December 15, 2016

DZIKIR MESRA DI HATI MENYEBUT-NYEBUTNYA YANG MENCINTAI


BBB, BBB 14 Rabi`ul Awwal 1438H. =  14 Disember 2016 (Rabu):
Dzikir adalah aspek daripada ibadat. Dzikir bermakna  menyebut,  mengingat, berada dalam perhatian. Dzikir merupakan pertanda hubungan antara yang mengingat dan yang diingati, makin menebal dan  intim ingatan menandakan meningkat ingatan dan kasih sayang. Dzikir kepada Allah dan salawat kepada Rasulullah s.a.w. mencerminkan sejauhmanakah ingatan terhadap Allah dan Rasulullah s.a.w.
Berdzikir adalah  amalan ibadat yang disuruh Allah. Banyak ayat  yang menggesa supaya berdzikir. Antaranya ayat bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman berdzikirlah  akan Allah dengan dzikir yang banyak dan bertasbihlah kepadaNya  pada waktu pagi dan petang.`` (Al-Ahzab: 41).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman janganlah melalaikan kamu oleh harta benda kamu dan tidak jua oleh anak-anak kamu daripada mengingati Allah, siapa yang melakukan sedemikian, maka  mereka itulah orang-orang yang rugi.`` (Al-Munafiqun: 9).
Dan firman Allah lagi yang bermaksud:
``Orang-orang  beriman dan hati  mereka tenang dengan  dzikir kepada Allah. Ingatlah dengan berdzikir kepada Allah menenangkan  hati.`` (Al-Ra`d: 28).
Menurut Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam bukunya (Risalah) tentang zikir, bahawa, ``Dzikir adalah ibadat yang paling mudah. Dzikir tidak memerlukan waktu dan tenaga. Dzikir dapat dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana jua. Dzikir boleh dilaksanakan dalam keadaan berwudhu` atau sebaliknya. Dzikir adalah ibadat yang Allah sukai.``
Menurut Tuan Guru, antara maksud sabda Rasulullah s.a.w., ``Bahawa ibadat yang disukai Allah ialah yang dikerjakan secara tetap, walaupun sedikit.`` (Riwayat Muslim).
Menurut Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman di dalam bukunya (Risalah) berjudul `Zikir Pagi Petang & Selepas Solat, bahawa antara dzikir untuk diamalkan ialah  Dzikir daripada Al-Qur`an, Dzikir daripada al-Sunnah dan Dzikir selepas solat.
Antara fatwa beramal katanya, bermula selepas solat Subuh atau sebaik-baiknya sebelum terbit matahari hingga waktu Zuhur. Pada waktu petang bermula selepas solat `Asar sebaik-baiknya sebelum terbenam matahari (Maghrib) hingga waktu `Isya`.  Sekiranya tidak sempat berdzikir dalam tempoh tersebut bacalah ketika hendak tidur. Sesiapa yang tidak dapat membaca semuanya, bacalah sekadar yang mampu agar tidak terlepas memperolehi kelebihannya..
Menurut Haji (Dr.) Zahazan Mohamed  di dalam bukunya  `Do`a dan Dzikir Harian`
``Dzikir ialah perbuatan mengingati Allah s.w.t dengan menyebut kalimah seperti subhanallah, astaghfirullah, Allahu akbar dan sebagainya dalam tiga bentuk. Iaitu melalui perbuatan lidah dan hati – juga akal.
Dhikir adalah menjadi sebahagian amalan sufi, bahkan bagi setengah tariqat mempunyai wirid-wirid dan ahzab yang menjadi amalan pengikut-pengikutnya.  Amalan-amalan dzikir ini adalah bagi memperkukuhkan kejiwaan pengamal-pengamal dan pengikut-pengikut tariqat-tariqat berkenaan. Tetapi sebagaimana telah diperkatakan amalan zikir yang aula adalah diambil dari Al-Qur`an  dan amalan Sunnah.
Menurut Al-Kalabadzi haqiqat dzikir, bahawa engkau melupakan apa yang selain daripada yang engkau  sebutkan di dalam dzikir, kerana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Ingatlah kepada Tuhan engkau apabila engkau lupa.`` (Al-Kahfi: 24).
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Mendahului  al-Mufarradun.  Dikatakan, siapakah al-Mufarradun itu, wahai Rasulallah ?. Maka bersabda Baginda, ``Mereka adalah yang berdzikir banyak-banyak lelaki dan perempuan.`` Hadith  reiwayat al-Tirmidhi dan al-Hakim.
 Dan al-Mufarrad  bermakna  tidak ada yang lain bersamanya.
Berkata setengah kalangan sufi, ``Dzikir ialah menghapuskan  lalai, apabila hilang lalai, maka engkau ialah orang yang berdzikir, meskipun diam.``
Digubah ungkapan kepada Al-Junayd sebagaimana berikut:
Ku dzikirkan Engkau tidak sekejip kulupakan
Paling mudah dhikir ialah dhikir dengan lisan.
Dzikir adalah tanda ingatan dan cinta, lantaran kerana cinta menyebutnya dengan penuh mesra dan tidak jemu-jemu mengulanginya, bahkan meningkatkan cinta.
Berkata Al-Junayd, ``Barangsiapa menyebut Allah tanpa mushahadah menandakan dia dusta, lantaran firman Allah bermaksud:
``Mereka berkata,  kami bersaksi bahawasanya engkau adalah Rasulullah.`` (Al-Munafiqun: 1) Kemudian Dia berkata, ``Allah bersaksi bahawa orang-orang munafik adalah mereka yang dusta.`` (Al-Mufiqun: 1).
Bermaksud, Allah mendustakan kata-kata mereka, walaupun dari segi luaran kata-kata mereka betul, tetapi dari hakikat dalaman, mereka adalah dusta, lantaran tidak sebenarnya `mushahadah`.
Dikatakan juga, ``Hati adalah mushahadah, sedangkan lisan adalah mengibarah daripada mushahadah, siapa yang mengibarat lain dari mushahadah, maka sesungguhnya ia adalah mushahadah dusta !``
Dzikir seharusnya adalah luahan dari hati yang mesra dan cinta terhadap Allah, lisan  menyebutnya  dengan rasa senang dan ringan, tiada keberatan, kerana tiap yang dicinta hati sering disebut dan diulang-ulangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment