January 5, 2016

Sikap Al-Ghazali Begitu Obses Terhadap Falsafah


BBB, 23 Rabiul Awwal 1437 = 04 Januari 2015 (Isnin):


Keterlibatan Al-Ghazali dengan bidang falsafah ialah bermula dengan falsafah murni dan asli dalam Islam, iaitu mengenai `Usul Al-Fiqh`. Kemudian dia meluaskan talaah terhadap bidang falsafah secara terbuka dan bertembung dengan campur aduk pendapat falsafah, terutama terhadap unsur-unsur luar yang bercanggah sama sekali dengan falsafah dan kemurian Islam. Ini membuat Al-Ghazali sebagai enggan berkompromi dan menolaknya. Sudah tentu dari kajiannya memperlihatkan bahawa Falsafah secara umum tidak membantu, bahkan memudaratkan penggunaannya di dalam Islam, lantaran itu kelihatan beliau mengambil sikap menentang faham falsafah. Bukti utama, nyata dan jelas dari karangan terbesarnya di dalam bidang falsafah, iaitu Tahafut al-Falasifah – bermaksud kekacauan para filosof.
Penelitian ini amat bergantung pada teks Tahafut al-Falasifah yang diterjemahkan oleh  Sabih Ahmad Kamali yang diterbitkan oleh Pakistan Philosophical Congres, Lahore (1963), lebih-lebih lagi terjemahan ke bahasa Indonesia-Melayu oleh Ahmadie Thaha dari Indonesia yang menterjemahkan dari teks terjemahan  Sabih Ahmad Kamili yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (1993) yang kedua-dua teks ada pada Penulis.Teks terjemahan Sabih Ahmad Kamali ini dianggap oleh Ahmadie Thaha lebih bermutu dari terjemahan yang pernah dilakukan oleh Yohanna anak Al-Bithriq, Ibnu al-Na`imah al-Hims dan yang lain-lain.
Semua serangan Al-Ghazali terhadap falsafah di dalam Tahafut al-Falasifah yang disenaraikan sebanyak 20 persoalan ialah mengenai persoalan yang berhubung dengan ketuhanan (Sabih Ahmad Kamili, Al-Ghazali`s Tahafut al-Falasifah,  Pakistan Philosophical Congerss, Lahore, Pakistan, 1963: VII-VIII).
Ahmadie Thaha merumuskan 20 persoalan yang disanggah Al-Ghazali ini kepada tiga golongan:
1)      Golongan  Etheis Materialis (Al-Dahriyyun)
Golongan ini menyangkal adanya Allah. Mereka berpendapat tentang kekalnya alam. Mereka berpendapat alam tercipta dengan sendirinya.
2)      Golongan Natural atau Dieisme (Tabi`yyun)
Golongan ini mengaku tentang teratur dan indahnya alam dan menerima akan adanya Pencipta Yang Maha Bijaksana. Walaupun demikian mereka menyangkal akan adanya Hari Kiamat, kebangkitan semula, Hari Akhirat, Syurga dan Neraka. Mereka terdorong hidup secara nafsu seperti binatang, iblis dan syaitan.
3)      Golongan Falsafah Ilahiyyun
Mereka terdiri dari ahli-ahli falsafah Yunani seperti Socrates,  Plato dan Aristotle, tetapi menurut Al-Ghazali, kepercayaan mereka tidak terlepas dari unsur kekufuran dan kebid`ahan.
Bidang-bidang falsafah umum ialah logik, Ilmu alam dan fizik, theologi dan metafizik, politik dan etika. Bidang yang berhubung dengan ketuhanan ialah theologi dan metafizik. Berdasarkan klasifikasi di atas, Al-Ghazali menganggap theologi tidak lebih baik dari ilmu falsafah. Sebab itu Al-Ghazali tutut menyerang Ilmu Theologi termasuk Mu`tazilah, Ash`ariyyah dan Al-Maturidiyyah yang telah berkembang di dalam Islam secara mantap jauh dari zaman sebelumnya. (Ahmadie Thaha, Al-Ghazali Tahafut al-Falasifah: Kekacauan Para Filsuf, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1993: XIV-XV).
Rumusan Ahmadie Thaha berhubung dengan 20 perkara falsafah yang disanggah oleh Al-Ghazali merangkumi.
1.       Hubungan Allah dengan Alam yang meliputi masalah keazalian alam, keabadian alam dan zaman, Allah Pencipta dan Pembuat alam dan tetapi ketidakmampuan filosof membuktikan adanya Pencipta alam.
2.       Keesaan dan ketidakmampuan membuktikan mustahilnya dua Tuhan (masalah kelima)
3.       Masalah sifat-sifat Tuhan (keenam hingga dua belas)
4.       Pengetahuan Allah tentang perkara-perkara yang kecil (juz`iyyat) (masalah ketiga belas)
5.       Masalah falak dan alam (masalah keempat belas hingga keenam belas).
6.       Masalah sebab akibat (masalah ketujuh belas).
7.       Tentang jiwa manusia (masalah kelapan belas dan kesembilan belas).
8.       Masalah kebangkitan jasmani pada Hari Kiamat (masalah kedua puluh)
(Ibid., hlm. VII-VIII).
Ahmadie Thaha juga membuat rumusan sikap global Al-Ghazali terhadap masalah—masalah yang dibicarakannya yang merupakan pandangan dan pendapatnya:
1)      Allah adalah Pelaku yang `berkehendak` secara selektif (Fa`il al-Mukhtar) dan bukan sebab yang objeknya selalu bersama sebab itu selama-lamanya.
2)       Allah telah mengadakan alam dan berbuat setelah sebelumnya tidak mengadakan dan tidak menjadi pelaku bagi alam tetapi tanpa murajjih (faktor penentu) yang membuat Nya berbuat setelah sebelumnya tidak berbuat tanpa kehendak. Kerana , Dia berkehendak secara selektif, dan kerana objek perbuatan harus didahului oleh berlakunya menurut zaman.
3)      Kehendaklah yang menjadi faktor penentu Nya untuk `berbuat` setelah bukan menjadi `pelaku` sejak azali. (Ibid., hlm. XVII- XVIII).
Al-Ghazali terlalu obses mengenai persoalan yang berhubung dengan falsafah, lebih-lebih lagi mengenai ketuhanan, lantaran ianya merosakkan akidah. Namun tidak semua persoalan falsafah  adalah mengenai ketuhanan dan ada pembicaraan tentang ketuhanan secara falsafah murni, misalnya pendekatan yang dibuat Ash`ari dan Maturidi di dalam bidang falsafah usuluddin (walaupun ditolak Al-Ghazali), lebih-lebih lagi falsafah usul al-fiqh yang dilibat oleh Al-Ghazali juga adalah persoalan falsafah.  Jadi membuat kesimpulan menyeluruh bahawa semua pendekatan falsafah adalah salah dan menyeleweng mungkin dapat dipersoalkan. Prof. Dr. Harun Nasution berpendapat antara kelemahan dan terencatnya perkembangan falsafah di dalam Islam, khususnya selepas kejatuhan Baghdad ada hubungan dengan pendangan Al-Ghazali. Pendapat sedemikian disuarakan sama oleh Dr. Ahmad Syaf`i Ma`arif, bahkan oleh Dr. Nurcholish Majid. Mereka terkenal sebagai pendukung falsafah Islam dan moden di Indonesia. (Ibid., hlm. IX-X).
Walau bagaimana hingga kini pemikir-pemikir falsafah tidak mampu menjelaskan persoalan-persoalan kebenaran secara total, menandakan bahawa falsafah gagal menjadi pemangkin kebenaran yang sepenuhnya diyakini, manakala sebahagian besar dari pendirian Al-Ghazali ada kebenaran. Lantaran itu pendirian tentang falsafah di dalam Islam adalah secara terpilih dan hati-hati, lantaran itu pendekatan falsafah murni tetap diterima di dalam Islam seperti pendekatan di dalam usul al-fiqh, usuluddin sebagai ilmu al-kalam dan juga tasawuf yang berelemen falsafah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment