Tokoh ilmuan terkenal, khususnya yang membawa
aliran dan pembaharuan selalunya kekal dan terkenal lantaran ada
pengikut-pengikut yang memperkembangkan alirannya, khususnya dengan penghasilan
karya-karya ilmiah yang mendukung aliran tersebut yang kadang-kadang meningkat
kepada mazhab.
Demikianlah misalnya berlaku kepada aliran
Al-Ash`ari lantaran ada pendukung-pendukung terkenal seperti Al-Baqillani dan Al-Juwaini. Bagi Al-Maturidi, maka antara pendukung utamanya
ialah Al-Taftazani. Keadaan sedemikian juga berlaku bagi tokoh-tokoh mazhab
fiqh seperi Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali.
Nama penuh bagi Al-Taftazani ialah Mas`ud bin
`Umar bin Abdullah. Dilahirkan pada tahun 712H.=1312M. di Taftazan sebuah
kampung di wilayah Khurasan. Dipanggil Sa`d al-Din dan dnisbahkan kepada
namanya Al-Taftazani. Beliau meninggal di Samarqand pada tahun 791H.-1389M. Dari segi politik
pemerintahan, Samarqand yang dipilih oleh Timur Lang pemerintah Tartar berikut
dari serangan Hulago terhadap Baghdad (656H.), Timur Lang pemerintah pada masa
itu telah memilih Samarqand yang berasal di bawah kerajaan Sammaniyah menjadi
pusat pemerintahan Tartar. Timur Lang berusaha menjadikan Samarqand bandar yang maju yang terkenal agar
mengatasi Baghdad dengan melahirkan para
ilmuan, tokoh falsafah, sasterawan,
pakar seni dan budayawan. Turut bangkit maju beberapa bandar sekelilingnya
seperti Turkistan, Khawarizmi, , Kashghar, Zulistan, Tabarstan, Rayy, Ghaznah,
Istrabad dan lain-lain. Samarqand menjadi pusat pertemuan kemajuan tamadun dan
peradaban.
Dalam situasi politik dan peradaban
sedemikianlah Al-Taftazani lahir dan muncul bersama ilmuan di dalam bidang
matematik, Algebra, perubatan dan falsafah. Al-Taftazani belajar bersama tokoh
terkenal iaitu Adu al-Din al-Iji pengarang kitab (al-Mawaqif) di Khurasan.
Kemudian dia ke Damshiq dan belajar dengan Qutub al-Din al-Razi al-Tahtani di
Madrasah al-Tahirah. Ketika itu berkembangnya pengajian dan pengarangan di
dalam keilmuan bahasa Arab, mantiq,, bayan, nahu, saraf, fiqh, usul dan ilmu
al-kalam. Kemudian Al-Taftazani berpindah ke Khawarizmi dan tinggal beberapa masa
sekitar 768H. dan berkesempatan mengarang kitab-kitab. Ia diminta oleh Timur Lang berkhidmat di
Sarkhus dan kemudian menetap di Samarqand. Tokoh ilmuan semasanya ialah
al-Sayyid al-Sharif al-Jurjani, berlaku
pertikaian pengaruh oleh perselisihan mazhab dan juga masalah politik semasa.
Dikatakan kematiannya - Al-Taftazani ( (791/1389) berhubung dengan munaqasyah ilmiah antaranya dengan Al-Jurjani
yang petah berbahas yang dihadiri sama oleh Timur Lang. Pengadilan dilakukan
oleh Nu`man al-Din al-Khuwarizmi al-Mu`tazili. Kematiannya secara mengejut yang dikebumi di
Sarkhus, Samarqand dirai sama oleh Timur
Lang dan Al-Jurjani.
(Al-Taftazani, Sa`du al-Din Mas`ud bin `Umar,
Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah fi Usul
al-Din wa `Ilm al-Kalam, Wizarat al-Thaqafat wa al-Irshad al-Qaumiyy, Damshiq,
1975: 6-10).
Al-Taftazani diterima sebagai salah seorang ulama
terpenting di dalam banyak bidang ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang theologi. Pendekatannya
digunakan dalam pengajian dan sebagai pegangan akidah Islam dari timur hingga
ke barat. Ibn Khaldun memuji Al-Taftazani di dalam buku Muqaddimah di dalam bab
Ilmu-Ilmu Akliah, katanya:
`` Semasa di Mesir aku melihat karangan
berbagai jenis yang dihasilkan oleh pengarang ulama Hirrah, negeri Khurasan,
yang terkenal dengan nama Sa`d al-Din al-Taftazani yang mendalami dalam bidang
ilmu al-kalam, usul al-fiqh, al-bayan, dengan penyaksian bahawa dia mempunyai
kebolehan yang luas dalam bidang-bidang ini dan menunjukkan jua dia banyak
mutalaah di dalam ilmu-ilmu hikmah, begitu juga mendalam di dalam bidang ilmu-ilmu
akliah.`` (Ibid.10).
Al-Taftazani mempunyai ramai murid-murid yang
mengikuti pengajarannya di dalam berbagai bidang. Dari segi akidah dan ilmu
kalam, tidak diragui bahawa dia adalah pendukung aliran Al-Maturidi, tetapi
dari segi mazhab fiqh ada beberapa pendapat, ada yang berpendapat dia pendukung
Mazhab Hanafi, tetapi ada pula mengatakan dia pengikut Shafie. Al-Imam
al-Sayuti mengatakannya bermazhab Shafie. Demikian juga disebut oleh Haji
Khalifah bagi satu kitab disebut bahawa ``Kitab Taudih adalah Sharh Bagi
Taftazani al-Shafie, beberapa kitab menyebutnya pengikut Hanafi. Adapun
al-Baghdadi di dalam kitab Idah al-Maknun menyebutnya sebagai Pengikut
Hanafi-Shafie ! (Ibid. 12-14).
Al-Taftazani pendukung aliran ilmu al-kalam
al-Maturidi ini adalah seorang `ulama yang prolifik yang banyak menghasilkan
karangan di dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan. Misalnya alat yang penting
di dalam perbahasan di dalam ilmu al-kalam ialah al-mantiq, maka Al-Taftazani
menghasilkan kita di dalam bidang mantq dan lain-lain:
1. Bidang Mantiq (Logik)
a) Sharh al-Risalah al-Shamsiyyah
b) Tahdhib al-Mantiq wa al-Kalam
2. Bidang Nahu dan Saraf
a) Sharh Tafsir al-`Uzza
b) Kitab al-Irshad
c) Kitab al-Isbah fi Sharh Dibajat al-Misbah fi al-Nahwi
d) Tarkib al-Jalil
e) Kitab Qawanin al-Sarf
3. Bidang Fiqh
a) Al-Miftah
b) Sharh Talkhis al-Jami` al-Kabir
c) Al-Fatawa al-Hanafiyyah
d) Takmilah Sharh al-Hidayat li al-Saruji
e) Sharh Khutbat al-Hidayat
f) Sharh al-Sirajiyyat fi al-Mirath
4. Bidang Tafsir Al-Qur`an
a) Kashf al-al-Asrar wa Iddat al-Abrar
b) Hashiyat `ala al-Kashshaf
5. Bidang Al-Bayan
a) Sharh al-Takhlis al-Mutawwil au Sharh al-Mutawwil
b) Mukhtasar Sharh Talkhis al-Ma`ani
c) Sharh al-Qism al-Thalith Min Miftah al-`Ulum
6. Bidang Usul al-Fiqh
a) Al-Tarikh ila Kashf Haqa`iq al-Tankih
b) Sharh Sharh al-Mukhtasar fi al-Usul
7. Bidang Fiqh al-Lughah
a) Al-Ni`am al-Sawabigh fi Sharh al-Kalim al-Nawabigh
b) Tarjamat bi al-Lughat al-Turkiyyat li al-Shi`r al-Musamma al-Bustan
al-Ladhi Allafahu al-Taftazani
8. Bidang al-Hadith
a) Kitab al-Arba`in au Sharh al-Arba`in al-Nawawiyyah
9. Bidang Ilm al-Kalam
a) Kitab al-Maqasid wa Sharhuh
b) Fadihah al-Mulhidin wa Nasihat al-Muwahhidin fi Naqd Nusus Muhyi al-Din
c) Sharh al-`Aqa`id al-Nasafiyyah. (Ibid. 21-33).
Demikianlah bidang-bidang dan keilmuan yang
dikuasai oleh Al-Taftazani yang dengan kealimannya menghasilkan kitab-kitab di
dalam keilmuan yang berkenaan dengan banyak yang mencerminkan ketokohan dan
kealiman Al-Taftazani.
Sekian.
No comments:
Post a Comment