01 Rabi`ul Awwal 1438H. = 01 Disember
2016M. (Khamis):
Tanggapan umum terhadap sufi bahawa mereka
ialah orang yang meninggalkan dunia dan menumpukan perhatian beribadat kepada
Tuhan. Tergambar mereka adalah orang
yang faqir, miskin dan hidup dalam kesusahan dan menjadi beban masyarakat ?
Abu Bakar al-Kalabadzi di dalam kitabnya
berjudul `Al-Ta`arruf` memperuntukkan
satu bab membicarakan persoalan tentang
`Al-Makasib` (Berusaha mencari rezeki, pendapatan, sumber ekonomi). Kata Al-Kalabadzi:
`Secara berjama`ah kaum sufi berpendapat
bekerja dalam berbagai kemahiran, perniagaan, pertanian dan berbagai kerja lagi
adalah harus menurut shara` dengan sedar dan pasti serta berusaha mengelak dari
terjatuh di dalam perkara shubhah. Bekerja
mencari pendapatan antaranya memupuk sifat tolong menolong di kalangan
masyarakat, tidak bersifat tamak, tidak memasalahkan orang, sebaliknya
mengukuhkan silaturrahim di kalangan jiran.
Premis bagi bab ini dikemukakan oleh
Al-Kalabadzi adalah baik. Pandangannya adalah bersesuaian dengan zaman tradisi
dan kini. Menariknya tidak ada seruan kepada meninggalkan dunia (biasa), tiada
gesaan hidup faqir dengan keadaan
menderita yang dianggap lebih intim beribadat kepada Allah ? Apakah dengan semangat ini sebagai tuntutan
kesufian ?
Kita berpendapat nilai-nilai kesufian yang murni seperti, kebersihan, ketaatan,
kejujuran, Kemesraan dan kecintaan hendaklah diaplikasikan kepada kehidupan
realiti semua masyarakat kini. Begitu banyak kerja-kerja halal yang dilibatkan
oleh masyarakat melalui kelayakan yang ada pada mereka bagi mendapat rezeki
bagi menyara diri, keluarga, bagi kepentingan masyarakat agama, bangsa dan
negara. Mereka seperti petani di ladang,
buruh yang membanting tulang, nelayan di lautan, guru yang mendidik bagi
berbagai peringkat , peniaga yang menyediakan kemudahan mendapat barangan, pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja di jabatan,
pasukan-pasukan menjaga keamanan dan pertahanan, mereka yang mendakwah dan mengembangkan
agama, orang-orang politik berwibawa, bahkan apa saja yang menjadi sumber
pekerjan dan kerjaya hendaklah meneruskan kerjaya masing-masing dengan penuh
dedikasi, tanggungjawab dan amanah.
Firman Allah bermaksud:
``Barangsiapa berbuat kebaikan dari lelaki
dan perempuan pada hal dia beriman, maka Kami akan hidupkan dia dengan
penghidupan yang baik.`` (Al-Nahl: 97).
Bagi membentuk suatu masyarakat bernilai dan
bermutu, semua pihak sejak awal pendidikan hinggalah meningkat kepada berbagai
darjat dan peringkat hendaklah ditanam di dalam jiwa mereka niali-nilai
kesufian:
Kebersihan,
ketaatan, kejujuran,
kemesraan dan kecintaan.
Antara nilai-nilai yang disuruh Allah ialah
amanah. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
melakukan amanah terhadap ahli-ahlinya.`` (Al-Nisa`: 58).
Ini adalah antara ciri kesufian yang harus ditanam di dalam pendidikan,
pengajian dan pembelajaran. Nilai di dalam keluarga, nilai dalam berbagai-bagai
sektor pekerjaan, nilai di dalam pentadbiran, pemerintahan dan di dalam apa
saja sektor kehidupan. Dengan mendukung minimum lima nilai di atas, dapat
membentuk individu, keluarga, masyarakat dan berbagai sektor hidup di dalam
aman tenteram. Dengan kesedaran nilai di atas menimbulkan msyarakat yang bertanggungjawab,
suka menolong dan kasih sayang yang
menjadikan masyarakat dan negara berada di dalam tenteram dan kasih sayang.
Dengan prinsip nilai yang ditanamkan ke
tengah masyarakat melalui berbagai-bagai mekanisme pendidikan dan pengajaran
tidak menghalang individu atau kelompok bagi meningkatkan potensi yang ada pada mereka. Misalnya dengan
nilai yang ada sebagai asas tidak menghalang seorang yang meminati kerohanian
mendalam bidang kerohanian dan menjadi sufi berwibawa dengan keilmuan dan
amalan, bahkan menjadi pemimpin dalam bidang berkenaan. Dia seharusnya juga mempunyai
kemampuan ekonomi dan menjadi sufi, walaupun tidak semestinya watak luarannya kelihatan.
Nilai kesufian boleh tumbuh dan berkembang
pada seorang pegawai yang jujur da berkembang nilai-nilai kerohanin di
dalam diri yang memperbaiki potensi diri
dan kelilingannya. Dengan nilai-nilai berkenaan pegawai berkenaan amanah, tidak
rasuah dan bertanggungjawab. Nilai berkenaan dapat membentuk mereka yang
bekerja dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara bekerja dengan dedikasi .
Berusaha dengan jujur misalnya mempertahankan sempadan dari dimasuki oleh
penceroboh dan musuh yang boleh mengancam keamanan dan ketenteraman negara.
Bagi usahawan yang kaya tidak menghalang
dari mereka bersifat dengan sifat-sifat yang disebutkan,bahkan dengan kekayaan
dapat menyumbang kepada pendapatan negara, memberi peluang pekerjaan kepada
orang ramai dan dengan sifat pemurah dapat dia
membuat kebajikan.
Orang politik juga dengan mempunyai nilai-nilai murni ia
berkhidmat kepada rakyat dan negara dengan baik dan disayangi masyarakat. Jika
ciri-ciri kesufian yang disebutkan berada di dalam jiwa seniman dan ahli seni,
maka jiwa seni yang ada di dalam dirinya lebih bersemarak, maka seni alamiah
dan seni rohaniah akan meningkatkan bakat mereka menjadi seniman di dalam
bidang seni yang berjaya. Telah dibincangkan bahawa seniman alami yang
diperkukuhkan dengan elemen seni rohani meningkatkan potensi kesenimanan.
Misalnya jiwa seni kerohanian menghasilkan monumen-monumen yang agung seperti
masjid-masjid terkenal, penyair-penyair
yang agung, penulis-penulis khat yang berwibaya, istana-istana yang menawan dan
sebagainya.
Berkata Al-Junayd berhubung dengan
pekerjaan, hendaklah pekerjaan yang mendekati diri kepada Allah. Ini
termasuklah yang memberi manfaat dan kebajikan. Contoh yang jelas para petani
yang bekerja di sawah ladang menghasilkan makanan bagi keperluan orang ramai,
sebagai contoh menghasilan tanaman padi adalah kerja yang memberi manfaat
kepada orang ramai yang setiap masa memerlukan beras sebagai makanan utama,
demikian juga dengan penghasilan sayur-sayuran dan buah-buahan, yang
buah-buahan dan penghasilan pertanian dapat menyediakan bahan makanan yang
diperlukan oleh rakyat dan negara.
Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Tiap-tiap anggota daripada manusia itu
adalah sadaqah.`` Termasuk anggota
membanting tulang bagi menghasilkan bahan pertanian.
Berkata Sahl bin Abdullah, bekerja dengan
tugas-tugas yang hak dan aula dan tidak berpaling dari ikhtiar adalah sebagai
kewajipan.
Pendeknya mencari pendapatan adalah perlu.
Menjaga keselamatan bagi menjaga keperluan
adalah kewajipan. Ia adalah kemudahan – termasuk bagi mendekati diri dengan Tuhan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment