December 25, 2016

FIQH DALAM TABAQAT TARBIAH ROHANIAH


BBB, 24 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 24 Disember 2016 (Sabtu):
Kita  masih membicarakan fiqh sebagai dimensi tasawuf, iaitu dengan pergi lebih jauh, bahawa fiqh adalah merupakan tabaqat dari tabaqat-tabaqat tarbiah rohaniah yang menghasilkan tasawuf. Bahawa pada manusia ada pengalaman, akal dan hati-rohani. Pada peringkat awal manusia hidup dan berdasarkan pengalaman dia memahami hidup dan keperluan bagi kehidupan.  Ini dapat dikatakan sebagai tabaqah alamiah yang memerlukan masa yang  panjang yang dilalui oleh manusia sebelum mereka mencapai tamadun dengan perutusan kerasulan dan kenabian.
Diringkaskan pembicaraan, bahawa manusia menyedari akan perlunya kepada aturan-aturan dan kehidupan  adalah terdiri dari aturan-aturan. Dilihat alam berada di dalam aturan dari siang malam, ada surut pasang,  sejuk panas, kehidupan dan kematian, kesenangan dan kesusahan. Dari aturan lahiri difikir ada  pengatur   yang mengatur semua aturan berkenaan hinggalah membawa kepada pemikiran tentang kejadian alam dan Pencipta alam dan kejadian.  Ini diperkukuh dengan   penyampaian maklumat berkenaan oleh  rasul dan nabi.
 Kerasulan membawa maklumat, bahawa apa yang difikir tentang pengatur itu, maka  Dialah Pencipta, Tuhan, Allah dan nama-nama yang lain bagi ketuhanan.
Demikian pengenalan membawa kepada kepercayaan kepada Pengatur yang dikenali sebagai Tuhan yang menjadi pegangan atau lebih khusus sebagaimana akidah.
Akidah menjadi tonggak dan titik utama bagi tasawuf. Lantaran melalui pendekatan akidah ianya memberi ruang kepada bidang tasawuf, khususnya bagi sufi menanggapi tentang ketuhanan. Peringkat akidah ini kita namakan sebagai tabaqat aqliyyah. Akidah mempunyai pendekatan yang tersendiri yang disusun dengan cara teratur  dan rasional. Bermula dengan hukum akal dan melaluinya mengenal Allah Ta`ala melalui asma`, sifat dan af`alnya dan juga mengenai rukun-rukun iman yang lain. Jadi melalui akidah terserlah kenyataan tentang hakikat kewujudan yang ada Pencipta dan yang kena cipta. Melalui tabaqat ini bergerak sama elemen tasawuf, bahawa melalui pengenalan Allah dapat dihayati keagungan, kekuasaan, keagungan, kesempurnaan dan keindahanNya. Tasawuf pada peringkat ini berbaur elemen akal dan elemen kerohanian.
Tabaqat ketiga kita namakan tabaqat amali, bermaksud, manusia menyedari bahawa kejadian sebagaimana telah dibincangkan adalah terdiri dari aturan-aturan. Aturan bagi cakerawala, langit dan bumi, aturan dan pertukaran siang dan malam,  aturan untuk survival perlu bekerja, bahkan mesti menyesuai dan mengikuti aturan-aturan. Namun ada yang tidak memahami dan tidak dapat mengikuti peratuan-peraturan alamiah yang patut dipatuhi dan selamat.
Tabaqat ketiga dikenali dengan hukum fiqhiyyah dan amaliyyah yang dikenali dengan ibadat, muamalat, munakahat, jinayah, jihad, mungkin dapat ditambah dengan aturan komunikasi dan akhlak. Tiap-tiap satu adalah merupakan aturan yang tersusun yang dapat diikuti dengan baik. Di samping itu diperkenalkan  aspek-aspek  bersifat negatif dan ditegah dari melakukannya.
Pada tahap tabaqat amali lahiri ini, sebenarnya menjadi panduan dan asas bagi kesufian. Sebagai contoh jika tidak dikenali dan amali dari tabaqat amali ini seperti solat dan puasa, bagaimana sufi dapat mengasaskan ibadatnya kepada Allah. Sebenarnya melalui asas ibadat yang amali ini dapat ditimba aspek-aspek tasawuf. Daripada solat misalnya dapat dihayati aspek khusyu`,  ikhlas, tanma`ninah, khauf, al-qurb, al-mahabbah dan sebagainya.
Di luar daripada ibadat-ibadat wajib, di sana banyak lagi aspek-aspek yang dikira  sebagai ibadat yang termasuk dibawah tabaqat fiqhiyyah seperti  aturan-aturan mu`amalat yang disusun dengan indah. Praktik muamalah yang merupakan hubungan antara manusia, misalnya dari segi urusniaga yang baik, kehidupan berjiran yang baik, peraturan-peraturan sosial yang baik memberi ruang kepada setiap orang Islam menikmati kehidupan yang baik dan mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat, , bersifat tolong menolong dan membantu antara satu sama lain. Tabaqat yang lebih merupakan hubungan horizontal ini juga memberi ruang kepada peningkatan peribadi dan kerohanian seseorang.
Tabaqat keempat ialah lebih bersifat  perkembalian ke dalam diri, iaitu penekanan bagi pembersihan diri dalam mendekati Ilahi, iaitu tahap yang dikenali dengan tasawuf. Sebenarnya apa yang didekati di dalam tasawuf tidak lain dari kembali menyusun aspek-aspek kerohanian secara teratur yang infra-strukturnya sudah ada di dalam akidah Islam, shari`atnya (fiqh) dan akhlaknya. Contoh penyusunan sebagaimana yang diatur oleh al-Sarraj dengan pendekatan maqam dan hal dan tambahan-tambahan yang lain. Peningkatan dari segi kebersihan yang tentulah bersama dengan amalan-amalan kerohanian tersebut tidak lain dari meningkatkan kualiti kerohanian seseorang itu, dalam kata lain memperbaiki dan mendekati diri dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Dan tabaqah terakhir ialah tabaqah pendekatan dengan Allah dari segi dapat dikatakan, ibadat, kecintaan dan juga disebut ma`rifat. Kedekatan disebutkan adalah dari segi kualiti dan maknawi dan tidak mungkin berlaku dari segi realiti alami.
Dari kesemua tabaqat di atas (lima – alamiah, akidah (akliyyah), fiqh (hukmiyyah-amaliyyah), tasawuf dan ma`rifat memperlihatkan dua dasar penting di dalam perjalanan kualiti diri, iaitu akidah yang menjadi tunjang utama yang menumbuh dan menyuburkan yang lain. Dan fiqh atau aturan shari`at itu sendiri yang berasaskan segala aturan-aturan yang menjadi panduan amalan. Dari amalan inilah sebenarnya menumbuhkan cabang-cabang indah dari segi amalan yang merupakan bunga dan buah, iaitu sebagai bandingan dengan keilmuan tasawuf dan kerohanian hasil dari pertumbuhan perdu tauhid yang tumbuh dengan amalan-amalan yang amalan-amalan ini pula mempunyai berbagai taraf dan kualiti yang dapat dicapai oleh setiap individu berkenaan. Dapatlah difahamkan bahawa kepentingan tauhid sebagai tabaqat utama, dan fiqh sebagai tabaqah praktik memberi sumbangan yang penting kepada pembinaan tasawuf yang bukan bersifat bersendirian, tetapi adalah bersifat penyempurnaan.
Tasawuf tidak sendirian, ia adalah berpaksikan kepada tauhid dan merupakan  pancaran yang ditimba dari amalan, aturan dari shari`at dan akhlak. Ia merupakan bunga dan buah dari segi  tarbiah.

Sekian.

1 comment: