December 22, 2016

ISTILAH-ISTILAH KONTROVERSI: PEMBATASAN KENENARAN DAN NILAI


BBB, 21 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 21 Disember 2016 (Rabu):
Situasi keilmuan adalah semestinya di dalam sifat sedar dan dibicarakan secara rasional, dapat difahami secara rasional dan dipegang dan diyakini secara rasional. Contoh bagi bidang keislaman ialah ilmu akidah dan persoalan-persoalan fiqh.
Di luar dari rasional, baik bagi keilmuan umum dan keilmuan  agama ada elemen-elemen yang dipengaruhi oleh elemen-elemen subjektif  seperti emosi, hati dan rohani. Untuk lebih faham kita lihat bidang-bidang yang bersifat umum. Sebagai contoh bidang seni seperti nyanyian adalah disertai dengan elemen emosi dan  seni kalbu  yang menjadikannya indah dan bermutu termasuk bagi nasyid. Contoh pada peringkat seni yang lebih tinggi yang padanya elemen seni yang bersifat kudus seperti penulisan khat, seni bina masjid. Dengan khat yang bermutu atau seni bina masjid yang indah  mencetuskan rasa indah, kagum dan kudus membawa hati-nurani meningkat kepada pengalaman  kalbu yang meninggi yang kita dapat sebutkan sebagai estetika  murni. Pada peringkat darajat yang lebih tinggi melalui rohani turut disertai oleh elemem yang kita katakan `seni rohani`. Contoh rasa khusyuk, ta`abbudiyyah, khudhu`, rasa fana` adalah pancaran rohani yang disertai seni rohani yang suci yang menjadi mekanisme mendekati Ilahi. Contoh kekhusyukan di dalam solat, puasa, tilawah al-Qur`an, haji, munajat, do`a dan berbagai-bagai lagi amalan-amalan kerohanian yang membawa diri mendekati ilahi.
Perlu diingat bahawa sama ada merasa keluhuran dengan keilmuan, keindahan dan kekaguman dengan seni, kekudusan dan kemesraan di dalam ibadat seharusnya di dalam suasana sedar dan rasional yang nilai akliah dan hukum adalah berjalan terhadap nilai sama ada baik atau sebaliknya dari segi amalan. Ianya merupakan pancaran nilai perabadan rohaniah yang meningkatkan tahap nilai dan kerohaniah amalan.
Rasional adalah batas yang menjadi perkiraan amalan. Perlu diingat di luar dari batas rasional di atas ada batas irrasional yang tidak berlaku pada ilmu, tetapi boleh berlaku pada emosi, hati dan rohani yang dapat diistilahkan sebagai abnormal dan extreem. Sebagai contoh dengan emosi  yang kemabukan rasa boleh membawa diri hanyut, jika tidak terkawal. Cinta dari kalbu yang membuak dengan mesra juga hanyut keluar dari adab dan akhlak  dan termasuk ke wilayah dosa, bahkan dari segi kerohanian, khususnya  boleh tiba pada peringkat diistilah sebagai `al-sakar` (mabuk) diluar kawalan. Di dalam hal ini ada aspek-aspek khusus yang dibicarakan oleh al-Kalabadzi, termasuk juga oleh Al-Sarraj.
Menurut Al-Kalabadzi al-sakar ialah gambaran bahawa seorang itu hilang dari kemampuan membezakan sesuatu. Lawan bagi istilah ini ialah al-S*ahwu, iaitu sedar. Di dalam keadaan sedemikian  boleh membawa seorang sufi  mengungkapkan sesuatu yang bersifat kontroversi dan bercanggah dengan nilai rohani, shariat dan akidah. Pengistilahan yang berdekatan dengan al-sakar dan al-s*ahwu, ialah, ghaib dan hadir, juga   di dalam keadaan hiyam (termangu) dan hayjan (goncang), jama` dan tafriqah, tajalli (mukashafah) dan al-istitar (terlindung), bahkan keadaan fana` dan baqa`. Ungkapan-ungkapan yang terpancar dari mereka yang di dalam keadaan sedemikian dapat berlaku di dalam bidang seni puisi.  Misalnya seperti yang diungkapkan oleh  Ibn `Arabi, Al-Jili, Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani dan lain-lain lagi. Yang menjadi lebih kontroversi lantaran mereka berpegang kepada falsafah yang bercanggah dengan Islam seperti wahdatul wujud bagi Ibn `Arabi, Al-Jili, Hamzah Fansuri dan  Shamsuddin al-Sumatrani, Al-Ittihad seperti oleh Al-Bistami, Hulul pada Al-Hallaj  dan lain-lain lagi
Ciri-ciri kemabukan rasa sedemikian antara maksud yang ditujukan oleh Al-Qur`an terhadap penyair-penyair yang disifatkan membawa elemen-elemen jahilah. Ayat  Al-Qur`an di dalam Surah al-Shu`ara` bermaksud:
``Dan ahli-ahli syair itu diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau tidak  berketentuan hala dalam tiap-tiap jurang lembah (khayal dan angan-anagn kosong). Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih (dari kalangan ahli-ahli syair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianyayai. Dan (ingatlah) orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mereka akan kembali.`` (Al-Shu`ara`:  224-227).
Sebagaimana berlaku di kalangan para penyair yang hanyut dengan perasaan, maka sedemikian juga boleh berlaku bagi kalangan sufi yang mengungkapkan ungkapan-ungkapan dan juga puisi-puisi secara di luar sedar. Sudah tentu ada dari ungkapan-ungkapan yang baik, tetapi sebahagian ungkapan yang bercanggah dari kebenaran. Terutama bagi kalangan yang berpegang dengan falsafah yang tidak selari dengan Islam. Sebagai contoh antara ungkapan Ibn `Arabi yang berfaham wahdat al-wujud, Al-Hallaj yang berfaham hulu dan sebagainya.  Ungkapan-ungkapan mereka yang di luar sedar dan berfaham bercanggah dengan fahaman murni Islam ini menjadi kontroversi.  Walau bagaimana rasional akal dan kebenaran akidah yang murni Islam adalah menjadi faktor nilai antara benar dan salah, antara boleh dibenar dan tidak dibenarkan, bagi menjaga kemurnian akidah  dan kemurnian Islam.
Persoalan kebebasan berkarya memang berlaku sejak dulu hingga kini di dalam bidang-bidang terutama seni –  seperti  di dalam bidang nyanyian, penulisan  prosa dan puisi, fesyen seperti pakaian. Namun kebebasan hendaklah dikawal oleh kebenaran dan nilai, jika tidak ianya menimbulkan penentangan. Contoh penentangan dari segi kebenaran seperti berlaku antara pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah menentang aliran-aliran kontroversi sepeti Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Shi`ah dan sebagainya. Begitu juga dari segi nilai seperti ketidaksenangan terhadap ungkapan-ungkapan yang bercanggah dengan nilai dan pegangan Islam murni seperti aspek-aspek kontroversi di dalam tasawuf seperti yang membawa faham wahdat al-wujud, hulul, ittihad dan sebagainya.
Kebenaran dan rasional perlulah menjadi batas penentu bagi mengelak berlakunya kontroversi di dalam keilmuan termasuklah juga tasawuf.

Sekian.

No comments:

Post a Comment