December 1, 2016

KONSEP IMAN DAN HAKIKATNYA


BBB, 30 Safar 1438H. = 30 November 2016M. (Rabu):
Abu Bakar al-Kalabadzi juga menampilkan  `Konsep Keimanan` iaitu topik yang penting yang seharusnya  telah dibicarakan pada peringkat awal lagi – terutama tentang Islam dan Iman dan di manakah kedudukan tasawuf. Dengan itu dapat difahami  skema tasawuf bersama Islam dan Iman dari peringkat awal lagi.
Islam  selain dari memahami  bahawa ialah mematuhi kelima-lima rukun Islam, juga  Islam adalah bersifat menyeluruh  sebagaimana dibicarakan oleh Maududi di dalam bukunya `Toward Understanding Islam, bahawa segala yang wujud adalah Islam (menyerah ikut aturan) terhadap Allah, termasuklah manusia yang dengan Islam yang bermaksud selamat,  turut selamat. Manakala Iman yang pada pokoknya yakin dan  berpegang dengan rukun Iman,  dan di dalam konteks yang lebih luas, memahami semua dengan kedudukan dan peranan yang dilaksanakan, maka ianya  memberi keamanan terhadap wujud, alam dan termasuklah manusia. Dalam mana apabila meyakini ketuhanan dan melihat keseluruhan adalah dari qudrat dan kemahuanNya, maka keseluruhan termasuk manusia  berada di dalam keamanan termasuk dari segi minda, hati nurani dan rohani.
Kata Sayid Sabiq Mantan Rektor Universiti al-Azhar di dalam bukunya yang berjudul: ``Akidah Islam` (terjemahan):
``Keimanan itu bukanlah semata-mata ucapan yang keluar dari bibir dan lidah saja, atau hanya semacam keyakinan dalam hati belaka, tetapi keimanan yang sebenar-benarnya adalah merupakan suatu akidah atau kepercayaan yang memenuhi seluruh isi hati nurani dan dari situ akan muncul pulalah bekas-bekas atas kesan-kesannya, sebagaimana munculnya cahaya yang disorotkan oleh matahari dan juga sebagaimana semerbaknya bau harum yang disemarakkan oleh setangkai bunga mawar.`` (Sayid Sabiq, Akidah Islam, Pustaka Nasional, Singapura, 1991: 96)
Berkata Abu Bakar al-Kalabadzi, pada pendapat jumhur sufi, bahawa iman, ialah perkataan, amalan dan niat. Dan makna niat ialah tasdiq (membenarkan). Mereka juga berkata, asal iman iqrar lisan, dan tasdiq dengan hati dan cabangannya ialah beramal dengan segala yang fardhu. Mereka juga berkata, iman ialah pada zahir dan batin merupakan sesuatu yang satu, iaitu hati dan pada lahirnya, ialah sesuatu yang berlainan.
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. daripada jalan Ja`afar bin Muhammad daripada bapanya  daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda:
``Al-iman iqrar dengan lisan, tasdiq dengan hati dan amal dengan rukun-rukun.``
Kaum sufi juga berpendapat beriman hendaklah melibatkan zahir dan batin dan tidak boleh beriman pada zahir, tetapi tidak pada batin atau sebaliknya dan tidak boleh beriman pada satu bahagian dan tidak pada bahagian yang lain.
Mereka juga berpendapat bahawa iman boleh bertambah dan boleh berkurang.
Berkata Al-Junayd,Sahl bin Abdullah dan lain dari keduanya, bahawa tasdiq adalah bertambah dan tidak boleh berkurang, berkurangnya boleh  keluar daripada iman, kerana bahawasanya ia melibatkan kepada tasdiq kepada khabar-khabar tentang Allah dan janji-janjiNya, wujud sebarang syak padanya boleh membawqa kepada kufur, dan bertambahnya dari segi kekuatan, yakin dan iqrar lisan tidak bertambah dan tidak berkurang, dan  amalan dengan arkan  boleh bertambah dan berkurang.
Iman di kalangan penganut ada yang kuat dan lemah  sebagaimana ,
Hadith diriwyatkan daripada Abi Sa`id al-Khudri r.a. berkata, aku mendenfgar Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud): Siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya, maka jika dia tidak berkuasa hendaklah dengan lisannya, maka jika dia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, dan demikian adalah selemah-lemah iman. Riwayat Muslim.
Maka para  anbiya` adalah ma`sum daripada terjatuh kepada perkara-perkara maksiat, dari perkara-perkara dilarang. Mereka memelihara perkara yang fardhu tanpa taksir. Maka tidak boleh disifatkan sebagai kekurangan pada sesuatu pada sifat mereka dari segi hakikat keimanan..
Berkata kalangan shaykh-shaykh bahawa hakikat iman itu ada empat.
Pertama tauhid tanpa had, kedua dzikr berterusan, ketiga hal tanpa na`at dan wajad tanpa  waktu. (berterusan).
Kata mereka itu, sidq dengan iman ialah membesarkan Allah dan buahnya ialah malu daripada Allah.
Sabda  Rasulullah s.a.w. bermaksud: ``Syirik itu lebih halus pada umatku daripada pergerakan semut di atas safa pada malam yang gelap``  - Riwayat al-Hakim.
Disoal kepada setengah shaykh tentang iman, katanya, ``Engkau menurut sebenar sebagaimana keyakinan engkau dengan menghilangkan sebarang keraguan, menjauhkan engkau dari syirik Menyaksikan pembuktian secara zahir dan ghaib,
Yang lain disoal juga tentang keimanan, maka katanya, ``Iman ialah keyakinan yang tidak berlaku padanya percanggahan.``
Kata setengah mereka iman dan Islam itu satu.
Yang lain melihatnya  Islam ialah am  dan iman ialah khas.
Kata yang lain, Islam itu zahir dan iman itu batin
Kata yang lain lagi, iman ialah tahqiq dan i`tiqad, manakala Islam ialah khudhu` dan patuh.
Antara yang lain membezakan bahawa:
Tauhid ialah tanzih Allah dari sebarang elemen syirik
Ma`rifat ialah mengenali Allah dengan sifat-sifatNya
Iman ialah simpulan hati dengan memelihara rahsia dan ma`rifah dengan kebajikan
Dan Islam ialah mushahadah dengan mendirikan perkara Haqq dengan melksanakan apa yang dituntut. Manakala tasawuf membersih, mengindah dan menyerikan.
Demikian berbagai pendapat mengenai iman, pendapat yang indah dan mengkagumkan. Semuanya benar, fahami dan hayati insya Allah makin menambahkan keimanan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment