BBB,
16 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 15 Januari 2017M. (Ahad):
Sebagaimana di dalam sebuah cerita termasuk
anekdot, maka cerita tidak berlaku dan berkembang tanpa ada masalah. Konflik misalnya
mengundang pendekatan bagi menyelesaikan. Semakin besar konflik, semakin besar
cabaran dan perlunya kebijaksanaan dan cara sampai kepada penyelesaian
menjadikan cerita atau masalah lebih menarik.
Alam kesufian yang dilalui oleh
tokoh-tokohnya tidak kurang bermula dari mengalami konflik, membawa kepada
cabaran, membawalah kepada keinsafan dan
melakukan tindakan dan amalan.
Tokoh-tokoh sufi seperti Daud al-T*a`i dan Shaqiq
al-Balakhi menghadapi situasi sedemikian.
Daud al-T*a`i. Nama lengkapnya ialah Abu
Sulaiman, Dawud bin Nus*air al-T*a`i (m. 165H.) seorang yang berwibawa. Dia
bertalaqqi ilmu dengan gurunya Abu Hanifah dan di dalam pengajiannya dia
mengalami keperitan untuk mendapat ilmu pengetahuan, iaitu keperluan nafkah
bagi membiyayai pengajian dan dia pernah ditanya tugasnya selepas mendapat ilmu, maka jawapannya ialah
tanggungjawab mengamalkan dan menyebarkan ilmu.
Di dalam kehidupannya Da`wud al-T+a`i menghadapi dua konflik yang menuntut dia
menyelesaikannya. Pertama kefakirannya di dalam menuntut ilmu pengetahuan.
Adalah menjadi budaya pengajian pada zaman tradisi menghadapi kesempitan perbelanjaan. Sebagai contoh dalam pengajian tradisi pondok pelajar menghadapi kehidupan yang daif. Tiada siapa
yang menaja pengajian kecuali dari sedekah masyarakat keliling, makan minum
adalah terhad dan biasanya pelajar-pelajar memasak sendiri secara ala kadar dan
tidak mencukupi dari segi keperluan kesihatan. Setengah pelajar terpaksa
mengambil upah menuai pada pada musim menuai bagi mendapat sedikit beras
sebagai sumber makanan dengan lauk ala kadar dan biasanya berlaukkan ikan
kering. Cara hidup dan belajar mereka dapatlah dikatakan sebagai suasana
kesufian.
Sebanding dengan kesempitan pelajar pada
zaman tradisi, begitu sukar juga bagi Da`wud al-T*a`i menghadapai pelajaran
pada zaman awal Islam dalam mana dia berguru dengan Al-Imam Abu Hanifah. Sebagaimana
dikhabarkan oleh Abu `Abdul Rahman al-Sulami r.h.a. berkata, mengkhabarkan kami
oleh Abu `Umar al-Mat*ar berkata, mengkhabarkan kami oleh Muhammad bin
al-Musayyab, berkata, bercakap kepada kami Ibn Khabiq berkata, berkata
Yusuf bahawa mewarisi Da`wud al-T*a`i
wang sebanyak 20 dinar (emas), maka dengan kewangan tersebut dia membelanjakan
di dalam pengajian dan kehidupannya selama 20 tahun !
Dengan keberkatan pengajian dan
perbelanjaannya, maka Da`wud al-T*a`i adalah ulama dan tokoh terbesar pada
zamannya. Sebagai ilmuan dan sufi terbesar, beliau pernah ditanya, masalah
keilmuan yang dihadapi. Jawapannya adalah amat menarik dan penuh
bertanggungjawab yang juga merupakan sebagai ilmuan sejati. Beliau menjawab
ialah `Masalah Mengamalkannya – termasuk menyebarkannya`.
Demikianlah masalah jahil, ialah tidak mau
belajar. Manakala masalah bagi ilmuan, ialah mengamalkannya. Konsep mengamalkan
ini adalah luas. Ini termasuk mengamalkan bagi dirinya apa yang diepelajari dan
diketahui, lantaran jika tidak beramal tidak memberi erti kepada diri
sebagaimana kata pepatah:
`Berilmu tidak beramal seperti pokok yang
subur rendang, tetapi tidak mengeluarkan buah.
Konsep amal juga ialah mengajar kepada
orang ramai yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas bagi mengembangkan ilmu dan
menjadikan orang ramai tahu tentang ilmu dan kewajipan mereka. Antara maksud
amal ialah meluaskan ilmu itu dengan kajian, penyelidikan dan penerbitan.
Dengan itu ilmu berlanjutan dan dapat diwarisi-generasi mendatang.
Disebalik dari apa yang dihadapi oleh
Da`wud al-T*a`i, ialah apa yang dihadapi oleh Abu `Ali Shaqiq bin Ibrahim
al-Balakhi (m.139H.). Shaqiq al-Balakhi adalah seorang berada dan giat berniaga
sehingga ke Turki (Rum). Dalam pemergiannya ke Rum dia amat terkesan dan
keciwa, terhadap golongan yang memperhambakan diri terhadap berhala yang dibuat
dengan tangan sendiri. Selain dari rasa keinsapan terhadap perhambaan manusia
kepada berhala, dia juga amat terkesan
dan mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi, iaitu kasihan terhadap
golongan yang miskin dan papa kedana dan hidup merempat. Kedudukannya sebagai
orang berada dia menumpukan perhatian pada menyedarkan manusia terhadap
mengesakan Tuhan dan menyembah tidak lain daripadaNya. Ianya tidak lain daripada
berdakwah dan mendidik manusia dengan didikan keislaman, manakala dari segi kemiskinan tidak lain dari membantu
mereka dari segi kewangan dengan bersadaqah dan mewaqafkan sebagaian daripada
harta kepada badan-badan yang menjalankan kegiatan membantu mereka dan memberi
peluang bagi mereka mendapat pekerjaan.
Apa yang berlaku kepada Da`wud al-T*a`i dan
Shaqiq al-Balakh adalah releven dengan suasana semasa di dalam kehidupan moden
kini. Misalnya masalah kemiskinan dan menyediakan peluang belajar bagi anak-anak terutama mereka yang dari
kalangan miskin adalah menjadi tugas pemerintah. Tentulah pada zaman moden ini
melalui institusi-institusi pengajian yang disediakan oleh kerajaan, bahkan di
dalam pemerintahan peruntukan yang besar perlu diperuntukkan bagi mendidik
masayarakat di dalam pelajaran dari peringkat rendah hinggalah kepada peringkat
menengah dan kepada peringkat universiti, lantaran memberi pelajaran adalah
faktor penting yang dapat mengangkat masyarakat dan menjadikan mereka kalangan
yang berilmu. Sebagaimana peluang ekonomi dan pekerjaan wajar disediakan, maka
dengan masyarakat yang berpelajaran adalah lebih mudah bagi menggerakkan
kemajuan bagi masyarakat dan negara sendiri. Sebagaimana dikatakan oleh Da`wud
al-T*a`i, bahawa tugas dan tanggungjawab yang penting dan berat bagi kalangan
ilmuan ialah mengamalkan ilmu yang dipelajari. Jika kesedaran demikian ada di
kalangan ilmuan, iaitu berusaha memperkembangkan keilmuan yang dimiliki, maka
makin mudahlah maju masyarakat, apa lagi jika galakan dan infra-struktur
disediakan kepada golongan berkenaan ditambah dengan inisiatif yang tinggi yang
ada di kalangan mereka..
Kemajuan tentulah lebih tinggi, jika ada
kalangan yang kaya, seperti kesedaran yang timbul dari Shaqiq al-Balakhi
bersama ilmuan mengambil inisiatif bagi meningkatkan keilmuan masyarakat, mengangkat
mereka dari jahil kepada kesedaran keilmuan yang tinggi. Adalah kesedaran
berkenaan lebih murni, bahawa walau
bagaimana digerakkan masyarakat ke arah kemajuan, tetapi sudah pasti ada yang
ketinggalan, disebabkan oleh halangan-halangan tertentu, mereka tetap
terbelenggu dengan kemiskinan, maka dengan kekayaan yang ada dan keinsafan dan
kemanusiaan yang tinggi masyarakat yang kurang bernasib baik ini tetap dibela
dengan berbagai cara, sehingga mereka tidak tertinggal jauh ke belakang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment