December 7, 2016

`ULUM AL-AHWAL PERTAMA AL-KALABADZI IALAH AL-TAUBAH


BBB,  06 Rabi`ul Awwal 1438 = 06 Disember 2016 (Selasa):
Baik bagi Al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf, maupun oleh Al-Sarraj dari peringkat yang lebih awal di dalam Al-Luma` , maupun  bagi `Abdul Qadir bin `Isa di dalam Haqa`iq `an al-Tasawwuf semuanya mengambil `Al-Taubah` sebagai tahap pertama perjalanan kualiti kerohanian sufi di dalam menuju kepada Allah. Bagi Al-Sarraj dan `Abdul Qadir bin `Isa yang kedua-duanya  mengklasifikasikan perjalanan kualiti kerohanian ini kepada maqam dan hal, kedua-duanya meletakkam `Al-Taubah` adalah pada tahap `Maqam`. Sedangkan bagi Al-Kalabadzi yang tidak membuat pengkategorian sebagaimana Al-Sarraj dan `Abdul Qadir, sudah tentulah meletakkan  pada bahagian hal.
Dari segi meletakkan `Al-Taubah`  seawal pembicaraan adalah wajar, lantaran tasawuf sebagai – antara ciri bermaksud dan berkonsep `Bersih`, bagaimana hendak memulakan perjalanan kualiti, jika diri masih bergelumang dengan dosa – dosa silam dan dosa keklinian. Langkah permulaan ialah dengan bertaubat, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang berimanan  bertaubatlah kepada Allah sebagai taubat nasuha.`` (Al-Tahrim: 8).
Al-Sarraj memberi penerangan bahawa, taubat ialah awal maqam bagi siapa memutuskan azam di dalam menuju kepada Allah. `Abdul Qadir dengan lebih jelas menyatakan bahawa taubat ialah kembali daripada apa yang dikeji shara` kepada apa yang dipuji shara`. Katanya dia adalah permulaan jalan bagi salikin, kunci kebahagiaan muridin dan syarat bagi sah perjalanan kepada Allah. Manakala Al-Kalabadzi terus mengambil pendapat Al-Junayd bin Muhammad sebagai penerangan kata taubah.
Menurut Al-Junayd, taubah ialah engkau melupakan dosa engkau (Bermaksud tidak akan kembali melakukannya). Al-Kalabadzi seterusnya memetik pendapat Sahl bin Abdullah yang bercanggah dari segi lahir. Bagi Sahl taubah bahawa engkau tidak lupa dari dosa engkau (Kesal) dan menginsafkan diri.
Al-Kalabadzi juga memetik pendapat Ruym, bahawa makna taubah, bahawa engkau bertaubat daripada taubat, maknanya sebagaimana kata Rabi`ah  al-`Adawiyyah:
``Aku memohon kepada Allah daripada sedikit sidqku pada perkataannku astaghfirullah.``
Al-Kalabadzi juga memetik pendapat al-Husain al-Maghazili tentang taubah. Maka dia berkata, ``Engkau menanyaku daripada taubat inabah atau taubat al-istijabah ? Maka ditanya orang kepadanya , ``Apa itu taubah al-inabah ?` Maka katanya, Engkau takut kepada Allah Ta`ala, kerana kudratNya ke atas engkau. Dan dia ditanya `Apa itu taubat al-istijabah?.  Maka katanya, Engkau malu kepadaNya, kerana dekatnya dengan diri engkau.
Menurut Dhu al-Nun al-Misri, taubat  ada beberapa  kategori, iaitu
Taubat `Am, iaitu taubat daripada dosa.
Taubat Khas, iaitu taubat daripada lalai.
Taubat al-anbiya`, (Bukan kerana dosa tapi penglahiran rasa hamba). Pastilah tahapnya tidak dapat sampai oleh yang lain.
Berkata Al-Nuri, Al-taubah ialah engkau bertaubat lantaran mengingat sesuatu yang lain daripada Allah `Azza wa Jalla.
Dan terakhir yang dipetik al-Kalabadzi ialah pendapat Ibrahim al-Daqqaq. Menurutnya, Taubat ialah engkau menumpu kepada Allah secara bermuraqabah dan takut.
Dilihat kepada konsep maqam dan hal kepada taubah, maka taubah pada peringkat awam dan biasa, ialah gambaran seseorang yang sebelum daripada itu adalah kemungkinan seorang yang jauh dari Allah, tidak taat, bahkan tidak mengamalkan kewajipan fardhu diwajibkan ke atas seorang muslim. Dia ditakdirkan insaf yang disebabkan oleh berbagai kemungkinan. Antaranya dia jatuh sakit yang teruk, hingga menyedarkan dirinya yang selama ini jauh dari Allah menyebabkan dia bertekad untuk kembali kepada Allah dan dia bertaubat. Atau kemungkinan seorang selama ini jahil dari keilmuan agama, selama ini ia  tidak berilmu, atau mempelajari ilmu lain dari ilmu agama sahaja, dsitakdirkan ia insaf dan membawa ia turut sama mempelajari bidang agama, menjadikan ianya insaf dan bertaubat atau berbagai-bagai lagi kemungkinan. Keinsafan yang membawa kepada bertaubat adalah merupakan perubahan dari keadaan selama ini jahil kepada keinsafan. Dengan keinsafan dan menggerakkannya kepada bertaubah dan taubah, ertinya ia telah berubah dari tempat sebelumnya sebagai jahil kepada tempat baru, yang dikenali dengan maqam. Maqam insaf dan taubah. Jadi mengkategorikan taubah sebagai salah satu maqam, bahkan maqam permulaan bagi langkah perjalanan menuju kepada Allah adalah tepat.
Adapun bagi al-Kalabadzi yang tidak membicarakan tentang maqam dan baginya ianya adalah hal atau ahwal, lantaran baginya tasawuf ialah ilmu tentang ahwal juga adalah releven, iaitu dengan melihat kepada situasi, kondisi yang dialami oleh orang insaf. Halnya berubah dari jahil, angkuh dan sombong sebelumnya kepada insaf, tawadhu` dan tenang adalah mencerminkan hal-hal yang dialami yang insaf dan taubah.
Adalah didapati pendapat-pendapat yang dipetik oleh  Al-Kalabadzi berhubung dengan taubah ini banyak mempunyai persamaan dengan apa yang dipetik oleh Al-Sarraj. Ini bermakna persoalan-persoalan yang dibicarakan oleh mereka berdua pada masa itu popular diperkatakan dan dipelajari oleh kalangan sufi pada zaman mereka, kecuali mereka berdua bersifat pro-aktif, iaitu mengabadikan keilmuan tasawuf pada masa itu kepada  penulisan yang dihasilkan mereka berdua sehingga kita mendapat faedah dari usaha yang dilakukan oleh mereka berdua.
Sebagaimana dikatakan bahawa pengkategorian aspek-aspek kerohanian di dalam tasawuf kepada maqam dan hal, terutama oleh Al-Sarraj dan Al-kalabadzi dengan aspek hal sahaja merupakan pendekatan yang menjelaskan aspek-aspek dan tahap-tahap kerohanian bagi dipelajari dan dijalani oleh yang terlebat di dalam bidang berkenaan. Pentahapan yang dibuat mereka bukan sekadar membuat semata-mata, tetapi adalah berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith, kerana bagi setiap aspek yang dibicarakan biasanya diperkukuhkan dengan ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith dan juga berpandukan kepada amalan yang dilakukan oleh para sahabat, para auliya`   dan  ulama` al-muqarrabin.

Sekian.

No comments:

Post a Comment