December 30, 2016

UJIAN MENUNAIKAN HAJI - PENGALAMAN DAN KESUKARAN LEPAS


BBB, 29 Rabi`ul-Awwal  1438H.= 29 Disember 2015M. (Khamis):
Ungkapan  di atas ditimbulkan bagi memperlihatkan betapa banyaknya ujian rohani dialami oleh yang menunaikan haji pada masa lepas dan menunjukkan betapa rapatnya amalan-amalan haji dengan jiwa  ketasawufan.  Firman Allah bermaksud:
``Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa  yang mampu dan berkuasa  sampai kepadanya.`` (Ali `Imran: 97).
Dan firman Allah lagi bermaksud:
``Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan  ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan berkenderakan berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.`` (Al-Hajj:  27).
Dengan ayat yang mewajibkan haji dan ayat seruan bagi menunaikan haji  di atas memperlihatkan keyakinan dan kesetiaan umat Islam menjawab seruan bagi menunaikan haji, baik bagi mereka yang senang (berada), betapa lagi yang susah dari petani yang bekerja di sawah ladang, buruh di berbagai sektor pekerjaan  dan sebagainya. Mereka berjimat cermat menghimpun duit  melalui simpanan dan dengan penuh setia dan  rindu menunggu giliran bagi mendapat  peluang  menunaikan fardhu haji. Sebelum giliran tiba  mereka dengan penuh setia dan mesra menyertai kursus-kursus bimbingan haji, bagi memahami dan mempastikan bahawa amalan haji yang bakal dilakukan dapat dilakukan  sesempurna yang mungkin, maklum sajalah bahawa bagi kebanyakan mereka inilah peluang pertama dan mungkin terakhir  bagi menunaikan haji.  Jiwa apakah sedemikian ? Tidak lain dari keluhuran  iman dan kerohanian. Dengan penuh setia, mesra dan cinta , rela mencari dan menghimpun harta, sanggup berjimat dan taat bagi persediaan  bagi menunaikan haji. Bila peluang mendapat giliran betapa suka, mesra dan syukur kerana  berpeluang menunaikan haji. Berita mendapat peluang menunaikan haji heboh diberitakan sekampung. Gembira diterima bukan diri yang mendapat tawaran sahaja, bahkan keluarga, sanak saudara dan penduduk setempat. Untuk mengisi peluang seterusnya dan peluang tidak mau dipersia-sia   ditambah usaha menghadiri kursus dan berbagai-bagai  pengajian tambahan sebagai usaha agar amalan haji kelak dapat dilakukan dengan sebaik dan sesempuna mungkin.
Inilah  gambaran jiwa, hati-rohani yang ta`at, setia, mesra,terharu,  cinta, kudus terhadap Allah ianya tidak lain dari gambaran elemen-elemen tasawuf yang memenuhi jiwa  yang bakal  menunaikan haji.
Tiba masa bertolak bagi menunaikan haji, ayat Al-Qur`an yang dipetik di atas benar-benar mencerminkan suasana kudus gambaran mereka yang bergerak dari kediaman, tempat, kampung halaman dan berbagai nama sebagai tempat bertolak.
Gambaran  ayat Al-Qur`an di atas betapa keyakinan dan kecekalan umat, bahawa antara mereka ada yang berjalan kaki secara kumpulan atau berseorangan bagi yang lebih dekat,  bahawa mereka sanggup berjalan kaki, walaupun susah dan sukar misalnya merentasi padang pasir dan bukit bukau di samping membawa barang-barang bekalan untuk haji. Gambaran antara mereka menunggang unta-unta kurus begitu indah dan estetik. Terbayang bahawa mereka yang menunggang unta ini berada di bawah lindungan di atas belakang  unta bergerak dari negeri-negeri yang jauh secara berkafilah dengan unta-unta bertalian bergerak menuju ke destanasi, iaitu Makkah al-Mukarramah dengan merentas padang pasir dan bukit bukau bahkan gunung batu yang kering kontang yang memerlukan azam, kecekalan dan kesungguhan yang tinggi dalam merentasi kawasan yang kering kontang itu. Bagi mereka kepentingan diri, jiwa raga dan bekalan dipertaruhkan dengan penyerahan dan tawakkal kepada Allah sepenuhnya. Ada yang berjaya menghadapi ujian dan dapat sampai ke Makkah al-Mukarrah setelah antaranya berbulan-bulan dalam perjalanan. Dan jangan lupa sebahagian lagi, khususnya yang tidak biasa mengalami perjalanan digurun pasir dan bukit-bukit batu kepanasan menemui ajal dalam perjalanan dan mereka penuh redha, lantaran dengan niat suci dipasang sejak awal lagi.
Apa yang digambarkan oleh ayat Al-Qur`an di atas, juga dialami oleh jama`ah haji dari negara kita sejak zaman awal bagi mereka yang dapat menunaikan haji hinggalah kepada tahun-tahun 1950an – zaman sebelum kemerdekaan tanah air. Bagi sebahagian daripada kita masih ingat, bahawa untuk menunaikan haji pada tahun-tahun hingga tahun-tahun 1950an tidaklah mudah menunaikan haji.  Mereka terpaksa melalui jalan darat untuk ke pelabuhan Pulau Pinang, Singapura dan kemudian pelabuhan Kelang bagi menaiki kapal laut berminggu-minggu dan kemudian menunggang unta. Perjalanan memakan masa berbulan-bulan untuk sampai ke Tanah Suci. Tidak ramai yang berkemampuan  menunaikan haji, bukan saja dari segi kewangan dan bekalan, tetapi kekuatan fizikal melalui jalan darat, laut dan kenderaan berunta, sebelum wujudnya kenderaan bermotor bagi merentasi padang pasir ke Makkah dan juga ke Madinah. Pemergian bagi menunaikan haji pada masa itu dianggap antara hidup dan mati. Lantaran itu berkesempatan menunaikan haji adalah peritiwa bersejarah bukan saja bagi penunai haji, tetapi juga bagi keluarga, kampung dan masyarakat setempat. Untuk bertolak dari rumah yang dianggap antara hidup-mati, bakal haji diberi kehormatan tinggi diziarah keluarga dan masyarakat jauh dan dekat dan dilepaskan  pemergian dengan tangis anak-anak dan keluarga dan masyarakat sama. Perjalanan adalah merupakan pengalaman kudus yang diiringi tangis dan do`a, lantaran itu pada masa itu mereka sukar untuk menerima berita bagi yang dilepaskan dengan kasih sayang itu. Berita diterima mungkin sekali sekala dan tidak jarang berita kematian diperjalanan yang antaranya berkubur di lautan atau di padang pasir dalam perjalanan pergi atau pulang. Begitulah cekal jiwa mereka yang terpilih menunaikan kewajipan rukun Islam kelima itu, pada masa lepas.
Walau bagaimana, bukan tidak ada ujian kecekalan dan kesusahan bagi yang menunaikan haji pada zaman moden ini. Misalnya walaupun ada kewangan, ada kenderaan yang canggih dengan kapal terbang yang perjalanan terus ke tanah suci, halangan dan ujian yang memnghalang mereka yang berhasrat menunaikan haji, ialah koata yang dikenakan, oleh kerana ramai yang hendak menunaikan haji dari berbagai negara dan kemampuan Makkah menerima tetamu. Selain daripada itu ialah ujian kesihatan dan kemampuan dari segi fizikal. Namun begitu menunaikan haji pada masa ini tidak sesukar masa silam. Tapi semuanya bertujuan menyahut seruan haji dengan penuh setia dan keikhlasan.
Apa yang digambarkan tidak lain dari keazaman jiwa bagi menyahut seruan suci yang jiwa pula penuh rindu bagi menjalani perjalanan kudus yang menjadi dambaan jiwa sebelum dapat menunaikannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment