BBB, 08
Rabi`ul Awwal 1438H. = 08
Disember 2016 (Khamis):
Empat jenis sifat berikut
dikategori sebagai ahwal, khususnya oleh Abu Bakar al-Kalabadzi, maupun
oleh yang lain, iaitu al-khauf, al-taqwa, al-Ikhlas dan al-Shukr. Ianya adalah merupakan pengalaman yang berlaku
kepada jiwa.
Apa itu al-khauf ?
Bermaksud kebimbangan seseorang kerana
tidak menepati keperluan darinya terhadap tuntutan yang mendepaninya. Misalnya
takut berhadapan dengan Allah kerana kekurangan amalannya dan takut di atas
pembalasanNya.
Al-Kalabadzi memetik pendapat Abu `Amrin al-Dimashqi, bahawa al-khauf yang bererti takut, ialah
pengalaman yang ditakuti oleh seseorang – terhadap Allah adalah lebih daripada
apa yang ditakut dari seteru.
Berkata Ruym Yang takut ialah yang tidak
takut selain daripada Allah. Maknanya dia tidak takut bagi dirinya, dan
sesungguhnya dia takut lantaran mengagugungkanNya (Allah), dan takut bagi diri
ialah akibat yang akan diterima.
Berhubung dengan takut firman Allah
bermaksud:
``Adapun orang yang takutkan keadaan semasa
ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk
dihisab), serta ia menahan dirinya dari
menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya adalah syurgalah tempat kediamannya.`` (Al-Nazi`at: 40-41).
Al-Sarraj memetik makna takut dari
kata-kata Ibn al-Jala`, bahawa yang takut pada pendapatku ialah yang tidak takut
melainkan kepada Allah. Pendapat ini
sama dengan pendapat Ruym di atas.
Adapun Al-Taqwa, ialah tahap pencapaian
hati dan diri yang walaupun bermakna takut sebagaimana al-khauf tapi berbeza
dengan `al-Taqwa`. Taqwa adalah pencapaian hati dari segi ta`abbudiyyah
terhadap Allah.
Berkata Sahl bin `Abdullah sebagaimana dipetik oleh Al-Kalabadzi, bahawa
taqwa ialah pencapaian hati di dalam kepatuhan dan ada keikhlasan di dalam taqwa berkenaan.
Adapun tentang ikhlas, ialah niat dan melakukan sesuatu pekerjaan bukan yang lain
dari kerana Allah.
Al-Kalabadszi memetik pendapat Al-Junayd
tentang ikhlas, bahawa ialah sesuatu yang dilakukan kerana Allah daripada apa amalan baiknya.
Dan berkata Ruym, ikhlas ialah terangkat
pandangan engkau dari melihat amalan engkau.
Bertanya kepada Abi al-`Abbas bin `Ata`, Apakah yang ikhlas daripada amal ?
Maka katanya, ``Ialah yang bersih dari
kekejian.
Tentang ikhlas firman Allah Ta`ala
bermaksud:
`Mereka tidak disuruh melainkan menyembah
Allah dengan secara ikhlas. (Al-Bayyinah: 5).
Manakala syukur, ialah penglahiran rasa
terima kasih di atas sebarang kurniaan yang baik dari Allah. Penglahiran rasa
syukur adalah melalui perkataan, perbuatan dan pernyataan suasana.
Tentang shukur ini Al-Kalabadzi memetik
pendapat Al-Muhasibi, bahawa shukur menurutnya adalah pertambahan kesyukuran
dalam maksud, apabila ia bersyukur, maka dia ditambah taufiq, maka makin
bertambahlah kesyukuran.
Berkata Abu Sa`id al-Kharraz, syukur ialah
pengiktirafan yang menerima ni`mat terhadap Pemberi ni`mat dan iqrarnya dengan
sifat rububiyyah Pemberi.
`Abdul Qadir bin `Isa memetik tentang
syukur dari Ibn al-Qayyim, di dalam Ma`arij al-Salikin, bahawa tertumpu hati
pada mengasihi yang memberi ni`mat, sedang anggota melakukan ketaatan dan lisan
menyebut dan mengulang-ngulang pujian.
Berkata Ibn `Ajibah r.h.a. Syukur ialah
penglahiran rasa gembira hati dengan
terhasilnya ni`mat dengan anggota melaksanakan ketaatan kepada yang
memberi ni`mat dan mengiktiraf
kepada pemberi nikmat dan khudhu`
kepadanya .
Firman Allah tentang ni`mat bermaksud:
``Dan jika sekiranya engkau mau mengira
nikmat Allah, nescaya tidak terkira.``
(Ibrahim: 34).
Menurut `Abdul Qadir bin `Isa. Ada tiga
jenis syukur:
Pertama syukur dengan kehidupan di dunia seperti kelawasan
rezeki dan hidup di dalam keadaan sihat.
Kedua syukur bersifat keagamaan seperti
bekerja, beramal dan membuat kebajikan
Ketiga
syukur bersifat ukhrawiyyah seperti mendapat pahala dari amalan yang
salih dan insya Allah di balas dengan nikmat syurga.
Tetapi syukur yang paling utama, syukur
kerana menerima nikmat Iman dan Islam serta ma`rifat Allah.
Syukur antaranya melalui lisan iaitu dengan
menyebut-nyebut tentang nikmat dan pemberi nikmat seperti firman Allah
bermaksud, ``Dan adapun dengan ni`mat Tuhan engkau maka hendaklah disebut dan
dilahirkan (Al-Dhuha: 11).
Nikmat juga dimanifestasikan dengan
perlakuan anggota, misalnya dengan membanyakkan solat
Dan ada pada peringkat hati yang mengingati
dan memuji dalam hati.
Sesungguhnya syukur adalah puncak ujian
yang terhasil selepas melalui kesusahan, menuntut waktu, tenaga, masa dan berbagai-bagai
pengorbanan yang memberinya pahala dan
ganjaran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment