December 5, 2016

MEMBICARAKAN MAKSUD TASAWUF SECARA TERHAD


BBB, 04 Rabi `ul Awwal 1438H. =  04 Disember 2016 (Ahad):
Melihat kepada kehadiran Abu Bakar al-Kalabadzi (m. 380H.) lebih kemudian daripada Abu Nasr al- Sarraj al-Tusi (m. 378H.) atau sekurang-kurangnya dapat dikatakan sezaman dan dapat diandaikan bahawa pada zaman mereka sudah lumrah dibicarakan persoalan tasawuf, maka adalah dijangka kedua-duanya  sama rancak membicarakan tentang istilah dan asal usul tasawuf, namun tidak berlaku sedemikian. Dalam maksud Abu Bakar al-Kalabadzi tidaklah membicarakan secara detail berhubung dengan peristilahan tasawuf, asal usul dan maksud.
Sebagaimana telah  dibincangkan bahawa Abu Nasr al-Sarraj dengan karyanya Al-Luma`  adalah karya permulaan membicarakan persoalan tasawuf dengan secara terperinci. Al-sarraj membincangkan tentang mengapa dinamakan dengan tasawuf, tabaqat, kekhususan, turut dibicarakan tentang adab, sumber, istinbat*,  perbedaan pendekatan berbanding dengan keilmuan yang lain, asal istilah tasawuf dan hubungan dengan maksud-maksud istilah, sifat dan ciri-ciri tasawuf. Pendek kata dengan membaca huraiana yang diberi Al-Sarraj kita dapat memahami akan isrtilah, asal usul, maksud, bahkan pensejarahan berhubung dengan kelahiran ilmu tasawuf.
Tetapi apa yang dikemukakan oleh Al-Kalabadzi adalah amat terhad dan ringkas. Beliau tidak membicarakan asal usul istilah tasawuf dan makna-makna  yang dikaitkan dengan asal usul istilah berkenaan. Beliau memulakan pembicaraan berkenaan tasawuf bermula dengan pernyataan bahawa, `Ilmu tasawuf adalah ilmu yang berhubung dengan ahwal, dan diikuti dengan soalan, ``Apakah itu tasawuf dan jawapan berdasarkan pendapat-pendapat dari ahli-ahli tasawuf terkenal yang terus membicarakan tentang tasawuf.
Berkata Al-Kalabadzi, ``Aku mendengar Aba al-Hasan  Muhammad bin Ahmad al-Farisi berkata, Rukun tasawuf katanya, ada sepuluh, iaitu.
Pengukuhan dari segi tauhid, memahami aspek al-sima`, baik pergaulan, kekesanan, meninggalkan ikhtiar, segera dengan wujdan,  kashaf dengan lintasan, banyak bermusafir, meninggalkan usaha  dan menegah dari menyimpan.  Ada beberapa syarat yang boleh dipersoalkan  seperti meinggalkan ikhtiar, meninggalkan usaha dan mencegah dari myimpan. Ia merupakan pendapat peribadi yang tidak dikaitkan dengan Al-Qur`an dan Al-Hadith seperti bukti ayat l-Qur`an yang menggalakkan bermusafir sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi serta memerhatikan bagaimana kesudahan  orang-orang terdahulu daripada mereka.` (Al-Rum: 99).  
Adapun gesaan meninggalkan ikhtiar, usaha dan tidak menggalakkan menyimpan adalah bercanggah dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang menggesa kepada gesaan sebaliknya. Contoh di dalam surah al-Jumu`ah yang menggesa supaya berusaha  mencari rezeki sebaik selepas menunaikan Juma`at (Al-Jumu`ah:  10) . Pokoknya ianya adalah pendapat Abu al-Hasan Muhammad bin Muhammad al-Farisi.
Lagi pula kalau kita lihat di dalam bab `Al-Makasib` di dalam buku yang sama sebelumnya, bahawa setiap orang harus bekerja di dalam berbagai-bagai bidang kemahiran seperti pertukangan, perniagaan, pertanian  dan sebagainya. Dengan bekerja tidak menghalang dari beribadat dan mengamalkan aspek-aspek kerohanian dan pekerjaan yang halal dan bertujuan baik itu sendiri adalah menjadi sebahagian dari ibadat.
Abu Bakar al-Kalabadzi membicarakan tentang lintasan (khatir) yang menurutnya kata setengah shaykh ada empat wajah, iaitu mengingat kepada Allah, pada pemerintah, bersifat nafsu dan daripada seteru.  Adapun mengingat kepada Allah sebagai ingatan, daripada raja sebagai ketaatan, daripada nafsu menolak ajakan syahwat dan daripada seteru supaya meninggalkan ma`siat. Aspek sedemikian tidak dibicarakan di dalam kitab-kitab tasawuf yang lain.
Abu Bakar al-Kalabadzi juga membicarakan soal fungsi atau peranan tasawuf yang dipetik dari pendapat dari berbagai sufi. Petikan-petikan adalah sebagaimana berikut:
Berkata Al-Junayd, Tasawuf berperanan menjaga waktu. Seseorang itu tidak cuba melampai hadnya, tidak berfokus kepada selain dari Tuhannya dan tidak bersama lain dari waktunya.
Ditanya kepada Al-Junayd, Apa itu tasawuf ?
Katanya, bagi haq-haq rahsia  dengan haq dan tidak dapat mencapainya melainkan dengan fana` diri dari segala sebab oleh kekuatan roh dalam mendirikan bersama haq.
Ditanyai Al-Shibli, mengapa dinamakan sufi itu kesufian ?
Katanya, kerana  tertulis lantaran dengan wujudnya tulisan dan thabitnya sifatan. Walaupan yang telah terakam sudah terpadam,  maka ianya tetap dengan gambaran.
Berkata Ibn `Ata`,  `Bertasawuf ialah menghantar diri bersama Yang Haqq.`
Berkata Abu Ya`kub al-Susi, sufi ialah yang tidak menggoncangkannya oleh penolakan atau oleh tarikan.
Berkata Abu Yazid, ``Para sufi ialah anak-anak dalam ribaan yang Haqq.``
Ditanyai Al-Nuri tentang tasawuf, katanya ialah memperluaskan maqam dan berhubungan secara lebih kuat. Bila ditanya tentang akhlak mereka, katanya `Dia membawa kegembiraan kepada yang lain dan tidak membawa kesusahan kepada mereka..
Demikianlah sebahagian dari petikan maksud tasawuf dari sebahagian dari kalangan sufi. Kalangan sufi tidak memberi jawapan secara langsung berhubung dengan  istilah tasawuf, maksud dan asal usul.  Sebagaimana telah disebut pada pembicaraan yang lepas, khususnya tentang  maksud dan definisi tasawuf begitu banyak. Kadang-kadang seorang sufi memberi makna dan tasawuf berlainan dan lebih dari sekali dan berlainan pula ungkapan dan maksud bergantung kepada masa, suasana dan pengalaman rohani yang dilalui pada masa dia memberi pendapat.
Berbanding dengan apa yang dibicarakan oleh Al-Sarraj di dalam bukunya Al-Luma`, maka apa yang dibicarakan oleh Al-Kalabadzi  di dalam  bukunya Al-Ta`arruf  adalah terhad.

Sekian.

No comments:

Post a Comment