January 13, 2016

Sharh Al-`Aqa`id Al-Nasafiyyah Oleh Al-Taftazani


BBB, 02 Rabi`ul  Akhir 1437 =12 Januari 2016 (Selasa):


Kita dimaklumi bahawa Al-Taftazani  menghasilkan sejumlah 24 kitab di dalam berbagai bidang keilmuan Islam, kita juga dimaklumi bahawa Al-Taftazani menghasilkan tiga buah kitab di dalam bidang ilmu al-kalam, iaitu Kitab Al-Maqasid wa Sharhuh, Fadihat al-Mulhidin wa Nasihat ai-Muwahhidin fi Naqd Fusus Muhyi al-Din dan  Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah.
Dua buah kitab terawal tidak diberi huraian, sekadar menerangkan tentang judul dan perhatian ialah kepada judul ketiga, sesuai dengan buku diberi judul `Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah`.
Buku pertama yang judul penuhnya ialah `Maqasid al-Talibin fi `Ilm Usul al-Din` bermaksud, `Tujuan Pelajar-Pelajar Mempelajari Ilmu Usul al-Din`, disebut oleh Al-Taftazani 6 tujuan, tetapi tidak diberi penerangan oleh pengantar (Klaud Salamat), tetapi sudah tentulah untuk memelihara akidah keislaman yang betul agar tidak terjatuh di dalam syirik, dengan akidah yang betul, amal kita diterima Allah dan selamat di dunia dan akhirat dengan insya Allah mendapat balasan syurga.
Buku yang kedua `Fadihat al-Mulhidin wa Nasihat al-Muwahhidin Fi Naqd Fusus Muhyi alaDin` bermaksud, `Padah Orang Mulhid Dan Nasihat Orang Mengesakan (Allah) Pada Mengkritik Kitab Fusus al-Hukam  (Permata-Permata Hikmah) Muhyi al-Din`. Tujuan Al-Taftazani mengarang kitab ini ialah mengkritik faham falsafah Wahdat al-Wujud Muhyi al-Din Ibn Arabi yang berasal dari Murcia, Andalusia (Lahir 560H./1164M.) Beliau menimba ilmu dan meyibarkannya hingga beliau meninggal di Damshiq (m.638H./1240M.). Beliau banyak menghasilkan karangan, tetapi dua buah karangan beliau yang terkenal ialah Futuhat Makkiyyah dan Fusus al-Hikam. Kedua-duanya mengenai falsafah Wahdat al-Wujud, iaitu satu rangka jaringan falsafah Wahdat al-Wujud yang teratur, terutama di dalam karangan Fusus al-Hikam. Falsafahnya banyak mempengaruhi kalangan intelektual selepasnya. Pengaruhnya termasuk pendukungnya`Abdul Karim al-Jili dengan karangan `Al-Insan al-Kamil` sampai ke Acheh seperti melalui Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumatrani. (Affifi. A.E. The Mystical Philosophy of Muhyid Din Ibnul `Arabi, Sh. Muhammad Ashraf Kashmiri Bazar, Lahore, Pakistan, 1964: 210hlm.).
Sharh al-`Aqaid al-Nasafiyyah
Adapun kitab Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah dilakukan oleh Al-Taftazani terhadap Matan `Aqa`id al-Nasafiyyah, iaitu sebuah Matn (Intisari) Al-Nasafi menurut akidah Mazhab al-Maturidi yang dikarang oleh Imam Abi Hafs `Umar bin Muhammad bin Ahmad bin Ismail bin Muhammad bin `Ali bin Luqman Najm al-Din Abu Hafs al-Nasafi al-Samarqandi (461-537H.). Al-Nasafi  pernah ke Baghdad, tetapi menetap di Samarqand, menguasai banyak bidang ilmu seperti tafsir, fiqh, Hadith, ilmu al-kalam,, usul, sejarah, adab, syair dan bahasa, Oleh kealimannya Al-Nasafi  digelar `Mufti al-Thaqalayn` - Mufti Dua Kejadian – Manusia dan Jin !
(Al-Taftazani, Sa`du al-Din Mas`ud bin `Umar, Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah, Wizarah al-Thaqafat wa al-Irshad, Damshiq, 1974: 32-33).
Matan `Al-`Aqa`id al-Nasafiyyah amat terkenal dan diberi perhatian oleh `ulama`-`ulama usuluddin dan ramai daripada mereka yang membuat sharh terhadap matan tersebut, tetapi Sharh Matn Al-`Aqa`id al-Nasafiyyah yang dilakukan oleh Al-Taftazani adalah terbaik. Beliau dengan karangan ini dianggap pendukung utama bagi aliran Al-Maturidi.
Kitab Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah
Al-Taftazani membahagikan kandungan kepada 17 pecahan:
1.       Mengenal Hakikat-Hakikat Yang Tetap (Thabitah)
Ada hakikat-hakikat yang tetap yang menjadi pegangan. Contoh tentang Tuhan, Tuhan bersifat, tetapi konsep sifat ada berbagai-bagai pendapat yang dibahaskan, khususnya dari segi falsafah
2.       Sebab Ma`rifat
Menurut Al-Nasafi, tiga cara mendapat ilmu iaitu secara penyaksian – melalui pancaindera  seperti lihat, mendapat maklumat secara perkhabaran yang benar dan melalui akal
3.       Alam
Alam adalah baharu. Di dalamnya ada benda dan ada sifat. Sifat berada pada zat. Zat terdiri dari juz` yang membentuk jisim. Ada yang tidak dapat dibahagi seperti dharrah (atom)
4.. Allah
Maujud, Dia bersifat dengan sifat-sifat sempurna. Dia berlainan dari yang lain, Dia bukan jisim, bukan sifat seperti makhluk, bukan jauhar. Dia berlainan dari makhluk
5.Sifat
Allah bersifat dengan sifat-sifat sempurna seperti melihat, mendengar, mengetahu, kudrat dan sifat-sifat sempurna yang lain.
6.  Kalam
Allah bersifat kalam. KalamNya sifatNya yang azali, bukan dari jenis berhuruf, bersuara. Allah bercakap dengan kalam yang layak bagiNya.
7. Sifat Mencipta dan Iradah
Mencipta dan Iradah ialah sifat Allah yang azali yang berdiri pada ZatNya.
8.  Melihat Allah
Warid di dalam Al-Qur`an. Melihat dengan penglihatan harus pada akal, wajib dari segi naqal. Lihat bukan bertempat dan jihat,
9. Allah Dan Perbuatan Hamba
Allah membuat segala perbuatan hamba daripada kufur dan iman daripada taat dan berdosa. Bagi hamba ialah perbuatan ikhtiariyyah, diberi pahala kepada perbuatan baik dan dosa bagi perbuatan jahat. Yang baik direda Allah dan yang tidak baik tidak diredainya.
10. Taklif Dan Permasalahan Insan
Iaitu istita`ah bersama perbuatan. Dia adalah hakikat kudrat yang berlaku dengan perbuatan. Tidak dipaksa hamba yang tidak berkemampuan. Apa yang lebih baik bagi hamba bukan kewajiban bagi Allah.
11. Hal-Hal Akhirat
Azab kubur bagi orang kafir dan bagi pendosa orang mu`min dan nikmat bagi mereka yang taat. Mengalami soal munkar dan nakir seperti di dalam dalili-dalil sam`iyyat. Dibangkit adalah haq, timbangan adalah haq,, kitab haq,, soal haq,,  al-haud haq, sirat haq, syurga dan neraka adalah haq.
12. Pendosa Bersar
Tidak mengeluarkan seorang mu`min dari iman dan tidak termasuk dalam kekufuran. Allah tidak mengampun yang mensyirikNya, tetapi mengampun selain daripada itu, bagi yang dikehendakinya sama ada dosa besar atau kecil.
13. Iman
Ialah membenarkan apa yang didatangkan daripada Allah dan iqrar dengannya. Maka amalan bertambah dengannya (amalan).
14. Rasul dan Mala`ikat
Penghantaran Rasul-Rasul mempunyai hikmat menyampaikan perutusan Allah. Malaikat ialah hamba-hamba Allah yang mengerjakan segala suruhan.
15. Mujizat dan Karamat
Mu`jizat bagi Rasul dan Karamah bagi auliya`
16. Khilafah dan Imamah
Khilafah empat memerintah selama 30 tahun. Model kekhilafahan. Selepasnya ada raja dan pemerintah. Bagi orang muslim wajib ada pemimpin yang memimpin mereka dan memandu mereka di dalam melaksanakan hukum-hukum. Menjaga ketenteraman dan wilayah pemerintahan.
17. Ahlu al-Sunnah
Aqidah yang diredai, membezakan mereka dari yang lain dan keistimewaan-keistimewaan.
(Ibid., hlm. 37-43).
Persoalan-persoalan yang dibicarakan di dalam Sharh `Aqa`d al-Nasafiyyah tidak begitu berbeza dengan aliran-aliran Sunni yang lain.

Sekian.


No comments:

Post a Comment