BBB,
30 Rabi`ul Awwal 1438H. = 30 Disember 2016 (Juma`at):
Haji
selalu disebutkan, bahawa ianya ibadat yang banyak melibatkan fizikal contohnya bertawaf, sa`i, wuquf di Arafah,
bergerak ke Muzdalifah, bermalam di Mina
dan melontar jamrah, tetapi sebenarnya
menunaikan haji selain dari melakukan rukun, wajib dan sunat haji, terlibat
sama perkara-perkara yang tidak disebut, tetapi hadir di dalam diri yang
sebenarnya lebih mnelengkapkan amalan haji, iaitu perkara yang melibatkan minda dan rohani. Walaupun keduanya bukan
berkait dengan rukun dan wajib, tetapi kefahaman dan kemanisan haji dapat
dirasa dan ianya tidak hanya bersifat pergerakan fizikal semata-mata.
Permulaan tiba di Makkah, walaupun bukan
masuk kepada amalan haji, seseorang yang baru tiba sama ada bersendirian atau
dengan mutawwuf, berseorangan atau berkumpulan seorang itu dibawa untuk
melakukan tawaf qudum (Selamat Datang). Pertama sekali seorang itu mula dengan
berdepan ka`bah (baitullah). Bagi yang berdepan secara fizikal di hadapan mata
kepala, tentulah merasa terpesona, kagum, khusyu` , tawadhu` dan mungkin
gemuruh dan gementar di dalam dada melihat, bahawa ini fizikal sebenarnya yang
selama ini menjadi arah bagi solat. Berbagai perasaan dan pengalaman yang
dirasa adalah cerminan jiwa yang datang untuk bertawaf di ka`bah tersebut.
Ertinya elemen hati-rohani menjadi sebahagian dari dalaman diri,apalagi
ditambah dengan bacaan-bacaan sunat dilakukan.
Aspek minda turut sama bergerak di dalam fikiran, bahawa itulah
bentuk ka`bah sebenarnya yang sebenarnya amat mudah dari segi binaan yang
seakan-akan empat persegi sedikit memanjang dan tinggi setinggi bangunan biasa. Memandangnya
mengingatkan apa yang difirmankan Allah tentanng pembinaan ka`bah yang dilakukan
oleh Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail `alaihima al-salam bermaksud:
``Dan (ingatlah) ketika Nabi Allah Ibrahim bersama-sama dengan
anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) baitullah (ka`bah) sambil keduanya berdo`a, ``Wahai Tuhan kami
terimalah daripada kami (amal kami). Sesungguhnya Engkaulah yang Amat
Mendengar, lagi Amat Mengetahui.`` (Al-Baqarah: 127).
Sesungguhnya binaannya amat simple – biasa dari
segi bentuk dan adalah bentuk asas bagi bangunan untuk lindungan. Sesungguhnya
adalah binaan tertua yang diketahui. Adalah menjadi warisan binaan manusia dan peradaban. Bekas bagi membina ka`bah
disebut Allah Ta`ala dengan firmanNya bermaksud:
``Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah), maqam
(tempat berdiri) Nabi Ibrahim yang mempunyai kesan tapak kakinya semasa membina
ka`bah itu). Dan siapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah
mewajibkan manusia mengerjakan ibadat
haji dengan mengunjungi baitullah, iaitu siapa yang mampu dan berkuasa sampai
kepadanya. Dan siapa yang kufur (inkar akan kewajipan ibadat haji itu), maka
sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalin
makhluk.`` (Ali `Imran: 97).
Nabi Ibrahim sesungguhnya telah memilih
tempat yang strategik bagi penempatan keluarganya, (Saydatina Hajar dan anaknya Ismail),
khususnya selepas mendapati sumber air yang dikenali dengan air zam-zam – bahan
yang amat penting di tengah kawasan padang pasir yang tidak ada tumbuhan itu.
Ini membawa penghuni-penghuni datang sama ke tempat berkenaan, antaranya dari
suku Jurhum yang dari perempuan keturunanm suku ini dikahwini Nabi Ismail yang
merupakan darinya melahirkan turunan `Arab.
Dengan kewujudan mata air sumber kehidupan
utama itu menjadikan Makkah tempat persinggahan dan menjadi pusat pertemuan dan
perniagaan bagi peniaga-peniaga dari Sham singgah dalam perjalanan bagi
perniagaan ke Yaman dan mesir dan sebaliknya juga dari Mesir ke Palesin, Sham
dan juga ke yaman dan sebaliknya, bahkan menjadi tempat jaringan pertemuan yang
penting di Semenanjung Arab dan sekitarannya.
Sesungguhnya do`a Nabi Ibrahim dikabulkan
Allah. Do`a Baginda sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim
(berdo`a) dengan berkata, ``Wahai Tuhanku, jadikanlah (negeri Makkah) ini,
negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai-bagai jenis
tumbuhan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat.` (Al-Baqarah: 126).
Dengan do`a Nabi Allah Ibrahim diterima
Allah dan Makkah menjadi ma`mur.
Sesungguhnya Nabi Allah Ibrahim yang
membawa agama Hanif dan menyeru kepada
ketauhidan Allah itu tidak mau Makkah dikotori dengan perbuatan syirik. Do`a
Nabi Allah Ibrahim ini dirakam Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan firmanNya
bermaksud:
`Dan (ingatlah), tatkala Nabi Ibrahim berdo`a
dengan berkata, ``Wahai Tuhanku ! Jadikanlah negeri Makkah ini, negeri yang
aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.``
(Ibrahim: 35).
Jadi ka`bah yang merupakan bangunan tertua
dan didirikan pula oleh Nabi Ibrahim yang menjadi moyang kepada beberapa Nabi,
yang membawa agama Hanif, adalah sesuai menjadi kiblat yang merupakan arah
solat bagi umat, sebagai penyatu tujuan, mengukuh akidan dan menyatukan ummah.
Sesungguhnya apa yang dibicarakan
melibatkan aspek fizikal dan antara sejarah tertua manusia yang buktinya dapat
disaksikan dengan mata kepala sendiri, berdepan kedudukan bagi mereka yang
hadir untuk haji, umrah dan tawaf semata. Serentak dengan itu tergerak minda
kita memahami secara rasional tentang sejarah keagamaan tauhid yang bermula
dengan Nabi Adam a.s. moyang bagi turunan manusia dan diteruskan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan dari Nabi Ibrahim diteruskan
kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai pusat kegiatan ibadah berpusat di ka` bah
adalah sesuai ianya diperintah oleh Allah mengadap kepadanya bila bersolat,
selepas sebelumnya mengadap ke baitul
Maqdis.
Sebagaimana
apa yang dipaparkan ianya tidak saja melibatkan aspek amali dan
perbuatan serta akli, tetapi lebih-lebih lagi melibatkan aspek rohani. Bahkan
aspek ini lebih kukuh, lantaran kesesuaian pegangan akidah dari Nabi Allah
Ibrahim dapat diwarisi hingga kini. Pertalian ini merupakan pertalian
kerohanian yang suci. Ziarah dan amalan ibadat yang dilakukan di sini adalah
sesuatu yang quddus yang kequddusan ini terus hidup sertai bertalian dan
berkesinambungan hingga ke Nabi Muhammad
s.a.w dan berterusan hingga kita kini dan bereterusan akan datang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment