December 6, 2016

AL-KALABADZI: BAGINYA TIADA KATEGORI MAQAM ?


BBB, 05 Rabi`ul-Awwal  1438H. =  05 Disember 2016M. (Isnin):
Satu ciri penting di dalam tasawuf ialah pencapaian dalaman yang bersifat kerohanian yang diistilahkan sebagai `maqam`  (maqamat) dan hal (ahwal). Telah dibicarakan  apabila memperkatakan kitab `Al-Luma``  oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi (m.378H.) sebagai kitab terawal membicarakan pendekatan tasawuf secara lengkap, bahawa didapati Abu Nasr al-Sarraj adalah pengarang terawal membuat pendekatan dan penyusunan kitab tasawuf secara teratur dan lengkap. Antara peranan penting Al-Sarraj selain daripada membicarakan tentang asal usul istilah tasawuf, makna dan aplikasi penggunaannya, bahawa Al-Sarraj adalah pengarang pertama yang mengemukakan  pendekatan tentang  pencapaian dan peningkatan kualiti kerohanian yang dikenali sebagai  - Maqam dan hal.
Apakah maqam dan hal itu ?
Menurut Al-Sarraj, maqam maknanya tempat (maqam) hamba di sisi Allah `Azza wa Jalla, iaitu apa yang didirinya dari segi ibadat, mujahadah, latihan (riyadhiyyat) dan tumpuan kepada Allah dan memutuskan dari yang lain dari Allah, sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
`Itulah bagi siapa yang takut,  pada maqamku dan takut,  pada maqam yang dijanjikan`tentang azabku.``  (Ibrahim: 14).
Adapun makna ahwal, ialah apa yang singgah  di hati  lantaran bersihnya ingatan.
Walau bagaimana oleh kerana semua berlaku pada hati, agak sukar untuk membezakan antara maqamat dan ahwal. Terdapat 23 persoalan yang berhubung dengan maqam dan hal yang disifatkan sebagai jalan menyampaikan diri kepada Allah sebagaimana disusun oleh `Abdul Qadir bin `Isa di dalam bukunya yang berjudul, ``Haqa`iq `an al-Tasawwuf`, iaitu;
Al-taubah,  al-muhasabah, al-khauf, al-raja`, al-sidq, ai-ikhlas, al-sabr, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-ridha, al-tawakkal, al-Shukr, al-muraqabah, al-qurb, al-mahabbah, al-khauf, al-raja` al-shauq, al-uns, al-tama`ninah, al-mushahadah  dan al-yaqin.
Kebanyakan diletak di bawah kategori ahwal, kecuali tujuh daripdanya, iaitu
Al-taubah, al-sabr, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-rida, al-tawakkal.
Manakala  Al-Sarraj  yang mula-mula menampilkan konsep maqam dan hal mensenaraikan 16 perkara yang termasuk di bawah kategori maqam dan hal.
Sembilan terawal adalah ahwal, iaitu al-qurb,, al-mahabbah, al-khauf, al-raja`, al-shauq, al-uns,  al-tama`ninah, al-mushahadah dan al-yaqin manakala tujuh lagi termasuk di bawah maqam iaitu taubah, al-wara`, al-zuhd, al-faqr, al-sabr, al-tawakkal dan al-ridha.
Melihat kepada  Al-Kalabadhi, bahawa beliau merangkumi semua perkara adalah di bawah ahwal dan tidak membicarakan persoalan maqam. Ini sesuai dengan kata-katanya, bahawa, ``Ketahui olehmu, bahawasanya ilmu tasawuf itu ialah ilmu ahwal.``  Ya`ni tiada maqamat baginya. Al-Kalabadhi menyebut persoalan ahwal di dalam bukunya `Al-Ta`arruf, ialah sebanyak   24 persoalan yang sebenarnya bagi kitab-kitab yang lain mengkategorikannya kepada bidang maqam dan hal, tetapi al-Kalabadzi menambahkan jumlahnya lebih dari biasa.
Di dalam kitab Al-Ta`arruf` dikemukakan 24 persoalan (Dari bab 35 – 59) – Tujuh pertama dikenali dengan maqam  bagi kitab lain  - seperti Al-Luma`, bagi Al-Kalabadhi  semuanya  terletak di bawah hal iaitu:
1)      Al-Taubah           2) Al-Zuhd             3) Al-Sabr
4)      Al-Faqr                5) Al-Tawadhu`    6)  Al-Ridha  
7)      Al-Tawakkal
8)      Al-Khauf             9) Al-Taqwa          10) Al-Ikhlas
11) Al-Shukr           12) Al-Yaqin            13) Al-Uns
14) Al-Qurb            15)  Al-Mahabbah              16) Al-Ittisal
17) Al-Tajrid wa al-tafriq                       18) Al-Wajd
19) Al-Ghalabah                                     20) Al-Sakr
21)  Al-Ghaibah wa al-Shuhud           22) Al-Jam` wa al-Tafriqah
23)  Al-Tajalli wa al-Istitar                   24)  Al-Fana` wa al-Baqa`
Bagi kitab-kitab lain seperti Al-Luma` dan Haqa`iq `an al-Tasawwuf,mulai dari no. 16 (Al-Ittisal) hingga kepada akhir, iaitu no. 24  (Al-Fana` wa al-Baqa`) tidaklah memasukkan aspek-aspek yang berkenaan sama ada di dalam maqam atau hal.
Dapatlah dikatakan bahawa Al-Kalabadzi mungkin tidak menyedari akan perbezaan antara ciri yang dikatakan maqam dan hal atau mungkin disedari, tetapi oleh kerana tidak mempunyai perbedaan yang ketara, lantaran itu dimasukkan kesemuanya sebagai ahwal, lantaran ianya sendiri melihat dan membuat kesimpulan bahawa tasawuf baginya,  ialah ilmu berkenaan ahwal. Walau bagaimana ada aspek-aspek yang kontroversi  dilihat dari segi tasawuf Sunni seperti persoalan `Al-Ittisal`, al-Sakar dan kaitan dengannya. Kita cuba memahami apa yang dibawa oleh Al-Kalabadzi dengan ingatan bahawa aspek kesufian mempunyai kesamaan aspek seni tinggi yang kita katakan `Seni Rohani`. Pada peringkat ini, apa yang diungkapkan adalah dipengaruhi oleh elemen estetika seni rohani tinggi yang bukan dalam suasana sedar dan realiti, jika pada peringkat seni biasa diistilahkan sebagai `kemabukan rasa` dan pada peringkat rohani dapatkah dikatakan sebagai `Kemabukan Seni Rohani ?` yang luar dari normal.

Sekian.

No comments:

Post a Comment