BBB, 20 Rabi`ul Awwal 1438H. =
20 Disember 2016 (Selasa):
Di dalam membicarakan tentang ahwal ini,
Al-Kalabadzi menampilkan persoalan `Al-Ghalabah`,
sebagai salah satu aspek al-ahwal. Rujukan dibuat terhadap beberapa kitab yang
lain, termasuk `Al-Luma` yang menyediakan
bahagian khas kemusykilan tentang istilah-istilah kesufian , namun
istilah ini bukanlah menjadi kebiasaan di dalam kitab-kitab tasawuf biasa.
Tiada pembicaraan diberikan terhadap istilah ini oleh Al-Sarraj.
Al-Ghalabah makna biasa ialah `kalah`, `tersalah`, `tewas` , terlanjur` atau juga silap. Istilah ghalabah
yang perbuatannya (fi`il madhi – ghalabat)
dapat difahami daripda ayat
Al-Qur`an bermaksud:
``Berapa banyak (yang pernah terjadi) golongan yang sedikit berjaya nenewaskan (ghalabat) golongan yang banyak dengan izin
Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.`` (Al-Baqarah:
249).
Atau ayat-ayat bermaksud:
``Orang-orang Rum telah dikalahkan. Di
negeri yang dekat sekali. Dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya dalam masa tidak sampai sepuluh
tahun. Kepada pentadbiran Allah jua terpulang segala urusan.`` (Al-Rum: 2-4).
Membaca kandungan dan huraian tentang
istilah al-ghalabah di dalam al-Ta`arruf
al-Kalabadzi, ia adalah berhubung dengan peristiwa-peristiwa biasa,
bukannya berhubung dengan konsep tasawuf yang tinggi. Peristiwa biasa ini
berlaku dan selepas disedari menimbulkan keinsafan. Justeri bagi istlah
`Al-Ghalabah` ini kita lebih cenderung memilih istilah, `Tersilap` atau
`Terlanjur`.
Dalam huraian awal Al-Kalabadzi menyebut
`al-ghalabah` ialah hal yang ternyata bagi seorang hamba yang tidak menyedari
secara teliti sebab musabab, tanpa
meraikan adab, sebaliknya mengambil tindakan spontan dengan apa yang
mendepaninya yang mungkin membawanya bersikap menentang, lantaran tidak
mengetahui akan halnya yang kemudian membawanya (kepada yang bertindak) secara silap menyedari kesilapan dan berlaku
penyesalan dan memohon keampunan kepada Allah. Nilai murni dan ketasawufan di
sini ialah `Menyedari` kesilapan, kesal dan memohon taubat dan
keampunan dari Allah.
Sebagai contoh yang dibawa oleh
Al-Kalabadzi peristiwa yang berhubung dengan
Abi Lubabah ibn al-Mundzir, ketika Rasulullah s.a.w. bermesyuarat dengan
Banu Quraiz*ah tentang hukum yang patut dikenakan terhadap Sa`ad bin Mu`adz di
atas kesalahannya, maka diisyaratkan oleh Abu Lunanah dengan tangannya kepada
halkumnya dengan maksud ia hendaklah disembelih. Perbuatan spontannya
menyebabkan berlaku kekesalan kepada Abu Lubabah. Dia menyedari dengan
perbuatannya, dia menganggap dirinya telah melakukan pengkhianatan terhadap
Allah dan RasulNya. Dia berlalu dengan wajah yang kesal hingga dia menambat
dirinya pada salah satu dari tiang-tiang masjid. Dia berkata, `Aku tidak
melepaskan diriku dari tempat ini sehingga aku menerima taubat di atas
kesilapan yang aku lakukan.``
Ini menunjukkan kekesalan Abu Lubabah
terhadap perbuatannya dan memohon keampunan terhadap Allah dan Rasulnya.
Peristiwa itu sampai kepada Rasulullah. Apabila diketahui Rasulullah akan
benar-benar kesalnya, bahkan dia menemui Rasulullah, maka diampunkankan yang
mana ayat yang berhubung dengan peristiwa berkenaan diturunkan bermaksud:
``Dan kalaulah mereka ketika menganyayai
diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad), lalu memohon ampun kepada
Allah, dan Rasulullah juga memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka
mendapati Allah Amat Menerima taubat, lagi Amat Mengasihani.`` (Al-Nisa`: 64).
Keadaan `Al-Ghalabah` juga berlaku kepada
Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab melahirkan rasa tidak puas hatinya, apabila
diketahui tentang kandungan Perjanjian al-Hudaybiah yang dianggapnya lebih
memihak dan memberi keuntungan kepada
pihak kuffar Quraisy Makkah. Sikap `Umar ini seolah-olah mencabar Rasulullah, sehingga dia
diingatkan oleh Abu Bakar dan dia kembali sedar dan mengucap pengakuan
kesilapan dan memohon keampunan kepada
Allah dan terhadap Rasulullah. Bagi menebus kesilapannya `Umar berkata, ``Aku
melakukan puasa , bersedekah, memerdehekakan hamba, memperbanyakkan solat
dengan harapan kesilapanku mendapat keampunan dari Allah.
Dari dua contoh di atas `Al-Ghalabah` atau
kesilapan atau keterlanjuran mungkin berlaku kepada seseorang secara spontan dan di luar dari pertimbangan,
kerana apa yang berlaku di luar dari ukuran dan pertimbangan seseorang.
Kemudian dia sedar, sama ada dia disedarkan oleh pihak yang lain yang
bersamanya atau dia sendiri kemudian sedar dan menyedari kesilapannya yang bukan dibuat-buat dan dengan penuh kekesalan memohon keampunan
dari Allah dan berusaha mengkaffarahkan diri dengan berbagai-bagai amalan
kebaikan agar kesalahannya diampun oleh
Allah.
Pada hakikatnya apa yang disanggah ialah menurut penilaian normal sebagaimana
yang dilakukan oleh `Umar dan ianya dilakukan bagi mempertahankan hak orang
Islam, tetapi Rasulullah lebih maklum akan natijah akhir yang di luar dari
jangkaan dan penilaian biasa. Kerana melalui Perjanjian Hudaybiah itu, pihak
kafir Quraisy tidak mampu memegang janji yang membuka ruang kepada orang Islam
kemudiannya membuka Makkah dan penduduknya menerima Islam.
Sesunggunhnya bukan saja bagi kesilapan
atau ketelanjuran yang di luar jangka membolehkan
seorang Islam yang tersilap memohon keampunan dari Allah, bahkan bagi segala
dosa yang pernah dilakukan terbuka peluang untuk memohon ampun daripada Allah.
Firman Allah antaranya bermaksud:
``Sesungguhnya Allah tidak akan
mengampunkan dosa (syirik), mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua) dan akan
mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakinya.``
(Al-Nisa`: 48).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman
bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha.`` (Al-Tahrim: 8).
Apa yang hendak disampaikan, bahawa
seseorang hamba tidak terlepas dari terjatuh pada kesalahan dan ketelanjuran –
dengan tidak sengaja. Kesilapan dan ketelanjuran dengan tidak sengaja
seharusnya memberi kesedaran seseorang agar sentiasa waspada supaya tidak
terjatuh di dalam kesilapan. Dan bagi yang melakukan kesilapan hendaklah
memperbaiki diri dengan bertaubat dan kesal dan membetulkan diri kembali kepada landasan dan amalan yang betul.
Sekian.
No comments:
Post a Comment