BBB, 17 Rabi`ul-Awwal 1438H. =
17 Disember 2016 (Sabtu}:
Al-Sarraj memulakan pembicaraan tentang
Cinta Ilahi ialah dengan bertolak dari ayat-ayat Al-Qur`an tentang Cinta Ilahi,
sebagaimana dibicarakan oleh `Abdul Qadir bin `Isa, iaitu ayat bermaksud:
``Allah akan mendatangkan dengan satu kaum
yang dia mencintai mereka itu dan mereka itu mencintainya.`` (Al-Ma`idah: 54).
Juga ayat-ayat seperti (Ali `Imran: 31) dan ayat (Al-Baqarah: 165).
Al-Mahabbah termasuk di bawah al-ahwal,
maka menurut Al-Sarraj, mahabbah ada tiga kategori, iaitu:
1) Mahabbah Am, iaitu hasil dari ihsan Allah
Ta`ala dan kelembutan kepada mereka. (Perlu dingat penglibatan terhadap bidang
seni, lebih-lebih lagi seni memupuk jiwa penglibatnya menjadi halus, lembut, kasih sayang, mesra
dan cinta – alamiah, insaniyyah dan Ilahiyyah).
Diriwayatkan dari Nabi
s.a.w bahawasanya Baginda bersabda bermaksud:
``Tergarap hati-hati
merasa cinta terhadap orang yang membuat kebajikan terhadapnya, dan benci
terhadap orang yang melakukan kejahatan terhadapnya.`` - Al-Hadith.
Inilah hal orang yang
cinta dan sebagai syaratnya, sebagaimana kata Samnun al-Muhibb, r.h.a.
Bahawa cinta hasil dari
kejernihan hubungan dan berterusan ingatan, kerana barang siapa mencintai
sesuatu, nescaya banyaklah dia menyebutnya.
Dan disoal Sahl bin
`Abdullah tentang al-Mahabbah, maka katanya: ``Muwafaqat hati bagi Allah,
melazimkan muwafakat bagiNya, mengikut Rasul s.`a.w. beserta berterusan mesra
dengan mendzikirkan Allah Ta`ala dan wujudnya kemanisan bemunajat kepada Allah
Ta`ala.
2) Mahabbah tahap kedua, dia adalah terhasil dari
penelitian hati kepada Kekayaan Allah,
JalalNya, `Az*amah, Ilmu dan QudratNya, iaitu cinta orang yang sadiqin dan
mutahaqqiqin. Syarat dan sifatnya sebagaimana dihikayatkan dari Abi al-Husayn
al-Nuri, iaitu cinta yang menghilangkan sekatan dan terbukanya kerahsiaan.
Dan ditanya
Ibrahim al-Khawass tentang cinta, maka katanya, ``Terhapus kemahuan, terbakar
segala sifat dan hajat``. Dan disoal
Abu Sa`id al-Kharraz tentang cinta, maka katanya, ``Berbahagialah bagi siapa
yang meminum dari piala cintaNya dan merasa ni`mat dari munajat kepada Rabb
al-Jalil dan mendekatiNya dengan apa yang didapati dari kelazatan cinta
memenuhi hati dan bergembira dengan gerakan dan `ham` (gugahan) terhadapNya oleh shauq dan
kemesraan.
3) Tahap
ketiga ialah mahabbah al-Siddiqin dan al-`arifin, iaitu terhasil dari
penelitian dan ma`rifat mereka dengan Qadimnya cinta Allah tanpa `illah, maka
demikianlah mereka mengasihiNya tanpa `illah. Sifat mahabbah seumpama ini
sebagaimana disoalkan Dzu al-Nun al-Misri, maka katanya , ``Mahabbah yang
bersih yang tiada kekeruhan padanya. Cintanya adalah dengan Allah, bagi Allah.
Itulah cinta bagi Allah.``
Disoal Al-Junayd dari
al-Mahabbah, maka katanya, ``Masuk sifat-sifat yang dikasih pada diri yang
mengasihi. Ini adalah sebagaimana sabda
Nabi s.a.w. bermaksud:
``Sehingga aku kasihnya,
maka apabila aku mengasihinya, adalah aku matanya yang aku melihat dengannya dan
pendengaran yang aku mendengar denganya
dan tangannya yang aku memegang denganya.``
Adapun Al-Kalabadzi juga memetik pendapat
Al-Junayd tentang al-Mahabbah, iaitu, ``Cenderung Hati`, bermaksud, cenderung
hati kepada Allah dan terhadap apa yang bagi Allah tanpa takalluf (keberatan).
Juga kepada maksud, bahawa cinta adalah muwafaqat, maknanya ta`at kepadanya
dengan apa yang disuruh dan menjauhi dari apa yang dilarang. Dan redha dengan
apa yang dihukum dan ditakdirkan. Al-Kattani memaksudkan, ialah al-mahabbah, ialah gelora yang mencinta
terhadap yang dicintai.
Berkata `Abdullah bin al-Nabaji, mahabbah
ialah lazat bagi makhluk, binasa pada Khaliq. Sebagaimana kata Sahl bin
`Abdullah, bahawa:
``Siapa yang mencintai Allah adalah kehidupan
dan siapa yang tidak mencintainya adalah
tiada kehidupan.``
Ada yang berpendapat, bahawa cinta adalah
dua wajah:
Pertama, ialah mahabbah dengan secara iqrar
dengan pengakuan lisan yang merupakan pengakuan secara khas yang lebih dari
segi keterlibatan dan bagi kalangan awam, yang mungkin pengucapan setakat
luaran dan tidak melibatkan kalbu apa lagi kerohanian.
Kedua ialah: Al-Mahabbah secara dzauq dan
wujdan yang bersifat estetika rohani. Ianya mungkin tidak lagi pada tahap
makhluk biasa dan tidak lagi pada tahap
melihat asbab dan ahwal, sebaliknya tenggelam di dalam kecintaan. Sebagaimana
ungkapan dinisbahkan kepada Rabi`ah a-`Adawiyyah bermaksud:
Aku cinta engkau dengan dua cinta, cinta
hawa
dan cinta yang Engkau selayaknya dicinta
Adapun cinta yang bersifat
nafsu
Kesebokanku mengingatkan selain dariMu
Adapun Engkau yang selayak dicinta
Tidakku melihat alam melainkan Kau bersama
Tiada bagiku selayak mendapat ganjaran
Tetapi Engkaulah berhak pujian keseluruhan.
Lantaran itu kata `Abdul Samad, ``Cinta
ialah yang buta dan tuli, buta adalah terhadap selain dari yang dicintai,
sedangkan tuli tidak didengar selain dari yang dikasihi. Tidak disaksi dari
lain yang dikasihi, kerana Dialah yang dituntuti.
Al-Kalabadzi turut mengingatkan bahawa bagi kaum sufi ada
istilah dan ibarat yang lain dari
ungkapan biasa, sebab itu beliau juga mempeingatkan tentang laras bahasa mereka
yang perlu difahami bukan setakat bersifat satu lapisan, tetapi bersifat
konotatif dan berpelbagaian.
Sekian.
No comments:
Post a Comment