BBB,
23 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 23 Disember
2016M. (Juma`at):
Hubungan tasawuf dengan akidah begitu
rapat. Di dalam tasawuf dibicarakan konsep tauhid, pertembungan pendapat di
dalam ilmu tauhid, bahkan ilmu al-Kalam turut dikaitkan di dalam pembicaraan tasawuf seperti pendapat Mu`tazilah, Ahlu
al-Sunnah dan sebagainya, bahkan topik-topik yang sama di dalam akidah
dibicarakan juga menurut perspektif tasawuf contoh seperti persoalan apa itu
tauhid, sifat, tentang Al-Qur`an, al-kalam, al-ru`yah, qadha`, qadar, jabar,
aslah, wa`ad, wa`id, shafa`ah dan sebagainya. Pembicaraan bukan saja kerana
persoalan-persoalan ini berkaitan dengan ilmu tasawuf dan tasawuf setengahnya mempunyai
pendekatan tersendiri, tetapi adalah kerana dilihat kesempunaan tasawuf adalah
bergantung pada kesempurnaan akidah.
Sebagaimana tasawuf mempunyai kaitan dengan
akidah, demikian juga tasawuf mempunyai hubungan yang rapat dengan fiqh,
walaupun perkaitan perhubungan antara keduanya tidak sebanyak diperkatakan
sebagaimana perkaitan dan pembicaraan antara ilmu tasawuf dan akidah. Namun
sudah tentu difahami bahawa kesempurnaan tasawuf juga adalah bergantung pada
kesempurnaan amalan-amalan berhubung
dengan bidang fiqh. Soalan jelas berhubung dengan perkaitan dan kesempurnaan
tasawuf, ``Adakah betul seorang bertasawuf dengan tidak bersolat atau tidak
sempurna solat ?` Tentulah jawab, tidak bertasawuf seseorang yang tidak
bersoalat. Demikian dengan ibadat-ibadat wajib yang lain seperti, puasa, zakat
dan haji.
Kesedaran tentang perlunya kepada ibadat
yang sempurna ini telah dibicarakan di dalam pendekatan tasawuf oleh Abu Nasr
al-Sarraj al-Tusi di dalam karangan tasawuf terkenalnya `Al-Luma`` itu.
Di dalam kitabnya ini beliau memberi ruang
yang panjang membeicarakan persoalan yang berhubung dengan ibadat. Tetapi
pendekatannya tidaklah secara kitab fiqh, tetapi beliau membicarakan tentang ibadat
dari aspek adab-adab bagi meningkatkan ibadat-ibadat, iaitu:
Adab wudhu`
dan t*aharat, adab di dalam solat, adab berzakat dan bersadaqah, berpuasa dan adab di dalam mengerjakan haji. Al-Sarraj
dapatlah dikatakan pemula yang membicarakan aspek-aspek ibadat di dalam ilmu
fiqh sebagai pendekatan yang menintegrasikan kesempurnaan ilmu tasawuf.
Pendekatan yang sedemikian dilakukan oleh Abu Talib al-Makki (m. 386H.) dengan
karangannya yang berjudul Qut al-Qulub (Makanan Hati). Abu Talib mengambil
pendekatan yang lebih jelas dengan mengintegrasikan kitab tasawufnya dengan ilmu
akidah dan fiqh. Pendekatan ini
seolah-olah membuka jalan kepada Al-Imam al-Ghazali (m. 505H./1111M.) melengkapkan
pendekatan integrasi keilmuan tasawuf dengan kitabnya yang berjudul Ihya` `Ulum
al-Din. Di dalam kitab Ihya` `Ulum al-Din ini beliau mengambil pendekatan
integrated, bahawa tasawuf sunni adalah kombinasi antara tasawuf, akidah, fiqh
dan akhlak, iaitu dengan mengkombinasikan pendekatan yang telah dibuat
sebelumnya oleh Al-Muhasibi (m. 243H.) dengan kitab Al-Ri`ayat li Huquq Allah
yang menerokai pendekatan akhlak, Al-Sarraj (m. 378H.) dengan penerokaan
berhubung dengan bidang tasawuf dan
aspek maqam dan hal, al-Kalabadzi dengan aspek-aspek tauhid dan perbezaan
pendekatan tasawuf dengan pendekatan Sunni dan bermula dari Al-Sarraj
membicarakan sama aspek fiqh – ibadat dan dibawa sama oleh Abu Talib al-Makki di dalam Qut al-Qulub yang
melengkapkan pendekatanya dengan akidah dan fiqh. Dan semuanya ini dilengkapkan
oleh Al-Ghazali di dalam karyanya Ihya` `Ulum al-Din.
Mengapa dilihat ada dimensi tasawuf di
dalam ilmu fiqh dan keperluannya kepada
ilmu tasawuf.
Ada beberapa faktor penting:
1. Pemurnian lahir dan batin
Tasawuf ialah keilmuan yang menekankan kebersihan batin yang berkait
dengan pembersihan nafsu, hati dan rohani. Sedangkan ibadat-ibadat dari segi
syara` adalah penekanan pada aspek amalan dan luaran. Kesempurnaan dalaman
bergantung pada kebersihan dan kesempurnaan luaran Tiada tasawuf tanpa fiqh.
2. Tanpa gandingan boleh membawa kepada
penyelewengan
Al-Imam Malik menyebut tentang perlunya
gandingan antara ilmu tasawuf dan fiqh dengan katanya bermaksud:
``Siapa bertasawuf dan tidak berfiqh boleh
membawa kepada zindiq dan
Siapa berfiqh dan tidak bertasawuf boleh
membawa kepada fasiq, dan
Siapa yang menghimpun antara keduanya, maka
dia mencapai tahqiq.
3. Pengukuhan Ilmu tiga serangkai
Bermaksud ilmu tiga serangkai ini ialah
ilmu yang berhubung dengan Islam – termasuk fiqh, keilmuan yang berhubung
dengan keimanam (rukun iman) dan berhubung dengan ihsan. Sebagaimana Hadith
diriwayatkan oleh `umar bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya oleh Jibril, tentang
Islam, iman dan ihsan yang mencerminkan kepentingan ketiga-ketiga aspek iaitu
rukun Islam, rukun iman dan ihsan
merupakan keperluan yang bersifat integrated.
4. Elemen tasawuf di dalam ayat-berhubung dengan
ibadat:
Di dalam ayat-ayat Al-Qur`an, meskipun
berhubung dengan bidang fiqh, misalnya berhubung dengan ibadat, tetapi membawa
bersamanya elemen tasawuf. Contoh ayat bermaksud:
``Sesungguhnya bersolat itu mencegah dari perkara keji dan
mungkar.`` (Al-`Ankabut: 45)
Dan ayat bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman, kamu
diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu
daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.`` (Al-Baqarah: 183).
Hasil dari solat mencegah perkara keji dan
puasa memupuk taqwa. Ianya adalah antara
fokus dan kesan bertasawuf.
5. Kesan dari ibadat
Kesan dari ibadat membentuk seseorang berjiwa bersih, jujur dan
bertanggungjawab. Ianya adalah merupakan elemen tasawuf.
Dapat ditambah lagi kepentingan dan kesan
ibadat di dalam pembinaan jiwa ketasawufan. Pendek kata hubungan antara bidang
tasawuf dan fiqh amat rapat, hingga dapat dikatakan bahawa tiada tasawuf tanpa
berfiqh dan ibadat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment