BBB,
03 Rabi`ul Akhir 1438H. = 02
Januari 2017M. (Isnin):
Kita telah membicarakan beberapa daripada
rukun Islam, iaitu solat, puasa, zakat dan haji. Semua nya teratur menurut kaedah-kaedah ibadat-ibadat
berkenaan, termasuklah yang tidak dibicarakan misalnya dari segi mu`amalat,
munakahat dan jinayah adalah lengkap dari segi kandungan dan panduan. Tanpa
panduan dari tasawuf, tidak mencacat cela dari segi peraturan. Namun dari segi amali yang dilakukan oleh seseorang
itu mungkin ada yang kurang dari segi kualiti amalan.
Di dalam hal ini bolehlah diibaratkan
amalan seseorang terhadap kefardhuan yang dilakukan misalnya solat dan puasa diibaratkan
sebagai membina sebuah bangunan kediaman – rumah. Ianya siap, bahkan boleh
didiami, namun ada ruang-ruang yang boleh dipertingkatkan dan dibaiki sehingga
ianya menjadi lebih sempurna, menarik, indah dan berestetik, seperti menyempurnakan lagi dari segi lantai,
siling dan berbagai-bagai alat perabut yang lebih sempuna. Jika di luar disempurnakan dari segi
landscaping, taman dan tambahan perkara-perkara yang perlu, termasuk kebersihan.
Demikianlah dibanding sebagai contoh
misalnya untuk mendirikan solat perlu kepada pra-syarat, iaitu taharah. Bagi
membicarakan soal taharah ini dibicarakan dari segi kebersihan air atau tanah
untuk ditayammum. Kedua-duanya pula perlu bersih, bagi membersih dengan mengangkat hadath bagi membersihkan dirinya
sama ada dari hadath kecil atau besar. Dan ada kaedah-kaedah bagi mengangkat
kedua hadath yang membolehkan seseorang
itu bersolat. Kita lihat bahawa konsep bersih yang ditekankan adalah bersih
dari segi lahir dari air, tanah dan tubuh seseorang. Tetapi di sana ada satu
lagi aspek bersih iaitu bersih dalaman. Ini dibicarakan oleh bidang tasawuf, iaitu
seperti bersih hati dari diganggui oleh nafsu dan syaitan, tawadhu`, tumpuan jiwa
kepada Allah, merasa dekat dengan Allah, takut, khudhu` tartib, dan taqwa.
Persoalan-persoalan seperti ini adalah dibicarakan oleh tasawuf. Kombinasi
bersih luaran dan dalaman meningkatkan lagi kualiti solat seseorang. Ini
dimaksudkan bahawa apa yang dibicarakan di dalam bidang fiqh tentang solat
adalah mencukupi, tetapi pertambahan
penyempurnaan aspek-aspek dalaman lebih meningkatkan lagi kualiti solat,
dan yang menunaikan solat lebih khusyu` tenteram dan kurang gangguan terutama
dari segi dalaman.
Sebagai contoh lagi baik dari segi ibadat solat dan puasa, sah
atau tidak berpuasa misalnya bergantung pada niat. Tanpa niat, kedua-duan
ibadat berkenaan tidak sah. Lantaran Hadith Rasulullah s.a.w. – Riwayat
Bukhari, bermaksud:
``Bahawasanya semua amalan hendaklah dengan
niat.``
Menurut Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari di
dalam kitabnya berjudul: Sabil al-Muhtadin bahawa niat ialah ``Qasad tentang
sesuatu beserta melakukannya.`` Menurutnya
lagi , bagi niat ada tujuh perkara, iaitu hakikat, hukum, tempat, zaman,
kayfiyat, syarat dan maksud yang baik.
Hakikat niat pada lughah ialah qasad
ertinya menyehaja dan pada shara`, ialah qasad tentang suatu perkara yang
disertai dengan perbuatan
Hukumnya ialah wajib,
Tempat di dalam hati
Zaman ialah masa permulaan ibadat yang lain
daripada puasa fardhu
Kayfiyat niyat berlainan sebab berlainan
jenis ibadat,
Syarat, ialah Islam orang yang beribadat,
juga mumayyiz
Dan maksud berniat ialah melakukan perkara
yang baik untuk solat.
Jelas apa yang diterangkan oleh Shaykhk
Muhammad Arshad begitu detail dan halus dari segi persoalan niat.
Namun dari segi niat tersebut ada ruang
yang dapat dipertingkat niat, bahawa niat melakukan sesuatu perkara ibadat
lebih tinggi mutunya, jika dia adalah timbul dari hati yang berniat itu dengan
penuh ikhlas hati – sepenuhnya kerana Allah, bukan kerana menunjuk-nunjuk atau
takut dikatakan `orang yang tidak solat dan sebagainya.
Persoalan ikhlas ini dibicarakan dari sudut
tasawuf.
Berkata Abu al-Qasim al-Qushairi r.h.a.
tentang ikhlas bahawa ikhlas ialah:
``Mengifradkan Allah Subhanahu wa Ta`ala
pada kataatan dengan qasad. Bermaksud dengan ketaatan mendekatkan diri kepada
Allah Ta`ala, tidak kepada sesuatu yang lain.``
Atau dapat dikatakan bahawa,, ``Ikhlas
ialah membersihkan perbuatan bukan untuk perhatian atau sanjungan makhluk.``
Atau menurut pendapat al-Imam Al-Junayd r.h.a.
``Ikhlas ialah rahsia antara Allah dan
hamba, yang tidak diketahui malaikat hingga dia menulisnya, tidak diketahui
syaitan hingga dia merosakkannya dan tidak diketahui hawa nafsu hingga dia cenderung
kepadanya.``
Demikianlah halusnya makna ikhlas, maka
jika ianya dapat diaplikasikan ke dalam amalan ibadat seperti solat yang
bermula dengan niat yang dari awal dilakukan dengan ikhlas dan juga pada
aspek-aspek yang lain dilakukan dengan khusyu`, tawadhu`, tama`ninah dan taqwa,
maka dapat meningkatkan lagi kualiti solat. Sebagaimana kata Al-Suhrawardi di
dalam kitab Awarif al-Ma`arif bahawa:
``Sebaik-baik adab orang yang bersolat
tidak ada suatu mengganggu kalbunya, dari solat walau sedikit pun.``
Tambahnya, ``Hadir solat adalah kenyataan
lahir dan mengosongkan hati dalam solat, selain daripada Allah adalah
pernyataan batin.``.
Demikianlah misalnya puasa bukan sahaja
dalam erti biasa, iaitu dengan berniat puasa pada malam dan menahan diri dari
makan minum dan perkara yang membatalkana puasa pada siang, tetapi menurut adab
puasa dari segi kesufian sebagaimana lata al-Suhrawardi:
``Bahawa puasa adalah melibatkan dhabt zahir dan batin, mencegah anggota dari
dosa-dosa seperti menegah nafsu dari makan atau menyekat nafsu dari perhatian
dan bahagian.``
Pendeknya walaupun tanpa tasawuf tidak
menyebabkan ibadat rosak, tetapi dengan kebersihan dan penekanan aspek-aspek
pembaikan dalaman menjadikan meningkatnya kualiti amalan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment