BBB, 27 Rabi`ul Awwal 1438H. = 27 Disember 201`6 (Selasa):
Sebagaimana solat begitu rapat dengan
tasawuf, maka demikianlah dengan puasa tidak kurang kentalnya di dalam memupuk kerohanian. Puasa juga ketara
mengandungi elemen-elemen ketaswufan dari segi meneguhkan rohani, mengawal dan mendidik anggota fizikal,
galakan terhadap meningkatkan pengibadatan dan menganjurkan banyak membuat
kebajikan dan memupuk rasa ihsan dan kemanusiaan.
Dalam tasawuf antara jalan-jalan bagi
memperbaiki diri di dalam menuju Allah disebut antaranya zuhud, taubah, faqr,
sabar dan taqwa –dan banyak lagi. Elemen-elemen yang dianjurkan di dalam
tasawuf ini adalah terdapat di dalam berpuasa. Di dalam puasa memang dianjurkan
agar mengawal diri dan zuhud terhadap kemewahan yang memang seorang
berkemampuan, dengan demikian orang yang sentiasa di dalam kesenangan dapat
merasa betapa mereka yang di dalam kesusahan dan tidak kecukupan, nescaya
membawa diri kepada keinsafan. Demikian dapat dirasa betapa pedihnya orang-orang
faqir yang memang faqr terhadap berbagai-bagai keperluan. Dengan demikian dia
dapat memahami betapa dia faqr terhadap Allah dan zuhud dan bertaubat di atas keangkuhan dan
kesombongan terhadap Allah selama
ini. Lebih dari itu diharap dapat
difahami zuhud dan faqr tidak pada tahap
material sahaja, tetapi meningkat kepada yang bersifat kejiwaan terhadap Yang
Maha Kuasa dan Maha Kaya. Seterusnya mejadikan
seseorang itu benar-benar
memahami konsep faqr. Firman Allah bermaksud:
``Wahai manusia,, kamu adalah orang-orang
faqir (memerlukan) kepada Allah, sedang Allah Dialah Yang Amat Kaya Lagi Maha
Terpuji.`` (Fatir: 15).
Puasa juga mendidik diri menjadi sabar,
ikhlas dan bertaqwa. Firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu
berpuasa sebagaimana difardhukan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu.
Semoga kamu bertaqwa.`` (Al-Baqarah:
183).
Antara pengajaran tasawuf ialah menjaga dan
mengawal diri dari tabiat buruk seperti tamak dan rakus misalnya tamak dan rakus terhadap makanan, maka dengan
berpuasa mengajar diri menahan nafsu syahwat, termasuk makan minum. Juga
mengawal anggota diri seperti mata, telinga, mulut dan perut dari sifat-sifat
keji sebagaimana maksud Hadith yang
diriwayatkan oleh Anas bin Malik daripada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda
bermaksud:
``Puasa adalah perisai`` (al-Arba`in
al-Nawawiyyah).
Dari segi ibadat, maka seluruh bulan Ramadhan adalah merupakan bulan ibadat,
bahkan pada bulan ini diturunkan Al-Qur`an sebagaimana firman Allah yang
bermaksud:
``Bulan
Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Qur`an yang menjadi pertunjuk bagi
sekalian manusia.`` (Al-Baqarah: 185).
Di dalam bulan Ramadhan disediakan
berbagai-bagai peluang ibadat untuk diambil kesempatan bagi mereka yang mau melakukan ibadat
sebanyak-banyak yang dapat. Sudah tentulah sebulan bulan Ramadhan sendiri
adalah bulan bagi mengerjakan puasa, sebagaimana Hadith:
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Nabi
s.a.w bersabda, bermaksud: ``Siapa yang berpuasa bulan Ramadhan dengan penuh
keimanan dan ihtisab diampun baginya apa yang telah berlalu dari dosanya dan
siapa yang mendirikan lalatul qadar dengan penuh keimanan dan ihtisab diampun baginya apa yang telah berlalu
daripada dosanya.``
Selain dari berpuasa peluang terbuka bagi membaca Al-Qur`an
sebanyak mungkin, mendirikan ibadat bagi mendapat laylatul qadar, bertahajjud,
bersolat tarawih, berwitir dan pelbagai solat dapat didirikan dan beri`tikaf di
masjid. Termasuk dikira sebagai ibadat dan mendapat pahala ialah bersegera
berbuka dan menta`khirkan sahur. Ibadat
dapat ditambah dengan berzikir, bertasbih, bertahmid dan bersolawat
Bulan Ramadhan juga adalah dikira sebagai
bulan kebajikan yang diganda Allah bagi mereka yang membuat kebajikan. Termasuk
amalan kebajikan ialah dengan banyak bersodaqah kepada faqir miskin, memberi
derma bagi perkara-perkara kebajikan seperti mendirikan masjid, membantu
institusi-institusi pengajian Islam yang
memerlukan, membantu mangsa mereka yang tertindas. Pada bulan Ramadhan juga
digalakkan mensedekahkan makanan bagi mereka yang berbuka puasa, sama ada di
masjid-surau dan juga kepada jiran tetangga.
Puasa dari satu segi dilihat dapat
meningkatkan rasa keihsanan dan keinsanan. Sebenarnya puasa sebagaimana dicari-cari
dalam kesufian jalan membersih diri dan kaedah-kaedah bagi mendekati Allah,
sudah tersedia di dalam ibadat puasa dan juga solat sebagaimana telah disebutkan. Diilihat dari segi fizikal dan rohani puasa adalah
pendekatan yang efektif di dalam membersih diri yang dari segi fizikal diakui
oleh bidang perubatan satu cara mengurangkan berat badan dan mengurangkan
kandungan beracun di dalam perut yang dapat menghindarkan berbagai penyakit.
Dari segi rohani puasa dengan secara keinsafan dan ihtisab menginsafkan diri
dan rohani dan menimbulkan sifat keihsanan yang membuka jalan mendekati diri
dengan Allah Ta`ala, khususnya apabila diisi pada bulan tersebut dengan
berbagai-bagai ibadat sebagaimana telah disebutkan. Pendekatan diri kepada
Allah ialah dengan berbagai-bagai ibadat yang ditawarkan di dalam bulan itu.
Tiada ibadat-ibadat yang lain seumpama puasa dan solat yang lebih dapat
mendekatkan diri kepada Allah.
Dari segi kemanusiaan puasa dapat memupuk diri dengan keinsafan.
Misalnya menyedari bahawa sebahagian daripada penduduk dunia tidak kecukupan
makanan, menginsafi penderitaan mereka yang terusir dari tanahair mereka kerana
konflik politik dan kemanusiaan dan
kehidupan mereka di dalam keadaan daif, khususnya penderitaan yang dihadapi umat Islam seperti
yang berlaku kepada penduduk Rohingya, Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Kemboja
juga di tempat-tempat yang berlaku mala petaka alam seperti di Aceh, Filipina
dan tempat-tempat yang lain yang berlaku mala petaka. Dengan kesedaran
keinsanan menimbulkan rasa ihsan yang menggerak diri membantu dan menghulur
derma kepada mereka yang malang berkenaan.
Puasa adalah ibadat yang penting. Pada
bulan ini ditawarkan berbagai-bagai ibadat bagi mendapat pahala berganda yang
tidak ada seumpamanya pada bulan-bulan yang lain, dengan secara berpuasa dapat
memupuk keihsanan dan keinsanan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment