January 1, 2017

ELEMEN KENANGAN MENJADI SEBAHAGIAN DARI AMALAN HAJI ?


BBB,  01 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 31 Disember 2016 (Sabtu):
Mungkin ada yang memperkatakan bahawa, melakukan amalan haji seharusnya diturut sahaja apa yang menjadi rukun, wajib, sunat dan sebagainya seperti yang diajar dan dikursuskan kepada bakal-bakal haji. Dengan menurut setepat mungkin, insya Allah amalan haji,  diterima  Allah sebagai haji yang mabrur ! Tetapi tidak ada siapa yang dapat menegah atau menahan daripada terbetiknya persoalan di dalam minda, misalnya pertanyaan,
Mengapakah apabila bersolat seharusnya menghadap qiblat ?
Mengapakah mesti melakukan haji, umrah atau secara sunat mesti mengelilingi ka`bah ?
Mengapakan mesti melakukan amalan sa`i berulang alik antara  Safa dan Marwah ?
Mengapakah mesti melontar beberapa jenis lontaran di dalam melakukan amalan haji ?
Mengapakah mesti  berwuquf di `Arafah, mabit di Muzdalifah dan bermalam di Mina ?
Dan persoalan-persoalan yang lain yang dapat ditimbulkan.
Memang benar dengan melakukan amalan-amalan tersebut secara patuh tanpa menimbulkan berbagai persoalan, insya Allah amalan haji atau umrah dan perlakuan sunat diterima Allah dan jika haji, insya Allah ditrerima Allah sebagai haji mabrur.
Tetapi perkara-perkara di atas mempunyai elemen sejarah dan kenangan-kenangan terhadapnya. Dengan huraian yang berhubung sebagai kenangan sejarah dan diterangkan berhubung dengan logik mengukuhkan keyakinan dan makin meningkatkan dari segi kerohanian. Mengapa tidak ? Sepatutnya diberi huraian.
Misalnya dengan bersolat menghadapi qiblat, lebih-lebih lagi berdepan langsung dengan qiblat (ka`bah), sudah tentulah dengan penuh  khusyu`, tetapi dengan peranan minda, maksudnya ilmu, mengetahui asal usul tanah Makkah dan peranan Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail  dan ibunya Siti Hajar membangunkan Makkah dan Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail mendiriokan Ka`bah sebagai pusat ibadat antara yang terawal, dan mengetahui Nabi Ibrahim sebagai Rasul yang membawa agama Hanif, bersifat tauhid sebagaimana ketauhidan yang dipegang umat Islam kini, maka hati, minda dan rohani bersatu mengakur keistimewaan Ka`bah dan wajarlah ianya menjadi qiblat orang-orang yang menyatukan arah mengadap kepadanya di dalam menunaikan solat.
Demikian dengan persoalan mengapa seharusnya mengelilingi ka`bah – bila bertawaf. Selain dari melakukan sebagai kepatuhan di dalam menunaikan haji, umrah dan tawaf sunat yang sudah tidak dinafikan disertai dengan zikir, tilawah, do`a dan sebagainya yang meningkatkan jiwa dengan elemen kerohanian, tetapi dengan penerangan yang bersifat ilmu, bahawa dapat menyaksiklan yang  planet-planet juga bertawaf mengelilingi matahari, dan bintang-bintang  juga bergerak berkelilingan di dalam gugusan orbit, bahkan bagi sebuah atom atau zarrah juga dikelilingi oleh proton, elektron dan neutron, bahkan pengelilingan mengimbangkan  keadaan. Semua pergerakan adalah manifestasi kejadian   alam dari segi tabi`nya berkeliling mematuhi tabi`i yang dijadikan Tuhan, maka kita juga di dalam ibadat bertawaf adalah sama mematuhi peraturan yang ditentukan oleh Allah.
Adapun berhubung denga Safa dan Marwah, firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya  Safa dan Marwah, itu adalah sebahagian daripada syi`ar atau lambang agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke Baitillah, atau mengerjakan `umrah, maka tiadalah menjadi salah ialah bersa`i (berulang alik) di antara keduanya. Dan siapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Amat Mengetahui.`` (Al-Baqarah: 158).
Sesungguhnya mematuhi  peraturan bagi mengerjakan haji atau umrah dengan bertawaf dan bersa`i, adalah   melengkapi sebahagian dari pada keperluan bagi haji dan umrah dan  dapat dihayati dengan kejiwaan dan kekudusan pengalaman. Tetapi sebagaimana Allah menyebut bahawa `pergerakan ulang alik antara Safa dan Marwah yang dikenali dengan Sa`i itu adalah merupakan antara  syiar-syiar  Allah, tetapi dengan memahami huraian tentang perlambangan, bahawa ianya merupakan lambang kenangan peristiwa dalam mana Siti Hajar mencari air bagi anaknya – Ismail dalam kedahagaan, yang akhirnya diketemui mata air mengalir – yang kini dikenali sebagai zam-zam sesungguhnya megukuhkan keyakinan dan adalah releven dengan kenangan sejarah yang berlaku. Dengan kefahaman ini menebalkan keyakinan, keluhuran dan kekudusan amalan yang dilakukan.
Antara shi`ar Allah ialah melontar jamrah yang melambangkan penolakan perkara yang jahat yang antaranya bersifat syaitan, iblis dan nafsu yang banyak mengganggu dan merosakkan manusia.
Manakala wuquf di `Arafah adalah puncak daripada rukun dan amalan yang tanpanya tidak sah haji. Sebagaimana dimaklumi bahawa para haji adalah datang dari berbagai ceruk rantau dunia dan wuquf di `Arafah adalah perhimpunan agung yang menjadi tempat  pertemuan mereka.  Tidak ada perbezaan antara mereka dan pakaian ihram sama berwarna putih. Perhimpunan di `Arafah juga melambangkan mahshar kecil sebagai perlambangan apa yang akan dialami pada padang mahshar di hari akhirat kelak. Pada  hari  `Arafah ini tumpuan utama ialah terhadap ibadat. Di sini mereka memperbanyakkan solat, tilawah, takbir, tasbih, tahmid, tabhil, do`a dan berbagai amalan. Ibadat . Perlanjutan dari ibadat diteruskan ketika di Muzdalifah dan Mina hinggalah kepada tawaf,  sa`i dan bercukur.
Sesungguhnya amalan haji  telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir bin `Abdullah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. tinggal di Madinah selama sembilan tahun tanpa mengerjakan ibadat haji. Pada tahun kesepuluh hijrah dihebahkan berita kepada orang ramai bahawa Rasulullah s.a.w. akan mengerjakan haji. Maka ramailah orang yang datang ke Madinah untuk bersama Rasulullah s.a.w. dan mengerjakan amalan, sebagaimana dilakukan Baginda.``.
Amalan haji seharusnya menurut aturan dari segi rukun, wajib dan sunatnya sebagaimana ditentukan di dalam ibadat haji yang sebagaimana  dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Perjalanan bagi melakukan ibadat haji adalah merupakan perjalanan bukan saja fizikal,tetapi  juga minda dan rohani. Banyak di dalam amalan haji merupakan imbasan dan shi`ar-shi`ar yang jika dapat difahami, dan dihayati sudah tentulah dapat meningkatkan amalan haji itu sendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment