BBB,
19 Rabi`ul Awwal 1438H. = 2016M. (Isnin):
Persoalan `Al-Wajd` atau ditambah dengan `Al-Dzauq wa al- Wajd` - Rasa dan Wujdan adalah istilah yang sering diketemui bila membicarakan tentang intuisi kalbu dan kerohanian dan menanggapi persoalan
yang ghaib, khususnya Ketuhanan.
Persoalannya amat subjektif dan tiada definisi atau ta`rif yang dapat
diberikan secara konkrit. Manakala pengalaman kalbu dan kerohanian antara
seorang dengan yang lain adalah berbeza-berbeza yang boleh membawa kepada
tanggapan berbeza-beza, dan huraian pula dari seorang dengan seorang pula
berbeza-beza. Sebagai contoh ciri indah bagi seorang seniman dengan seorang
seniman adalah berbeza-beza, demikian berbeza pula dari aspek `Al-Wajd atau
wujdan`.
Di dalam hal ini Al-Sarraj menyatakan
bahawa, ``Berlain dan berbagai pendapat dari kalangan sufi tentang al-wajd.
Maka `Amru bin `Uthman al-Makki r.h.a.
berkata, ``Tidak ada satu kayfiyat yang dapat diibaratkan tentang al-wajd, kerana katanya, ianya adalah rahsia Allah
pada orang mukminin yang muqinin.
Al-Wajd atau secara nama terbitan ialah
wujdan, dari segi lughah ialah dapatan, tetapi ia bukan bermaksud dapatan
secara nyata, ianya adalah suaan hasil dari pertembungan yang berlaku.
Bermaksud dalam perjalanan dan peningkatan rohani seorang `salik` tiba pada satu peringkat ia tersua,
tertanggap, bahkan berlaku pendepanan suatu pengalaman rohani yang dihayati dan
tidak dapat digambarkannya dengan ungkapan biasa bagi pengalaman yang tidak
biasa itu.
Sebab itu kata Al-Sarraj yang memetik
pendapat Al-Junayd berkata, ``Aku menyangka bahawa `al-Wajd` ialah
`Pertembungan`, `pertemuan secara mengejut` `Al-Mus*adafah` bagi pejalan maqam
dan peningkatan kepada satu peringkat yang membuka tabir sekatan bagi tanggapan
hati-rohaninya selama ini. Namun pertembungan dan terpandang` ini, bukan
bererti dapatan yang konkrit, sebaliknya
ianya citra yang tetap subjektif yang tidak kekal. Di dalam hal ini Al-Junayd mengambil firman Allah yang merujuk
kepada istilah `wajad` dari ayat yang
bermaksud:
``Dan mereka dapati apa yang mereka amalkan
hadir.`` (Al-Kahfi: 49).
Ya`ni berdepan.
Sebagai bandingan seorang seniman kalbu-rohani
yang mendambai sesuatu lintasan ilham, tidak mudah terbuka baginya ruang ilham
ini, mungkin pencarian memakan masa, berhari, berminggu, berbulan-bulan, bahkan lebih dari
itu dan jika ia bersua, tidak dapat ditangkap, jika dapat ditangkap, mungkin
terasa tidak lengkap dan mungkin hilang begitu sahaja. Demikian contoh
pengalaman yang bersifat kalbu yang alamaiah sifatnya. Bandingkanlah dengan
pengalaman yang bersifat rohniah yang suci dan bersih tentulah lebih tinggi
kedudukannya.
Berdasarkan kepada apa yang disebut oleh
Amru al-Makki, dan Al-Junayd, kita cenderung untuk memaknakan atau mengistilah
`Al-Wajd`atau `Wujdan` ke dalam maksud di dalam bahasa Melayu ialah `Citra Hati-Rohani`.
Bermaksud gambaran, imej atau sifat bagi sesuatu tanggapan, yang diharap dan
diingini, yang mungkin dapat ditanggapi dan dihayati apa yang didamba sama ada
secara kalbu, atau lebih tinggi daripada itu, iaitu bersifat rohani. Apa yang
ditanggapi ini sebagaimana dikata boleh dicapai dan digapai secara maknawi,
tetapi mungkin tidak dapat dicapai atau digapai secara maknawi, tetapi demikianlah
sifatnya yang dialami oleh para ahli kalbu dan ahli rohani. Lantaran
diungkapkan, nikmat yang dapat dihayati oleh para pencari baik pada peringkat
kalbu atau rohani, bahkan akli ialah dalam perjalanan pencarian, dalam suasana
ia di dalam ketidak pastian akan berketemuan atau kedapatan. Perjalanan
penujuan dan pencarian itu adalah merupakan nikmat kalbu, rohani dan akli,
dalam hal ini, perjalanan kalbu dan rohani yang subjektif sifat tiada
penghujung, dia sama ada gagal atau terbakar dalam pencarian sebelum menemui pertemuan
yang tidak mungkin bertemu antara yang baharu
dengan yang qadim dan antara abid dan ma`bud.
Bagi Al-Kalabadzi, bahawa al-wajd atau `Citra Kalbu-Rohani`, ialah apa yang
bertembung dengan hati sama ada dari
segi kegerunan, dukacita atau penglihatan makna daripada hal-hal akhirat atau
kashaf hal antara hamba dan Allah `Azza
wa Jalla.
Berkata mereka itu kata Al-Kalabadzi, iaitu
apa yang didengar hati yang di dalam dada. Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan apa yang sampai kepada pendengaran
dan dia menyaksikan.`` (Qaf: 37).
Berkata Al-Nawawi, Al-Wajd (Citra Kalbu-Rohani)
ialah nyalaan yang terjadi dari asrar
dan mencetuskan rasa shauq yang menggongcangkan anggota secara gembira atau
dukacita bila dia didatangi suasana..
Berkata mereka itu, bahawa al-wajd sebagai
citra kalbu-rohani berlaku dan menghilang, sedangkan ma`rifat adalah thabit
dengan Allah dan tidak hilang.
Diungkapkan kepada Al-Junayd:
Al-Wajdu rentak gembira siapa yang didalam
al-wajd merihatkannya
Dan Al-Wajd ketika hadir yang Haqq, maka Ia
menghilangkannya
Sesungguhnya dia menggetarkan daku dan
mendukakan daku
Dari melihat al-wajd, pada hal apa yang
pada wajd tidak suatu.
Dan diungkap gubahan kepada Shibli:
Al-Wajd padaku adalah bertentang
Selama adalah tiada penyaksian
Yang menyaksi hak bagiku
Fananya shuhud al-wujud itu.
Al-Wajd atau `Wujdan` adalah sesuatu yang didamba sufi di dalam
perjalanan kualiti. Ia merupakan `Citra Kalbu-Rohani` yang mungkin dapat ditanggapi dalam pencarian berkenaan
atau mungkin tidak dapat ditanggapi dan seterusnya menjadi dambaan dan pencarian. Dambaan terhadap `Citra
Kalbu-Rohani` ini terungkap di dalam ungkapan-ungkapan sufi seperti oleh
Al-Junayd dan Al-Shibli, bahkan di dalam puisi-puisi mereka. Contoh diungkap
oleh Rabi`ah al-`Adawiyyah, Jalaluddin Rumi dan lain-lain lagi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment