December 10, 2016

TAWAKKAL DAN REDHA DINAMIKA MENYELESAIKAN


BBB,  09 Rabi`ul Awwal 1438H. = 09  Disember 2016 (Juma`at):
Dua istilah yang kukuh dan positif di dalam keyakinan orang muslim. Ianya membawa sudut pandang wujud bagi seorang muslim yang amat positif  dan dinamik sifatnya. Pandang wujud dari perspektif diri muslim bahawa segala  sesuatu yang berlaku sesungguhnya  dalam ilmu Allah, tetapi bagi diri individu tidak mengetahui apa yang akan berlaku dan dia seharusnya selalu bertafa`ul – mengharap baik dengan ikhtiar serta berdo`a semoga sesuatu yang berlaku dan dipohon membawa hasil yang baik, maka jika apa yang ditawakkal dan  dipohon jika berlaku perkara yang dipohon, maka dia syukur,  tetapi jika sebaliknya dia redha menerima takdir dan sabar. Tawakkal dan redha adalah sebagaimana biasa adalah ahwal bagi Al-Kalabadzi, tetapi kedua-duanya  maqam bagi pandangan yang lain. Di dalam hal ini tiada kekeciwaan `sebenarnya` di dalam hidup dan harapan, segala yang berlaku adalah di dalam ketentuan qadha` dan qadar Tuhan. Dan seorang muslim harus meneruskan kehidupan secara syukur dan sabar yang keduanya berkeseimbangan dengan syukur dia mendapat pahala dan jika  sabar dengan qadha` dan qadar dia juga menerima pahala dan ganjaran.
Di dalam hal ini Al-Kalabadzi menampilkan  ta`rif tawakkal berdasarkan pendapat Sari al-Saqati yang mengatakan tawakkal ialah `Tercabut` dari kuasa dan kekuatan (tiada penentuan diri). Manakala  Ibn Masruq pula berkata,
``Tawakkal ialah meyerah  kepada larian qadha` bagi segala hukum``, manakala Sahl bin `Abdullah, bahawa tawakkal ialah menghantar kesegalaan di dalam penentuan Allah.
Berkata Abu `Abdullah al-Qurashiyy ialah, ``Meninggalkan segala perlindungan melainkan kepada Allah.``
Berkata Abu Ayyub, ``Tawakkal ialah mencampak badan di dalam `ubudiyyah dan mensangkut hati dengan rububiyyah dan tama`ninah dengan kifayah.``
Berkata Al-Junayd, ``Hakikat tawakkal bahawa adalah bagi Allah Ta`ala ada sebagaimana adalah Dia, maka adalah bagi Allah Ta`ala sebagimana berterusan ada Ia.
Berkata Abu Sa`id  al-Kharraz, ``Tawakkal adalah berlaku segala kifayat daripada Tuannya kepada ahli miliknya. ``
Berkata setengah mereka, `Tawakkal ialah apa yang di antara hamba dan Allah.``
Al-Sarraj mengemukakan pendapat tentang tawakkal, iaitu, meletakkan badan pada `ubudiyyah, ta`alluq hati dengan rububiyyah, tama`          ninah dengan kifayah, maka jika diberi dia bersyukur dan jika ditegah dia bersabar redha muwafaqat sebagaimana ditakdirkan.
Disoal Dhu al-Nun al-Misri tentang tawakkal, maka katanya, ``Tawakkal adalah meninggalkan tadbir diri dan tercabut daripada daya dan kekuatan.
Ruym pula berpendapat, tawakkal ialah  teguh dengan janji,  dan kata Sahl tawakkal ialah menghantar diri kepada Allah menurut kemahuanNya.
Tawakkal menurut `Abdul Qadir `Isa, sebagaimana dipetik dari pendapat Al-Sayyid katanya, ``Berpegang teguh dengan janji Allah dan berputus asa dengan apa yang ada pada tangan manusia.`` Dan berkata Ibn `Ajibah, Tawakkal ialah teguh hati dengan Allah dan tidak berpegang dengan lain dariNya.
Tentang tawakkal firman Allah bermaksud:
``Dan kepada Allah hendaklah bertawakkal oleh yang bertawakkal.``    (Ibrahim: 12).
Dan firmanNya lagi  bermaksud: ``Dan hendaklah bertawakkal kepada Yang Hidup dan tidak mati serta bertasbihlah dengan memujiNya dan cukuplah  Ia Mengetahui secara mendalam  akan dosa-dosa hambaNya.`` (Al-Furqan:  58).
Sebagaimana disebutkan bahawa redha mempunyai hubungan rapat dengan tawakkal, khususnya sebagai penerimaan dari hasil tawakkal, iaitu redha.
Redha adalah berkedudukan sebagai maqam dan sebagai hal dari berbagai ahwal bagi al-Kalabadzi. Beliau memetik pendapat Al-Junayd tentang redha, iaitu meninggalkan ikhtiar, tetapi kata al-Muhasibi sebagaimana dipetik Al- Sarraj, Redha ialah tenang hati menurut larian hukum,  dan berkata Dhu al-Nun al-Misri,  ``Redha gembira hati dengan larian al-qadha`
Berkata Al-Sarraj, bahawa redha adalah pintu Allah yang besar, syurga di dunia,, lantaran hati hamba tenang  di bawah hukum Allah Ta`ala.
Manakala `Abdul Qadir `Isa  menyatakan berbagai-bagai takrif tentang redha, tiap-tiap satu bercakap menurut suasana (hal) dan maqam yang dilalui. Antaranya beliau memetik pendapat Al-Sayyid yang dianggap pendapat yang paling popular, bahawa, ``Gembira hati dengan laluan qadha`.``
Dan berkata Ibn `Ajibah r.a. ``Menerima kecelakaan dengan senyuman atau bergembira hati bila terungkainya qadha`, atau meninggalkan ikhtiar menurut apa yang ditadbir Allah dan berlalu atau  lapang dada dan terangkat keengganan dengan apa yang ditentukan Allah yang Maha Esa lagi Berkuasa.``
Berkata Ibn `At*a`  Allah al-Sakandari r.a. ``Redha ialah melihat hati kepada qidamnya ikhtiar Allah Ta`ala  kepada hamba dan meninggalkan berbagai andaian.``
Redha ialah maqam hati, apabila tahqiq dengannya hati seorang mukmin dia mampu menempuh segala ujian masa dan berbagai-bagai kesusahan dengan iman yang kukuh, jiwa yang tenang, hati yang tenteram, bahkan lebih dari itu diterima dengan hati yang gembira dan rela menerima qadha`. Ini adalah merupakan natijah tahqiqnya ma`rifat dengan Allah Ta`ala dan kecintaan terhadapNya.
Tentang redha firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Allah redha mereka itu dan mereka redha denganNya. Itulah kejayaan yang Amat Besar`` (Al-Ma`idah: 119).
Dan ayat bertmaksud, ``Dan Keredhaan Allah itu lebih besar.`` (Al-Taubah: 72).
Demikianlah pandangan wujud para muslimin. Allah menentukan segala yang dikenali dengan qadha` dan qadar, pun begitu manusia tidak mengetahui apa ketentuan diri masa depan. Dia mesti bekerja dan berikhtiar serta bertawakkal  tanpa mempersoalkan apa yang ditentulah. Apa yang dia ikhtiar dan bertawakkal dan berkau, itulah ketentaun Allah – qadha` dan qadar. Dia bersyukur dengan kurnia dan bersabar jika sebaliknya. Dia mendapat pahala bagi kedua-duanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment