mengambil pendekatanm berbaik dan menerima mazhab-mazhab yang ada  di dalam bidang fiqh pada masa itu, iaitu seperti Shafie, Malik, Hanbali. Ini  merupakan usaha menyelaras dengan aliran yang dibawanya bagi memperkukuhkan Aliran Sunni yang didukungnya. Dari segi akidah Ash`ari lebih kembali kepada Al-Qur`an misalnya tentang sifat-sifat Tuhan yang terdapat di dalam Al-Qur`an sedangkan Mu`tazilah menafikan Tuhan berbilang sifat sebagaimana mereka menafikan dari kemungkinan melihat Tuhan. Ash`ari menolak pendapat `Tempat antara dua tempat` di syurga yang ditegak Mu`tazilah, sebagai menegakkan keadilan yang Mu`tazilah berpendapat wajib bagi Allah membalas baik dengan baik dan balas jahat dengan jahat. Sedang bagi Ahl al-Sunnah adalah `Harus`. Juga pendapat mereka tentang Al-Qur`an adalah baharu (dicipta). Aliran Asy`ari mendapat kekuatan apabila pemerintah Nizam al-Mulk di Baghdad (m. 485/1092) menerima Aliran Ash`ari sebagai aliran rasmi diajar di Pengajian Tinggi Nizam al-Mulk di Naisabur dan Baghdad.
Pengukuhan terhadap aliran Asy`ari dilalkukan oleh pendukung-pendukung yang mendukung aliran ini. Tokoh-tokoh besar yang datang kemudian ini ialah seperti Al-Baqillani (m. 403/1013), Al-Juwaini (419—478/1028-1085) dan Al-Ghazali sendiri (m.505/1111).
Peranan yang didukung oleh Al-Baqillani yang nama penuhnya ialah Abu Bakar Muhammad bin Tayyib yang dijangka berkelahiran di Kota Basrah, iaitu tempat kelahiran gurunya Asy`ari. Kitabnya yang terkenal ialah Al-Tamhid. Di dalamnya Al-Baqillani membicarakan masalah saintifik yang menjadi topik perbicaraan pada masa itu dengan mengaitkannya dengan ciptaan Tuhan. Misalnya Al-Baqillany membicarakan soal jauhar yakni benda di alam ini dan kandungan adalah terdiri dari benda-benda yang dapat dilihat secara fizikal. Sebagai contohnya seketul batu, benda batu ini –  adalah merupakan jisim – benda  yang memerlukan ruang yang dikenali sebagai jirim, iaitu berkedudukan seperti atas tanah. Satu perkara yang dibincangkan dalam keilmuan theologi pada masa itu ialah tentang sifat. Bagi setiap benda ada bersifat. Ketul batu tadi ada sifatnya yang berdiri di atas zat bagi benda tadi, misalnya batu itu berbentuk bulat atau bujur, berwarna hitam atau putih, sifatnya juga seperti besar dan kecil dan batu sudah tentu bersifat berat. Satu aspek yang penting dibicarakan tentang benda yang berjauhar, berzat, mengambil jirim, ruang dan bersifat, bahawa benda tersebut adalah kumpulan dari jauhar al-fard, iaitu himpunan juzu`-juzu` yang kecil dan terkecil yang disifatkan tidak boleh dibahagi yang dikenali sebagai zarrah atau atom. Dan sebenarnya muka bumi dan alam fizikal adalah terdiri dari jauhar al-fard dan atom-atom. Dengan memahami kandungan dan sifat benda yang ada di dalam alam, maka difahami tentang Allah yang berlainan dengan sifat benda di dalam alam ini, maka diambil kesimpulan Allah yang berzat dan bersifat sebagaimana disebut di dalam Al-Qur`an adalah berlainan dari sifat benda dan alam. Allah bersifat sebagaimana dipelajari di dalam sifat 20, tetapi  zat dan suifatNya berlainan dengan zat dan sifat alam.  Zat Allah tidak seperti benda yang alamiah dan sifatnya juga tidak seperti sifat benda di alam.
Di dalam pendekatan Ash`ari terdapat pendekatan tashbih dan tanzih, tashbih ialah sebagai bandingan dengan sesuatu, tetapi tidak sama dengan yang dibandingkan itu. Sebagai contoh misalnya bagi memahami persoalan zat dan sifat. Allah sememangnya  berzat, iaitu zat yang tidak sama sekali sedagaimana zat alam yang tersusun dari jauhar al-fard. Untuk memahami tentang zat maka dipinjam konsep zat yang ada di dalam alam sebagai `tashbih, tetapi tashbih ini dinafikan dari zat Allah, yakni Allah tidak mempunyai zat seperti zat Alam. Demikian tentang sifat seperti wajah seseorang yang tampan dan cantik, tinggi, garang dan sebagainya, Allah mempunyai sifat-sifat sebagaimana banyak disebut di dalam Al-Qur`an, tetapi sifatnya tidak sebagaimana sifat alam atau sifat orang yang digambarkan. Ditegaskan bahawa Allah mempunyai sifat-sifat dan sifat-sifatNya adalah sifat-sifat yang sempurna.. Ditegaskan bahawa sesebuah zat alamiah boleh mempunyai lebih dari satu sifat seperti tinggi, kurus, hitam dan sebagainya. Demikian bagi Allah juga mempunyai lebih dari satu sifat yang tidak menggugat dari sifat tauhidNya. Hal ini adalah berlainan dengan pegangan Mu`tazilah yang wajib Esa pada zat, sifat dan perbuatan. (A.Hanafi, M.A. Theologi Islam (Ilmu Kalam), Bulan Bintang, Jakarta, 1974: 58-64).  
Dengan pengolahan Ash`ari dan pendukung-pendukungnya, maka ia meletakkan pendekatan yang jelas dan diterima sebagai pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jam`ah. Ash`ari menegakkan mazhabnya berasaskan naqal dan akal. Naqal bermaksud berdasarkan dalil-dalil ayat-ayat Al-Qur`an berhubung dengan Ketuhanan dan juga berdasrkan Hadith Nabi. Semua pendekatan theologi adalah juga bergantung pada akal, iaitu membahaskan persoalan berdasarkan akal, seperti membahaskan tentang jisim, zarrah, sifat dan sebagainya. Aliran Ash`ari terus dikembang dan didukung sebahagian besar dari penganut-penganut Islam seluruh dunia. Antara tokoh mutakhir yang mengolah pendekatan Ash`ari ialah Muhammad Abduh (1849-1905) dengan karangan terkenalnya berjudul Risalah Tauhid (Muhammad Abduh, Risalah Tauhid, Bulan Bintang, Jakarta,  1979, 270hlm.) Dan digunakan bagi berbagai peringkat pengajian hingga kini.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          

No comments:

Post a Comment