Selepas dari berkembangnya aliran al-kalam
yang dipelopori Imam Ash`ari (260-324H/873-936M) di Basrah yang merupakan
pendekatan akidah Sunni, maka dalam tempoh yang berhampiran, lahir juga tokoh
yang memperkembangkan aliran ilmu kalam dipimpin oleh Maturidi. Nama penuh
beliau ialah Abu Mansur Muhammad bin Muhammad al-Ansari al-Hanafi bertempat di
Maturid tidak jauh dari Samarqand. Jika Abu Musa al-Ash`ari mendukung Mazhab
Shafie dari segi fiqh, maka Al-Maturidi adalah pendukung Mazhab Hanafi. Beliau
meninggal pada tahun 332H. Sebagaimana namanya dinisbahkan kepada Al-Ansari,
beliau adalah keturunan Abu Ayyub al-Ansari yang keturunan ini berpindah ke
Samarqand. Beliau mendapat pendidikan setempat dan antara gurunya ialah Nasir
bin Yahya al-Balakhi (m.268H.). Di samping itu beliau mendalami bidang-bidang
ilmu Al-Qur`an, usul, ilmu al-kalam, syariat dan perdebatan. Ini terbukti dari
judul-judul karangannya yang berjumlah sebanyak 13 buah, iaitu:
1. Kitab Ta`wil al-Qur`an
2. Kitab Ma`khadh al-Shari`ah
3. Kitab al-Jidal
4. Kitab al-Usul
5. Kitab al-Maqalat
6. Kitab al-Tauhid
7. Kitab Bayan Wahm al-Mu`tazilah
8. Kitab Radd Awa`il al-`Adalah li al-Ka`b
9. Kitab Radd Tahdhib al-Jadal li al-Ka`b
10. Kitab al-Radd Wa`id al-Fussdq li al-Ka`b
11. Kitab Radd Haul al-Khamsah li Abi Muhammad al-Bahili
12. Kitab al-Imamah li Ba`d al-Rawafid
13. Kitab al-Radd `ala al-Qaramitah
Menurut A.K.M. Ayub Ali yang membuat kajian
tentang peranan dan penulisan Al-Maturidi, bahawa setakat beliau membuat kajian
pada masanya belum diterbitkan walaupun satu naskhah daripada penulisan
Al-Maturidi.
(A.K.M. Ayub Ali, Maturidism, dlm. A History of Muslim
Philosophy, Edited by M.M.Sharif, Otto Harrossowitz, Wiesbaden, 1963: 259-274).
Daripada jumlah karangan-karangan Al-Maturidi
di atas, tiga buah daripadanya membicarakan persoalan akidah aliran
Al-Maturidi, iaitu
1) Ta`wil al-Qur`an
2) Kitab al-Tauhid
3) Al-Maqalat
Berhubung dengan Ta`wil Al-Qur`an, sudah tentu
baik dalam bidang akidah, fiqh dan bidang-bidang keilmuan Islam yang lain
tentulah menjadikan Al-Qur`an sebagai sumber maklumat. Di dalam membicarakan
ilmu kalam Islam yang alirannya diterima sebagai pendekatan akidah Islam sudah
tentulah Al-Maturidi mengambil sumber akidah bagi ilmu kalamnya daripada
Al-Qur`an. Sebagaimana dimaklum terdapat di dalam Al-Qur`an ialah ayat-ayat `mutashabihat`
tentang Allah dan yang berkaitan dengan akidah keislaman, maka di situlah
kepentingan dibuat ta`wil. Contoh ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
`Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka itu.`
(Al-Fath: 10).
Atau ayat yang bermaksud:
`Al-Rahman di atas `arasy menguasai.`` (Taha:
5).
Dan banyak lagi ayat yang lain yang perlu
diberi ta`wilan untuk mengelak dari kekeliruan tanggapan dari segi akidah.
Adapun karyanya yang berjudul Kitab
al-Tauhid`, sudah tentulah kitab ini sebagaimana judulnya dibawa oleh
Al-Maturidi tentang pendekatan tauhid yang disifatkan bahawa Al-Maturidi
mengambil jalan tengah dari segi pendekatan. Dia mengecam Mu`tazilah yang terlalu
terpengaruh dengan penggunaan logik Aristotle dan terlalu berpegang pada logik
akal, manakala Al-Maturidi mengambil pendekatan kesederhanaan dengan mengambil
pendekatan `Tanzih` dan `Hikmah`. Dapatan dari pendekatan Al-Maturidi adalah
melalui tiga saluran iaitu:
Melalui pengalaman langsung dengan melihat
melalui mata, berikutnya adalah melalui khabar yang betul dan mutawatir dan
seterusnya melalui `nazar`, fikir, akal dan reason yang membawa kepada dapatan
yang betul.
Berbanding dengan Ash`ari, menurut A.Hanafi
M.A., bahawa Al-Maturidi, walaupun dianggap sederhana dari segi pendekatan,
tetapi Al-Maturidi lebih tinggi dari segi penggunaan elemen rasional akal
berbanding dengan Ash`ari.
Menurut A.Hanafi M.A. lagi, ada beberapa
perbedaan antara pendekatan Al-Maturidi berbanding dengan Ash`ari, iaitu:
1) Menurut aliran Ash`ari, bahawa mengetahui Tuhan adalah merupakan
kewajipan syara`, manakala Maturidi adalah kewajipan akal.
2) Menurut Ash`ari, sesuatu perbuatan tidak mempunyai sifat baik dan
buruk. Baik dan buruk menurut perintah syara` dan larangannya, manakala bagi
Al-Maturidi baik dan buruk itu ada pada perbuatan itu sendiri, sama ada baik
atau buruk – bergantung pada penilaian akal.
Kedua-dua pendapat di atas berlainan dari segi
cara menilai, tetapi tidak dari segi prinsip, iaitu tidak berubah dari segi
baik dan buruk dan hukum terhadapnya.
(A.Hanafi, M.A., Theology Islam (Ilmu Kalam),
Bulanm Bintang, Jaklarta, 1974: 70).
Sebagaimana aliran Ash`ari mempunyai pengaruh
yang besar dan menjadi pegangan akidah bagi penganut Islam, maka demikian
jugalah aliran Al-Maturidi juga mempunyai pengikut yang ramai. Terdapat
pendukung-pendukung Ash`ari yang terpengaruh dan mengambil pendekatan
Al-Maturidi dan sebaliknya. Kedua-dua aliran – Ash`ari dan Al-Maturidi ialah
aliran akidah Sunni. Kedua-duanya kukuh dan mengukuhkan akidah Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment