December 29, 2016

ZAKAT PELUANG BAGI YANG BERADA MENDEKATI YANG MAHA ESA


BBB, 28 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 28 Disember 2016 (Rabu):
Dikatakan di dalam tasawuf bahawa jalan menuju Allah adalah banyak, termasuklah melakukan  berbagai kebajikan, antaranya ialah sadaqah. Bersadaqah adalah sunat, tetapi ada sadaqah yang diwajibkan bagi mereka yang berkelayakan, iaitu dinamakan `Zakat. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya sadaqah-sadaqah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hati mereka, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri mereka, dan orang-orang yang berhutang, dan (untuk dibelanjakan)  pada jalan Allah, dan orang-orang yang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Amat Mengetahui, lagi Amat Bijaksana.`` (Al-Taubah: 60).
Dengan kewajipan bersadaqah, sebenarnya Allah memberi peluang bagi mereka yang berkelayakan membuat kebajikan dan mendekati Allah. Sebagaimana dikatakan ketasawufan bukan untuk kalangan mereka yang faqir dan miskin semata-mata, tetapi peluang bagi semua lapisan masyarakat Islam sama ada dia berada atau miskin, berkedudukan dan orang biasa, pemimpin atau rakyat biasa dan sebagainya. Syaratnya dia orang yang patuh dengan perintah  Allah, berusaha memembersih diri bagi mendekati Allah seperti  menjalankan pekerjaan secara jujur dan mendapat rezeki yang halal. Dalam kata  yang  lain orang kaya berhak berjiwa sufi, demikian dengan pemimpin, tentera, peniaga, pegawai kerajaan, boroh, peladang dan kalangan orang biasa yang jujur dan bersih jiwa.
Zakat melibatkan kewajipan dari pihak tertinggi (Allah),
Pengusaha/pemilik harta yang layak dizakatkan
Harta  yang mau dizakatkan
Pihak pengurusan, iaitu amil dan pihak pemerintah
Pihak penerima zakat yang berkelayakan.
Zakat mempunyai hubungan rapat dengan tasawuf, jika tasawuf antara maksudnya ialah pembersihan, maka zakat juga bermakna membersih, tumbuh, subur (harta dan jiwa pengeluar zakat). Firman Allah bermaksud:
``Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka  menjadi sadaqah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka  (dari dosa), dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk), dan do`kanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya do`amu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan  (ingatlah) Allah Amat mendengar  lagi Amat Mengetahui.`` (Al-Taubah: 103).
Jadi dengan kewajipan berzakat memberi peluang bagi pengeluar zakat membersihkan diri (bererti juga) bertasawuf bagi dirinya dan membersihkan hartanya yang  insya Allah akan  subur dan berkembang dengan usahanya yang jujur.
Pada pihak yang lain dengan ihsan dan kebajikan pihak yang mengeluarkan zakat memberi faedah kepada yang menerima zakat, sebagai masyarakat yang kurang berada, maka dengan bantuan zakat dapat meringankan beban kemiskinan yang ditanggung. Jika yang menerima zakat menerima skim-skim tertentu , maka ianya dapat berdikari dan menumbuhkan zakat yang diterima dan memberi faedah kepada dirinya dan mereka yang lain. (Ini sebagai contoh bererti subur dan berkembang).
Pihak pengurusan yang menerima penghasilan zakat, jika mempunyai inisiatif dan berdaya kreatif adalah berperanan memperekembangkan harta zakat kepada yang membawa kepada pertumbuhan zakat dan peningkatan sumber rezeki penerimanya.
Kita maklum kini berbagai program dan skim zakat diwujudkan bagi kepentingan  zakat, penerima zakat dan institusi-institusi zakat.
Zakat misalnya dilaburkan secara halal bagi menambahkan dapatan dan lebih banyak peruntukan zakat dapat dimanfaatkan oleh yang berhak.
Menambahkan aset zakat dan umat  memperkukuhkan ekonomi mereka (Sebagai contoh Tabung Haji yang dimanfaatkan dari simpanan bakal-bakal  Haji}. Demikian dengan `Tabung Zakat` umpamanya.
Dengannya dapat diwujudkan insitusi-institusi perusahaan, ladang dan aset-aset lain yang dapat memberi pekerjaan dan faedah yang dapat diterima oleh yang layak  menerima zakat.
Menaja Institusi-institusi pendidikan sebagaimana harta waqafyang dapat mendirikan pengajian-pengajian tinggi yang memberi  peluang kepada semua pihak dapat  menyambung pengajian.
Memberi bantuan kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan untung menyambung pengajian tinggi di dalam dan luar negara bagi kepentingan keilmuan dan mengangkat martabat umat di dalam bidang keilmuan. Selain daripada itu dapat diperuntukkan dari mana-mana bidang asnaf yang sesuai untuk penyelidikan bagi bidang yang memberi faedah kepada umat. Selain daripada itu bantuan dapat diberi kepada sekolah-sekolah  agama pada peringkat rendah dan menengah dan juga kepada pelajar-pelajar yang layak menerima.
Sebagai rumusan zakat dapat diolah  secara kreatif dan innovatif  bagi kepentingan umat selagi ianya tidak bercanggah dari tujuan dan falsafah zakat. Sebenarnya zakat satu bidang yang berpotensi tinggi yang dapat mengangkat martabat umat terutama dari segi ekonomi, pendidikan, bahkan industri, perusahaan dan pertanian. Ia sama berpotensi dari segi waqaf, caruman haji, bank zakat sesuai dengan perkembangan  bidang-bidang ekonomi Islam yang semasa  seperti takaful. Bank Islam, al-Rahnu dan sebagainya.
Sebagai rumusan seterusnya  kekayaan tidak menghalang  pemiliknya  berjiwa tasawuf, jika ianya dapat dijalan dengan jujur, bahkan lebih memberi faedah bagi kepentingan umat. Orang berada sebenarnya sama berhak  mempunyai jiwa ketasawufan, bahkan dengan keberadaan ia lebih banyak dapat menolong orang ramai, iaitu  dengan cara kreatif dan inovatif dapat mewujudkan berbagai-bagai bidang dan peluang eknomi kepada masyarakat. Zakat tak kurang potensinya, bahkan lebih dari wakaf,  caruman haji dan sebagainya.
Berharta tidak mengurangkan peluang bertasawuf dan  mendapat pahala seperti melalui berzakat dan dengan zakat banyak ruang yang dapat dikembangkan bagi memartabatkan ekonomi umat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment