BBB,
15 Rabi`ul Awwal 1438H. = 15 Disember 2016 (Khamis):
Perlu disebut dan diulangi bahawa apa yang diungkapkan
oleh pengalaman kesufian dari segi kemesraan dan kedekatan adalah bukan
dari segi fizikal dan ruang, tetapi adalah dari segi dalaman hati-rohani yang
bangkit dari rasa mesra dan wujdan yang kita istilahkan sebagai `estetika
rohani`. Sebagai contoh akibat rasa mesra dan kasih sayang seorang terhadap
yang lain secara alamiah , kerana persahabatan, bahkan kerana cinta, menjadikan
yang dikasihi dan dicintai dekat dihati, dirindui dan ingin bersama.
Pengalaman sedemikian meningkatkan dan
berlaku dari segi rohani yang diistilahkan sebagai cinta Ilahi.
Demikianlah dilihat berlaku di dalam keilmuan
dan pengalaman ketasawufan. Pengalaman adalah bersifat seni rohani dan bukan
realiti dan alamiah sifatnya.
Antara aspek ahwal yang nesra sifatnya
dalam hubungan dengan yang Tertinggi diistilahkan sebagai `al-uns` (jinak mesra), al-qurb (rasa kedekatan)
bahkan merasa seolah berhubungan (al-Ittisal) yang semuanya bersifat intuitif
dan rohani sifatnya. Namun ciri estetika yang bersifat rohani adalah lebih
tinggi dari estetika qalbi.
Antara rasa kemesraan terhadap yang
Tertinggi, ialah al-Uns. Apa itu al-uns ?
Menurut Al-Sarraj, Al-uns dengan Allah
Ta`ala, ialah bergantung padaNya, tertumpu padaNya dan mengharapkan kepadanya
dan tidak melebihi daripada itu. Dan al-Uns dengan Allah berlaku bagi hamba
yang telah sempurna taharahnya dan bersih dzikirnya, menghindari diri dari
perkara yang mengganggu dari konsentrasinya terhadap Allah.. Ketika itu dikatakan
dia jinak dengan Allah.
Sebagaimana dilihat oleh Al-Sarraj bahawa
ada tiga tahap ahwal al-uns:
Pertama: Mereka yang menumpukan pada
dzikir, menjauhi dari lalai, mengekalkan ketaatan dan menjauhi dari dosa.
Kedua: Yang jinak dengan Allah dan memaling
diri dari yang lain dan dari lintasan yang mengganggu
Ketiga: Yang berdepan dengan rasa
kehaibatan dan kedekatan hingga
tenggelam aspek al-uns.
Manakala bagi Abu Bakar Muhammad
al-Kalabadzi memetik pendapat Al-Junayd tentang
al-uns, ialah terangkatnya ketakutan dengan wujudnya rasa kehaibatan.
Manakala kata Dzu al-Nun al-Misri, bahawa
menghamparkan jiwa yang mengasihi kepada yang dikasihi.
Ditanyai Ibrahim al-Marastani tentang al-uns,,
maka katanya, ``Gembira hati dengan yang dikasihi.``
Dan dekat dengan rasa al-uns ialah merasa dekat
(al-qurb) dengan yang dikasihi.
Al-Kalabadzi mengambil maksud al-qurb dari
kata Sari al-Saqati, bahawa al-qurb tidak lain dari `Ketaatan`.
Berkata yang lain, bahawa al-qurb ialah
merendah diri dan mematuhi berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Wa`s-jud wa`q-tarib`
- Sujudlah dan dampingi diri kepada Allah (Al-`Alaq: 19).
Dan disoal Ruym tentang erti al-qurb,
katanya, ``Menghilangkan segala rintangan.``
Dan ditanya yang lain tentang al-qurb,,
``Bahawa engkau menyaksikan perbuatanNya pada diri engkau.``
Sebuah lagi aspek hal ialah merasa
berhubungan `Al-Ittisal`. Sekali lagi diperingatkan
bahawa ungkapan sedemikian adalah bersifat yang distilahkan dengan dzauq dan
wujdan, atau pengalaman intuisi kerohanian dan tidak berlaku secara realiti.
Pengalaman sedemikian boleh berlaku dalam pengalaman seni alamiah yang
diistilahkan sebagai `kemabukan rasa` demikian juga dari segi kerohanian
yang ungkapan dipengaruhi atau ditenggelamai `kemabukan
cinta, dan tidak sekali-kali berlaku dari segi realiti.
Berkata Al-Kalabadzi, bahawa al-ittisal ialah, bahawa terputus diri dari
yang lain dari Allah.
Berkata Al-Thauri, al-ittisal ialah
mukashafah (terbuka) hati, seperti menyaksikan perkara-perkara yang rahsia dari
segi kerohanian adalah merupakan mukashafah.
Al-Kalabadhi memberi contoh daripada Hadith
Rasulullah s.a.w.
Daripada Hadith `Umar r.a, ketika
menceritkan seorang (Jibril) yang mnenyoal Nabi s.a.w. tentang Islam, Iman dan Ihsan.
Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya Jibril
tentang ihsan, maka bersabda Rasulullah s.a.w.
`Al-ihsan bahawa engkan menyembah Allah
seolah-olah engkau melihatNya,, maka jika engkau tidak melihatNya maka Dia
melihat engkau.``
Penglihatan juga dikaitkan dengan
kerahsiaan-kerahsiaan yang disaksikan – Contoh sebagaimana penyaksian
Rasulullah s.a.w. pada malam Isra` dan Mi`raj.
Al-Ittisal juga bermaksud seseorang yang
memberi tumpuan (membesarkan) kepada
Allah hingga menghilangkan tumpuannya
kepada yang lain.
Sesungguhnya pengalaman Aal-uns, al-qurb
dan al-Ittisal adalah bersifat rohani yang mencerminkan kemesraan hamba
terhadap Tuhannya. Ianya bukan berlaku dari segi realiti alamiah yang boleh bercanggah
dari segi akidah. Sesungguhnya ungkapan dipengaruhi oleh hal kejiwaan yang
berlainan. Bahasa sastera misalnya berlainan cara pengungkapan dari bahasa
biasa, maka demikianlah bahasa cinta kerohanian adalah berlainan dari bahasa
sastera biasa. Bahasa kerohanian adalah dipengaruhi hal-hal yang kerohanian
sifatnya. Bahasanya boleh diberi olahan secara
bercabang maknanya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment