BBB,
14 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 13
Januari 201`7M. (Juma`at):
Catatan dan riwayat berkenaan tokoh tidak setakat
menampilkan pendapat-pendapat menarik
tentang sufi, tetapi melalui konsep riwayat menurut gaya Hadith dan
cerita ringkas secara langsung atau tidak langsung memberi ruang kepada
merakamkan sejarah dan latar belakang tokoh yang jika tidak, tidak dapat diketahui tentang tokoh, lantaran
antara mereka , bahkan kebanyakan kaum sufi, walaupun terkenal tidak
menghasilkan sebarang karya. Misalnya tentang Sari Al-Saaqati dan Bishr al-Hafi
tidak menghasilkan sebarang kitab, mereka
berdua tokoh sufi terkenal dan mempunyai murid-murid dan
pengkiut-pengikut. Tanpa catatan dan riwayat mengenai mereka tidak diketahui
tentang mereka. Biasa tokoh sufi tidak memperkatakan tentang diri mereka,
sebaliknya , terutama anak-anak muridlah yang memperkatakan tentang mereka.
Melalui catatan dan anekdot ini juga dapat diketahui tentang pendapat, aliran
dan pemikiran mereka.
Demikianlah dengan dua tokoh selanjutnya,
iaitu pertama,iaitu:
Sari al-Saqati yang nama penuhnya ialah Abu
al-Hasan, Sari Ibn al-Mughallas al-Saqati (m. 253H.). Beliau tokoh sufi
terkenal dan merupakan bapa saudsara sebelah ibu bagi tokoh sufi terkenal,
iaitu Al-Junayd. Beliau sendiri merupakan guru kepada Al-Junayd dan mempunyai
murid-murid terkenal antaranya ialah Ma`ruf al-Karkhi sebagaimana telah
dibicarakan. Beliau terkenal sebagai seorang
yang wara`, pendukung Al-Sunnah dan mempertahankan tauhid. Sari berumur lanjut dan menurut Al-Junayd
muridnya dikatakan selama 98 tahun umurnya, gurunya ini tidak tidur meyenggeng, kerana prihatin terhadap ibadat.
Adalah diriwayatkan dari Sari al-Saqati
bahawa dia berkata, ``Tasawuf adalah makna bagi tiga maksud:
1) Tidak memadam
akan cahaya ma`rifatnya oleh cahaya wara`nya.
2) Dia tidak bercakap tentang kebatinan ilmu yang
boleh bercanggah dengan Al-Kitab (Al-Qur`an) dan Al-Sunnah
3) Tidak bercakap tentang karamat yang bercanggah
dengan larangan-larangan Allah.
Menunjukkan bahawa Al-Saqati seorang yang
wara`. Dia berpendapat setinggi mana ilmu dan ma`rifat seharusnya tidak
menjadikannya sombong dan angkuh, sebaliknya ia seharusnya lebih wara` . Ibarat
kata pepatah, `Ibarat padi semakin berisi semakin runduk ke bumi. Begitu
juga Sari al-Saqati berpendapat, walau
apa kedalaman kebatinan dicapai seseorang tidak seharus berlaku perkara yang bercanggah dengan shara`.
Dia mempertahankan Al-Qur`an dan al-Sunnah yang menjadi sumber Islam dalam apa
bidang jua. Begitu juga, jika berlaku karamat di kalangfan sufi, maka
seharusnya tidak berlaku perkara-perkara yang bertentang dengan larangan Allah.
Menurut Al-Junayd, bahawa Al-Saqati ditanya
tentang `Cinta`, maka dijawabnya, iaitu `muwafaqat, antara yang mencinta dan
yang dicintai, lantaran jika berbalah dan benci, maka bukan bererti cinta,
tetapi adalah `bersalahan dan benci.``
Al-Junayd juga berkata, ``Aku mendengar
Sari al-Saqati berkata, tiga jalan pintas yang menyegerakan seseorang masuk
syurga, iaitu:
Pertama: jangan banyak meminta-minta dari seseorang
akan sesuatu, hingga merosakkan berhubungan akibat dari perkara-perkara yang
tidak menyenangkan.
Kedua: Jangan mengambil sesuatu dari
seseorang, apa lagi jika tidak diketahui tuannya, yang boleh disifatkan mencuri. Atau mungkin yang diambil, diketahui tuannya, tapi apakah
dia barang yang halal atau yang haram. Jika perkara yang haram, maka akibatnya ditanggung sama oleh yang
mengambil.
Ketiga: Hendaklah banyak memberi dari apa
yang dimiliki, iaitu seseorang itu, terutama yang berada hendaklah bersifat
pemurah, suka menolong orang yang susah. Dia suka membelanjakan harta dan
pendapatannya kepada perkara kebajikan seperti menolong anak yatim dan orang
yang susah dan melaburkan hartanya ke
dalam berbagai-bagai amal kebajikan sebagai saham di akhirat..
Sufi yang lain ialah Bishr al-Hafi:
Bishr berasal dari Marwi dan tinggal di
Baghdad dan meninggal di situ (m. 227H.).
Catatan ringkas tentangnya, dikatakan dia
mendapat keinsafan, lantaran melihat ayat Al-Qur`an tidak dihormati, terbiar
terjatuh dibumi dan dipijak oleh orang-orang yang lalu lalang. Dia mengambil
kepingan yang mengandungi ayat Al-Qur`an dan membersihkannya dan meletakkan pada
tempat sesuai dan terhormat. Dengan kesedaran dan tindakan baiknya dia menerima
hidayat dari Allah dan trergerak kepada mendalami Islam, khususnya dalam bidang
kerohanian.
Berhubung dengan Bishr al-Hafi ini, ada
disebutkan bahawa dia bermimpi menemui Nabi Khidir. Bermimpi menemui Rasulullah
s.a.w. yang membenar dan menmgukuhkan
kedudukan Al-Imam al-Shafie dan Muhammad
bin Hanbal sebagai imam ikutan ummah.
Dari cerita dan maklumat yang berhubung
dengan Bishr al-Hafi, bahawa adalah pendukung aliran Sunni selari dengan
sufi-sufi terkenal pada zamannya seperti Al-Junayd, Abu `Ali al-Daqqaq, Ma`ruf al-Karkhi dan
mereka yang sezaman dengan mereka.
Apa yang dapat dikesan daripada tokoh-tokoh
yang dibicarakan bahawa antara akhir abad ke 2H. hingga
ke pertengahan abad ke 3H. begitu
ramai lahir tokoh-tokoh sufi terkenal. Ini mengukuhkan bahawa tasawuf tumbuh
dari pertengahan abad ke 2H dan berkembang secara ketara dengan kelahiran
tokoh-tokoh terkenal ialah pada awal abad ke 3 H. yang membawa kepada
perkembangan seterusnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment