BBB, 09 Rabi`ul Akhir 1438H. = 08 Januari
2017M. (Ahad):
Akidah adalah persoalan utama dan pertama bagi
orang Islam. Tidak betul dari segi akidah bererti tidak betul dari segi Islam dan apabila tidak betul Islam maka ianya merosakkan segala-galanya,
lantaran itu apabila misalnya ia
mengajar, maka tidak boleh diikuti pengajaran. Dia dianggap menyeleweng. Antara
perkara yang menjadi perhatian kaum sufi ialah perkara akidah. Dia semestinya
tidak menyeleweng dari akidah dan membuktikan akidahnya benar.
Sebagaimana telah kita bicarakan kalangan kaum
sufi memberi perhatian dan menjelaskan dari segi akidah pegangan mereka agar tidak
dipersoalkan ketasawufan mereka. Sebagai
contoh beberapa tokoh sufi penting memberi ruang penting membicarakan tentang
akidah. Abu Nasr al-Sarraj membicarakan tentang tauhid secara panjang lebar
dengan memetik berbagai pendapat mengenainya. Al-Sarraj memetik pendapat Dzu
al-Nun al-Misri yang diriwayatkan melalui
Yusuf bin al-Husain al-Razi bahawa tauhid itu, ``Engkau ketahui bahawa
qudrat Allah tentang sesuatu tidak dicampuri oleh sesuatu dan perbuatanNya
tentang sesuatu tidak disebabkan oleh
sesuatu (`ilaj). Dia melakukan sesuatu perbuatan tanpa`illah dan tidak ada di
langit tinggi dan di bumi rendah pentadbir selain daripada Allah Ta`ala, apa
yang engkau wahamkan dalam tasawwur engkau tentang Allah, maka Allah Ta`ala
bersalahan daripada demikian atau apa yang dikatakan lain daripada itu.
Demikian Al-Sarraj memetik pendapat tokoh sufi
Sunni terkenal - Al-Junayd, tentang
pendapatnya tentang tauhid, katanya, ``Mununggalkan oleh yang mengesakan dengan
tahqiq wahdaniyyatNya dengan sempurna ahadiyyahNya, bahawasaNya Dia Yang Esa
yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, tidak ada lawan dan tandingan dan
penyerupaan dan tidak disembah selain daripadaNya, dengan tidak ada tashbih dan
tidak ada kayfiyyah dan tidak ada gambaran dan bandingan. Dia adalah Tuhan yang
Esa, al-Samad Tunggal yang tidak ada sepetinya oleh sesuatu dan Dia Amat
Mendengar lagi melihat. Demikian sebahagian dari petikan Al-Sarraj tentang
akidah (tauhid) kaum sufi.
Demikian juga Abu Bakar Muhammad al-Kalabadhi
sebagaimana telah dibicarakan sama mempertahankan akidah kaum sufi. Antaranya
Al-Kalabadzi merumuskan pendapat kaum sufi tentang tauhid dengan katanya:
Bersepakat kaum sufi bahawasanya Allah itu Esa, Tunggal, Samad, Qadim, Alim,
Berkuasa lagi Hidup, Mendengar lagi Melihat, `Aziz lagi `Az*im, Jamil lagi
Kabir, Jawad lagi Ra`uf,, Mutakabbir lagi Jabbar Baqi, Awwal dan Akhir, Allah
Sayyid Malik Rabb, Rahman lagi Rahim, Murid lagi Hakim, Mutakallim, Khaliq
Razzaq. Dia bersifat dengan segala sifat yang Dia sifat diriNya denganNya,
bernama dengan apa yang dinama diriNya dengannya , berterusan Qadim dengan
nama-nama dan sifat-sifatNya, tanpa bersamaan dengan makhluk dengan sebarang
wajah daripada wujud, tidak menyerupai DzaNya dengan sesuatu dan tidak
menyerupai sifatNya dengan sesuatu, tidak berlaku ke atasnya sebarang ciri
makhluk yang boleh menunjukkan baharu. Dia berterusan Qidam yang menciptakan
yang baharu, wujud sebelum sesuatu, tiada yang lain qadim dan tiada Tuhan
selainNya. Dan berbagai keterangan yang lain yang amat detail tentang hakikat
Tauhid Allah.
Manakala
Imam Al-Qushairy pula menegaskan tentang pegangan tauhid kaum sufi yang polanya adalah sama dengan katanya:
``Ketahui olehmu dirahmat kamu oleh Allah
bahawa shaykh-shaykh kaum sufi ini membina kaedah mereka di atas
prinsip-prinsip yang sahih tentang tauhid yang terpelihara akidah mereka
daripada perkara-perkara bid`ah menepati dengan apa yang dipegang oleh kaum
salaf dan Ahlu al-Sunnah tentang tauhid
tanpa bandingan dan tanpa gangguan. Mereka mengetahui apa yang haqq bagi
al-Qadim. Mereka tahqiq dengan apa yang dinamakan `adam`.
Kaum sufi, khususnya yang beraliran Sunni
mengakui dan memgiktiraf, bahawa Shaykh Junayd al-Baghdadi adalah Shaykh bagi
kalangan sufi. Pendapatnya diambil oleh Al-Qushairy, kata Shaykh Al-Junayd:
``Tauhid adalah menunggalkan Yang Qadim dan
menolak dari baharu. Mereka berpegang dengan usul al-`aqidah dengan dalil-dalil
yang jelas dan penyaksian yang nyata.``
Al-Qushairy juga memetik pendapat Abu Muhammad
al-Jariri r.h.a. yang berkata: ``
``Siapa yang tidak berpegang dengan ilmu
tauhid menyaksi dari berbagai saksian
dia boleh tergelincir oleh keangkuhan dan boleh membawa kepada
kerosakan, maksudnya dia boleh terbawa kepada taqlid dan yang tidak memerhati
dalil-dalil tauhid boleh terjatuh dari Sunnah yang menjayakan dan membawa
kepada kerosakan. Kata-kata mereka bercanggah dan berpecah dan tidak dipercayai
dan tidak dapat ditahqiq.``
Seterusnya Al-Qushairy memetik
pendapat-pendapat sufi secara riwayat.
``Aku mendengar Shaykh Abu `Abdul Rahman
Muhammad bin al-Husayn al-Sulami r.h.a berkata, aku mendenga r `Abdullah bin
Musa al-Salami berkata aku mendengar Shibli berkata,`` Al-Wahid diketahui sebelum sempadan dan huruf ejaan (ya`ni Al-Qadim).
Aku mendengar Abu Hatim al-Sufi berkata, aku
mendengar Abu Nasr al-T*usi berkata, ditanya
Ruaym dari seawal fadhu yang difardhu oleh Allah Ta`ala ke atas
makhluknya, apakah dia, maka katanya, iaitu Ma`rifat Allah, kerana Allah
Subhanahu wa Ta`ala berfirman, bermaksud:
``Aku tidak ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk
meyembahku.`` (Al-Dzariyat: 56).
Berkata Ibn `Abbas bermaksud, `Bagi mereka
mengenal`.
Berkata Al-Junayd ialah, Ma`rifat kepada Yang Mencipta segala
ciptaan. Maka dengannya dia mengenali sifat Pencipta yang dia seharusnya taat kepadaNya, katanya,
Sesungguhnya siapa yang tidak kenal Pemiliknya tidak kenal pemilikanNya yang
sewajib diketahui.``
Demikianlah berpuluh-puluh lagi pendapat sufi
tentang tauhid dipetik oleh Al-Qushairy bagi membuktikan pegangan tauhid mereka.
Tetapi perlu diingat baik Al-Qushairy dan yang lain seperti Al-Sarraj dan
Al-Kalabadzi , mereka tidaklah membawa
bukti ketauhidan mereka dengan kaedah-kaedah ilmu tauhid seperti apa
yang disusun oleh Ash`ari, Maturidi, Al-Tahawi dan lain-lain. Apa yang dibawa
ialah pembuktian langsung dari maksud-maksud ayat-ayat Al-Qur`an atau istilah-istilah ketauhidan dari Al-Qur`an yang membuktikan pegangan
ketauhidan mereka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment